Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, November 11, 2008

Harga runcit minyak mungkin paras bawah RM2 tahun ini?

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk menetapkan paras minimum bagi harga runcit petrol dan diesel di pasaran tempatan, walaupun harga minyak mentah di pasaran dunia masih menunjukkan trend penurunan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, melalui cara tersebut, kerajaan mungkin dapat menjimatkan perbelanjaan subsidi dan seterusnya membolehkan wang tersebut digunakan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, jangkaan perbelanjaan bagi pemberian rebat minyak yang dijangka mencecah RM5 bilion, dan subsidi 30 sen bagi setiap liter petrol yang dijangka berjumlah RM18 bilion, merupakan beban yang besar untuk negara.

"(Keputusan) itu terpulang pada mesyuarat Exco Majlis Ekonomi yang diadakan setiap minggu dan kita akan bincangkan dari segi asasnya di mana kita akan berhenti (untuk menurunkan harga)," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenainya, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Bagaimanapun, Shahrir enggan mengulas bila paras minimum itu akan dilaksanakan dan berapa harga yang akan ditetapkan.

"Harga yang kita dah biasa ialah RM1.92 (seliter)... Soalnya sama ada kita nak turunkan lagi di bawah RM1.92 dan ia terpulang kepada perbincangan nanti.

"Dengan harga minyak yang rendah sematamata kalau tidak ada peluang ekonomi atau projek yang boleh merangsang ekonomi pun tak baik juga," katanya.

Ditanya sama ada harga minyak akan berada di paras bawah RM2 akhir tahun ini, Shahrir berkata, ia tidak sukar jika dilihat kepada harga pasaran minyak mentah dunia sekarang.

Bagaimanapun, Shahrir berkata, rakyat seharusnya terus mengamalkan sikap berhemah dalam perbelanjaan seharian walaupun harga minyak jauh lebih rendah berbanding ketika ia mula dinaikkan Jun lalu, dan dijangka akan turun lagi dalam masa terdekat.

Shahrir pada majlis sama turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Beretika 2008, anjuran Institut Perniagaan Beretika Malaysia (BEIM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Untuk anugerah itu, Bukit Kiara Properties, Kuala Lumpur merupakan pemenang bagi kategori syarikat besar, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC)bagi kategori syarikat sederhana manakala Pusat Tuisyen Sri Wirajaya, Kuala Lumpur merupakan pemenang bagi kategori syarikat kecil.

Sumber:
mSTAR

No comments: