KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada Jumaat lepas yang memutuskan kes liwat melibatkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap dibicarakan di mahkamah itu tanpa perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Rayuan itu difailkan di pejabat pendaftaran Mahkamah Sesyen di sini, pagi ini.
Pada 7 Nov lepas, Hakim S.M Komathy Suppiah memutuskan kes itu dibicarakan di Mahkamah Sesyen setelah mendapati sijil untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak sah.
Komathy dalam keputusannya berkata sijil tersebut ditandatangani sendiri oleh Abdul Gani dan oleh itu ia melanggar ekspektasi undangundang Anwar bahawa Abdul Gani tidak akan terlibat dalam kes terbabit.
Abdul Gani masih disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) berikutan laporan polis yang dibuat oleh Anwar berhubung pemalsuan bukti dalam siasatan insiden "mata lebam" semasa Anwar ditangkap pada 1998.
Anwar, 61, menghadapi pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 1151, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun lepas.
Jika sabit kesalahan, beliau menghadapi hukuman penjara hingga 20 tahun mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.Beliau dibebaskan dengan bon peribadi RM20,000. BERNAM
Sumber: mSTAR
Aktiviti
Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment