KUALA LUMPUR, 11 Jun (Hrkh) - Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa semua pihak agar menghentikan perbalahan dan polemik negatif berkaitan dengan isu pemilihan Ahli Jawatan Kuasa Masjid bagi sesi 2009-2012 ini dengan segera.
Menurut Ketua Penerangan AMK Selangor, Mohd Ezli Mashut, isu perkembangan mutakhir kini dikhuatiri boleh membawa perpecahan kepada masyarakat Islam di negeri ini.
"AMK Selangor juga membidas pihak-pihak tertentu yang cuba menimbulkan suasana tidak tenteram dikalangan masyarakat dengan mengapi-apikan rasa tidak puas hati ini sehingga kepada membuat laporan kepada pihak polis dan SPRM. AMK Selangor merasakan tindakan ini hanya mencemarkan nama baik institusi masjid yang sewajarnya dipelihara oleh semua pihak.
"Semua pihak digesa agar menumpukan kepada usaha-usaha kepada pemerkasaan dan pengimarahan institusi masjid agar dapat menjadi institusi yang mendidik masyarakat ke arah kejayaan dan kecemerlangan dalam semua aspek kehidupan,"jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily sebentar tadi.
Tambahnya, AMK Selangor merasakan adalah lebih baik jika usaha ditumpukan kepada bagaimana masjid boleh memainkan peranan yang penting dalam agenda amar makruf dan nahi munkar serta malahan usaha giat perlu dirancang dan dilaksanakan untuk menarik golongan muda dan masyarakat ramai.
"AMK Selangor yakin soal tidak puas hati berkenaan pemilihan AJK Masjid adalah soal kecil yang boleh diselesaikan dengan cara berhemat dan terpuji. Malahan jawatan sebagai makmum yang sebenarnya perlu diisi dengan segera memandangkan jawatan ini sentiasa kosong khususnya pada waktu Solat Subuh. Kita yakin kekuatan ummah akan kembali berpadu dan kuat jika suasana Solat Subuh berjemaah ini menyamai suasana ketika Solat Jumaat ,Solat Sunat Aidiladha dan juga Aidilfitri.
"Dalam pada itu, AMK Selangor berharap barisan kepimpinan baru masjid di seluruh negeri Selangor dapat menjalankan tugas dan amanah yang diberi dengan penuh tanggungjawab dan komited,"jelasnya lagi.
Beliau berharap, barisan kepimpinan baru ini diharap membawa satu sinar baru terhadap keupayaan institusi masjid menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat madani dan rabbani.
"Suasana perbalahan berkenaan pemilihan ini tidak wajar berpanjangan sehingga ada tindakan boikot-memboikot dan bermasam muka. Tetapi suasana ini dapat dijernihkan dengan semangat berkasih sayang dan kekitaan kerana semuanya berkiblatkan yang satu di mana sewajarnya falsafah ini dapat dihayati bersama oleh semua pihak.
"AMK Selangor juga mengingatkan agar tiada pihak yang cuba menimbulkan suasana keruh daripada isu ini. Masyarakat juga tidak perlu terjebak dengan permainan pihak-pihak tertentu yang cuba menimbulkan suasana tidak tenteram ini sehingga bertindak tanpa memikirkan agenda besar ummah di masa hadapan yang perlu diperjuangkan,"tegasnya.
Katanya,sudah tiba dan ketikanya suasana masjid yang meriah dengan tradisi ilmu dan kerohanian kembali rancak sepertimana suasana pada bulan Ramadan.
"Pastinya, masjid adalah untuk semua yang menuntut setiap kita menyumbang kepada pengimarahan masjid dalam membina kesatuan ummah sejagat,"ujarnya. - mks. _
Harakah
Aktiviti
Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment