Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, June 29, 2009

PPSMI Tidak Wajar Diteruskan, Kerajaan Jangan Teragak-Agak - Anwar Ibrahim

Mesyuarat Pimpinan Pusat hari ini membincangkan antaranya kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan. Seharusnya semua pihak menyedari kedudukan Bahasa Melayu dijamin oleh peruntukan Perlembagaan serta Dasar Pendidikan Nasional. Sewajarnya perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu dihimbau semula bagi mengingatkan kita akan jerih perih pejuangan nasionalis tulen. Adalah menjadi tanggungjawab kita rakyat Malaysia untuk memartabatkannya sesuai dengan hasrat Kemerdekaan negara dan pembentukan Persekutuan Malaysia.

Oleh itu kelengahan Kementerian Pelajaran dan kabinet membuat keputusan berhubung kedudukan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) seumpama mengenepikan semangat yang terkandung jelas dalam Perlembagaan. Dengan merosotnya prestasi matematik dan sains terutamanya di kalangan pelajar luar bandar tambah memburukkan keadaan.

Makanya pada sidang media seusainya mesyuarat tengahari tadi, saya mengulangi desakan agar kerajaan umno-bn kembali mematuhi intipati Dasar Pendidikan Nasional serta memartabatkan semula Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Kami juga menggesa agar sains dan matematik diajar dalam bahasa ibunda masing-masing di sekolah rendah jenis kebangsaan. Perlaksanaan PPSMI sekian lama memangsai rakyat terbanyak dan pembaziran berjumlah RM 4.5 billion.

Desakan ini dibuat tanpa menidakkan keperluan memperkukuh penggunaan Bahasa Inggeris dan kepentingannya, terutama di peringkat menengah atas serta pengajian tinggi. Namun kami menolak sebarang usaha untuk memastikan kelulusan Bahasa Inggeris diwajibkan di peringkat SPM. Perhatian mestilah ditumpukan kepada usaha untuk menghantar guru yang benar-benar terlatih ke kawasan luar bandar. Kandungan kurikulum juga perlu dilakar sesuai bagi menghasilkan kualiti pembelajaran dan pelajar yang terbaik.

Turut disentuh ialah isu tanah yang menimbulkan beban yang bukan sedikit kepada penduduk di Kampung Buah Pala, Pulau Pinang, Pandamaran, Selangor dan Kampung Layang-Layang di Johor. Mesyuarat memutuskan isu ini akan dikendali oleh Timbalan Presiden, Dr. Syed Husin Ali. Beliau bersama panel lainnya akan meneliti serta berusaha mengurangkan beban yang ditimpa rakyat. Pimpinan parti juga secara sebulat suara menyokong penuh calon Pas di Manek Urai dan akan bersama-sama memastikan kemenangan Rakyat.

ANWAR IBRAHIM

No comments: