Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, June 11, 2009

Peguam: Pendakwa Raya Kes Anwar Tidak Beretika, Enggan Serah Bahan Kes - TVA

Pendakwa raya dalam kes tuduhan liwat terhadap Anwar Ibrahim tidak professional dan bertindak tanpa etika apabila enggan menyerahkan dokumen dan bahan berkaitan bagi membolehkan Anwar membuat persiapan membela dirinya, kata peguam mantan Timbalan Perdana Menteri itu.
Sankara Nair berkata segala bahan yang diminta adalah selaras dengan peruntukan undang-undang dan hak Anwar sebagai pihak tertuduh untuk mendapatkan pembelaan adil.

Perbicaraan itu akan bermula 1 Julai depan, namun pasukan peguam Anwar masih belum mendapat bahan seperti contoh DNA dan dokumen tertentu untuk diperinci sebelum mahkamah bersidang.

“Selagi pihak pendakwa raya tidak memberikan kami dokumen dan bahan berkenaan dalam tempoh yang sesuai, pasukan peguam Anwar tidak mungkin dapat menyediakan pembelaan terbaik, yang seharusnya menjadi hak beliau,” Sankara berkata.

Anwar hari ini terpaksa memohon kepada Mahkamah Tinggi supaya memerintahkan pihak pendakwa raya membekalkan kepada beliau semua dokumen berkaitan kes liwatnya secepat mungkin.

Dalam notis usul yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah, Anwar mahu pendakwa raya membekalkan pita rakaman CCTV yang asal yang diambil di beberapa lokasi di tempat kejadian di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara dari tarikh 25 Jun hingga 27 Jun 2008.

Pihak pendakwa raya juga gagal menyerahkan contoh DNA, kenyataan-kenyataan saksi termasuk pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan dan kenyataan polis.

Oleh kerana kes itu melibatkan keterangan DNA dan rakaman CCTV, Anwar perlu mendapatkan pakarnya sendiri untuk memeriksa sampel-sampel DNA serta rakaman CCTV dan melakukan ujian yang sewajarnya.

Sankara berkata semua dokumen dan bahan itu amat diperlukan, relevan dan mustahak bagi mantan Timbalan Perdana Menteri itu menyediakan pembelaan yang tuntas.

Sankara kecewa dengan sikap pendakwa raya kerana tidak mengendahkan segala permohonan peguam bela untuk mendapatkan bahan-bahan berkenaan walaupun permohonan dibuat seawal 8 September 2008.

Malah, pihak pendakwaraya cuba memesongkan fakta dengan mendakwa kononnya peguam Anwar sudah pun dibekalkan dengan rakaman CCTV tetapi hakikat adalah sebaliknya.

Sankara berkata pihaknya hanya boleh merumuskan pendakwa raya dalam kes berkenaan enggan menyerahkan bahan-bahan berkenaan kepada pihaknya kerana:

i. Mahu menafikan Anwar pembelaan yang sebaik mungkin dalam menghadapi tuduhan berkenaan

ii. Menafi atau menyembunyi dari Anwar bukti yang boleh membantu pembelaan beliau

iii. Ingin “menyerang hendap” Anwar dengan bukti yang tidak boleh diperinci atau disiasat oleh pihak berkecuali sebagaimana yang dilakukan oleh pendakwa raya dalam kes-kes Anwar pada tahun 1998/99.

iv. Menafikan Anwar peluang untuk memeriksa dan mengesahkan contoh DNA dan sampel lain yang “mereka kini sedang gunakan untuk membuat dakwaan tidak berasas” terhadap Anwar.

Anwar, 61, menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 1151, Desa Damansara Kondominium, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun lepas.

Saiful membuat tuduhan itu beberapa hari selepas beliau menemui Najib Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri. Anwar ketika itu mengecam Najib berhubung beberapa isu termasuk pembunuhan mangsa Mongolia Altantuya Sharibuu serta sogokan dalam kontrak pembelian peralatan tentera.

Dakwaan Saiful bukan sahaja dilihat mempunyai motif politik malah lebih rapuh apabila doktor yang memeriksa beliau mendapati tidak ada kesan-kesan untuk menyokong dakwaan Saiful kononnya mangsa liwat.

Najib dan UMNO telah menggunakan dakwaan Saiful sebagai modal politik untuk mengaibkan Anwar dan keluarganya pada pilihanraya kecil Permatang Pauh. Namun cubaan itu gagal apabila Anwar menang dengan majoriti besar dan diangkat menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.

TVA

No comments: