KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh) - Speaker Dewan Rakyat, Tan Seri Pendikar Amin Mulia bersetuju dengan pandangan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim bahawa dewan hanya akan membahaskan peruntukan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan tidak menerima pakai selain pandangan dan hujah yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan semalam.
Anwar semalam membidas kenyataan balas Timbalan Menteri Kewangan, Dato' Husni Hadznallah bahawa jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri sebagai mengelirukan.
Sebelum itu, speaker menjelaskan kepada dewan bahawa perbahasan mengenai Bajet Tambahan yang diumum Menteri Kewangan, Dato' Seri Najib Tun Razak sebanyak RM7 bilion tidak perlu dibahaskan.
Ini katanya, semasa menyambung perbahasan yang ditangguhkan oleh Timbalan Speaker, Tan Sri Junaidi Jaafar kira-kira selama 45 minit pada tengah hari semalam.
Beliau menegaskan RM7 bilion yang disebut itu adalah langkah-langkah yang akan dibuat kerajaan jika perlu dalam mendepani masalah ekonomi yang melanda dunia.
Katanya, mahu tidak mahu ia dijangka akan menjejaskan ekonomi Malaysia.
Wang tersebut katanya, seperti mana disebut Menteri Kewangan adalah hasil penjimatan subsidi minyak.
"Atas sebab itu saya dapati bahawa tidak ada unsur-unsur pelanggaran peraturan mesyuarat seperti dibangkit oleh Ahli-ahli Yang berhormat.
"Oleh yang demikian usul mengenai anggaran pembangunan dan maksud-maksud yang dijadual Rang Undang-undang Perbekalan 2009 adalah berasas," katanya.
Ketika ini, Salahuddin Ayub (PAS - Kubang Kerian) terus mencelah dengan bertanya kepada dewan bahawa 'jika perlu' yang disebut oleh speaker adakah perlu disegerakan?
Bagaimanapun kata speaker tugasnya adalah untuk memastikan peraturan mesyuarat diikuti dan tidak dilanggari.
Kerana itu, katanya persidangan ditangguhkan sehingga pukul 2.30 petang untuk beliau meneliti apa yang disebut oleh Menteri Kewangan kelmarin.
Beliau berkata tidak ada perubahan kepada bajet yang dibahas dalam peringkat dasar dan tidak ada perubahan risalah serta apa saja dokumen-dokumen yang diedarkan kepada ahli dewan sebelum ini.
Katanya, yang disebut menteri ialah sekiranya perlu bajet itu akan diluluskan.
Ketika ini pula, Azmin Ali (KeADILan - Gombak), bangun mencelah dan mempersoalkan sama ada perbahasan selepas ini bersandarkan kepada bajet yang dibentangkan pada 29 Ogos lalu oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ataupun bajet Najib.
Bagi menjawab pertanyaan tersebut speaker meminta, Husni menjawab.
Husni menjelaskan apa yang dibincang dalam mesyuarat peringkat Jawatankuasa nanti ialah angka yang dibentang oleh Perdana Menteri pada 29 Ogos lalu.
Bagaimanapun, katanya bajet Najib itu adalah andaian sekira negara mendapat keuntungan RM7 bilion hasil daripada penurunan harga minyak yang dibuat kerajaan.
Mendengar jawapan tersebut, Lim Kit Siang (DAP - Ipoh Timur) terus membidas dengan berkata membuang masa saja membincang bajet tambahan yang dibentang oleh Najib.
Penjelasan Husni itu turut dibidas Anwar bahawa jawapan tersebut mengelirukan.
Katanya ini soal kewangan yang diperuntukkan dalam perlembagaan dan mengikut peraturan, tetapi soal andaian beliau tidak pertikaikan.
"Soalnya sekarang kita bahas di peringkat jawatankuasa maka keputusan tuan speaker tepat bagi saya iaitu kita kena pakai satu jumlah yang tepat dan oleh kerana yang dibentangkan oleh Perdana menteri pada 29 ogos berdasarkan angka yang tepat," katanya.
Katanya, hari ini penjelasan speaker dewan hanya akan membahaskan peruntukan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan tidak menerima pakai selain pandangan dan hujah yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan semalam
"Maknanya pandangan beliau bukan mengikut belanjawan, dan kami menolak penjelasan Menteri Kewangan," katanya turut dipersetujui oleh speaker. - mks. _
Sumber: HarakahDaily
Aktiviti
Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment