KUALA LUMPUR, 14 Julai (Hrkh) - Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin menyelar tindakan pihak polis dan anggota keselamatan yang menjalankan sekatan jalan raya dengan kawalan yang menyusahkan orang ramai.

"Ini merupakan tindakan intimidasi atau gangguan yang dibuat pihak polis secara melampau terhadap proses perjalanan demokrasi di negara ini," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau turut menafikan bahawa wujudnya perancangan bagi mengadakan perhimpunan oleh Pakatan Rakyat khususnya KeADILan dalam usaha menyokong usul tidak percaya ke atas Perdana Menteri di Parlimen.
"Tiada sebarang perancangan mahupun usaha untuk mengadakan perhimpunan mengenai isu terbabit," katanya.
Katanya, ini secara tidak langsung membuktikan pihak polis sengaja mengada-adakan cerita bahawa KeADILan dan parti-parti komponen Pakatan Rakyat menganjurkan perhimpunan.

"Saya amat kesal dengan tindakan melampau pihak polis bagi menangani hal ini, mereka tidak profesional dan tidak demokratik," tegasnya.
Beliau turut menafikan bahawa wujud usaha mengadakan juga perhimpunan tersebut meskipun kononnya ia gagal diadakan di parlimen pagi tadi.
"Kita mendapat arahan daripada OCPD Dang Wangi, serta notis-notis yang ditampal di sekitar Pasar Seni ini melarang sebarang anjuran perhimpunan di kawasan tersebut," ujarnya.
Bahkan, beliau hanya datang bertiga ke lokasi yang didakwa akan dibuat perhimpunan tersebut.
Sejak pagi tadi, sekitar kawasan Pasar Seni dikawal ketat oleh tidak kurang daripada 100 pegawai polis berpakaian uniform serta lebih 100 anggota berpakaian preman daripada bahagian depan, sisi dan belakang bangunan tersebut.

Malah, pihak media juga diminta oleh pihak polis untuk segera meninggalkan lokasi Pasar Seni setelah Shamsul beredar dari tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, salahuddin Ayub pula menempelak tindakan pihak polis yang secara keterlaluan mengadakan sekatan jalan raya di seluruh jalan menuju ke bandaraya Kuala Lumpur.
"Tiada sebarang perhimpunan yang dianjurkan, ini merupakan pembohongan kali kedua oleh pihak tertentu.
"Takkan kita sebagai pimpinan Pakatan Rakyat tidak mengetahui mengenai perancangan untuk melaksanakan perhimpunan ini," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Beliau turut mendakwa apa yang dilakukan pihak polis adalah untuk mengharu-birukan situasi seolah-olah ingin menggambarkan kepada rakyat bahawa sekiranya usul undi tidak percaya diterima di Dewan Rakyat, keadaan akan menjadi tidak stabil.
"Kita kesal dengan kemarahan rakyat dengan tindakan polis yang sengaja mengundang keresahan di hati mereka.
"Apa yang jelas, kerajaan Umno-BN mahu menakut-nakutkan rakyat dalam situasi pelabur telah hilang keyakinan terhadap negara," ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Whip Parlimen, turut melahirkan rasa tidak puas hati apabila para pengamal media alternatif tidak dibenarkan membuat liputan di Dewan Rakyat khususnya mengenai usul undi tidak percaya oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - mks._
Sumber: HarakahDaily
No comments:
Post a Comment