Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, July 16, 2008

Debat bersejarah Anwar-Shabery

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan, Datuk Shabery Cheek mengambil bahagian dalam perdebatan bersejarah mengenai kenaikan harga minyak yang disiarkan secara langsung malam ini.

Perdebatan tersebut yang bertajuk "Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak' berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur.

Ia bermula jam 9 malam dan berakhir selama sejam.

Orang ramai menonton secara langsung perdebatan tersebut di Internet melalu Global Media Channel dan BernamaTV - atau di TV yang disiarkan oleh TV9, Astro Awani dan Bernama TV.

Perdebatan tersebut bermula dengan Anwar dan Shabery, masing-masing diberi masa empat minit sebagai pembuka bicara. Ia diikuti dengan soalan dari moderator, Datuk Johan Jaafar yang juga pengerusi DBP.

Kemudiannya dua ahli panel yang masing-masing mewakili Shabery dan Anwar bertanya soalan kepada kedua-duanyanya. Mereka ialah Editor Siasah, Zulkifli Sulong dan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Datuk Nordin Kardi.

Anwar berkata kerajaan boleh menjimatkan sekurang-kurang RM2 bilion sekiranya ia mengurangkan tahap simpanan tenaga negara dari 40 peratus sekarang, kepada 20 peratus dan dimanfaatkan untuk menurun harga minyak bagi mengurangkan beban rakyat.

Dengan itu, katanya, kerajaan dapat mengurangkan bayaran yang tinggi kepada syarikat penjana kuasa bebas (IPP) dan mengelak Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada terus menanggung kerugiaan.

Di samping itu, katanya, lebih banyak lagi dapat diselamatkan jika dapat dikurangkan kebocoran yang berlaku, termasuk RM700 juta akibat kebocoran dan penyelewengan dalam pembekalan diesel.

Menurutnya, kerajaan juga boleh memperuntukan RM1 bilion daripada dividen khas sebanyak RM6 bilion yang dibayar oleh Petronas kepada kerajaan untuk mengurangkan kadar harga minyak.

Berdasarkan cadangan tersebut, katanya, harga petrol boleh diturunkan sebanyak 50 sen kepada RM2.20 selitar.

"Saya minta dengan baik dan ikhlas, betulkan ini, kita boleh jimat ini," katanya.

Dalam ucapan pembukaannya, Anwar menegaskan melalui pengurusan ekonomi yang baik dan pembasmian rasuah, penjimatan kos membolehkan harga petrol dikurangkan sebanyak 50 sen, bagi meringan beban rakyat akibat kenaikan kenaikan mendakwa harga bahan bakar tersebut.

Menurutnya, pengurangan pembayaran kepada IPP serta keuntungan yang dicatatkan oleh Petronas yang hampir mencecah RM100 juta membolehkan kerajaan memperuntukkan RM3 bilion untuk diagihkan kepada rakyat melalui pengurangan harga minyak.

Shabery pula menjawab kerajaan terpaksa membayar subsidi sebanyak RM50 bilion jika ia mengekalkan harga minyak pada kadar RM1.92 selitar dan akan menjejaskan peruntukan untuk pembangunan yang lain.

Lagi pula, tambahnya, harga minyak dipengaruhi oleh faktor global. Beliau mengimbau krisis global pada 1973-74 di mana rakyat menyokong tindakan Tun Razak Hussein menubuhkan Petronas, tetapi mendakwa Anwar membantah, sepertimana yang dilakukannya sekarang.

Menurut Shabery lagi, jika subsidi ditingkatkan, ia akan menguntung orang berada dan juga rakyat asing. Oleh itu, katanya, mengapa tidak wang disalurkan terus kepada rakyat yang memerlukannya.

Menurutnya lagi, Finland dan Norway sebagai contoh, tidak memberi subsidi dan mempunyai prestasi ekonomi yang baik.

Anwar bagaimanapun berkata, negara ini tidak boleh dibandingkan dengan Norway yang mempunyai 10 kali ganda pendapatan perkapita daripada Malaysia.

Menurutnya, kenaikan mendadak harga minyak telah membebankan golongan miskin dan yang terpinggir dan meningkatkan lagi beban hidup mereka.

Tambahnya, Petronas mengaut keuntungan yang besar dan menduduki kumpulan 10 syarikat inyak tertinggi dari segi keuntungannya.

Bagaimanapun, katanya, Petronas adalah hak rakyat dan pengurangan 50 sen harga petrol adalah langkah pertama ke arah itu. Malah, katanya, kenaikan harga minyak tidak disokong oleh rakyat, kecuali ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sahaja.

Shabery kemudiannya menarik perhatian hadirin ke negara Venezuela dan Iran, yang mempunyai harga minyak yang murah tetapi kadar inflasi yang tinggi. Tetapi di Malaysia, katanya, kerajaan berjaya menangani krisis makanan, malah menurutnya harga beras di negara ini lebih murah dari Thailand. Jadi katanya tidak perlu mengadakan demonstrasi di jalan.

Anwar pula menegaskan bahawa bagi setiap AS$1 kenaikan harga minyak, menghasilkan RM360 juta kepada negara. Dan kenaikan kadar inflasi yang tinggi akan memburukkan ekonomi negara.

Shabery kemudiannya membangkitkan bahawa IPP wujud ketika Anwar dalam kerajaan, dan mendakwa bekas menteri kewangan itu mempertahankan kontrak mereka ketika itu.

Malah, katanya, Anwar menggunakan kaedah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk cuba menangani krisis pada 1997-98. Tambahnya, walaupun rakyat dalam kesukaran, tetapi mereka masih cukup untuk makan.

Anwar pula bertanya mengapa kerajaan memungkiri janji pilihanraya untuk tidak menaikkan harga minyak. Sebaliknya, kata beliau, kita harus melihat Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport minyak.

Shabery kemudiannya menegaskan bahawa Malaysia bukan sebuah negara utama pengeluar minyak dan menurutnya hanya 26 peratus keuntungan Petronas datangnya dari sumber tempatan dan syarikat minyak negara itu menggunakan keuntungannya untuk mencari minyak di luar negara. Dan Petronas kini muncul sebagai sebuah syarikat minyak terkemuka.

Anwar mengakui bahawa IPP diwujudkan ketika beliau dalam kerajaan, tetapi meminta Shabery meneliti rekod mengenai. Beliau berkata, Tan Sri Ani Arope (pengerusi TNB ketika itu) membantah terhadap EPU (Unit Perancang Ekonomi) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung IPP. Dan sebab itulah beliau meletakkan jawatan.

Menurutnya, IPP mengaut keuntungan berbilion ringgit tetapi yang menanggung kerugian adalah Petronas dan TNB.

Katanya, kebocoran dan kronisme boleh ditangani dan menjimatkan sejumlah RM3 bilion. Malah, kata Anwar lagi, tindakan menaikkan secara mendadak harga minyak adalah preskripsi IMF.

Oleh itu, katanya, adalah satu fitnah untuk mengatakan bahawa beliau tunduk kepada kehendak IMF sewaktu krisis ekonomi pada 1997-98.

Anwar berkata, terdapat dividen khas sebanyak RM6 bilion yang dibayar kepada kerajaan tahun ini, dan mengapa tidak boleh diambil RM1 bilion untuk mengurangkan harga minyak. .

Sumber: Malaysiakini

No comments: