Mantan timbalan perdana menteri ditahan pada 16 Julai lalu di ibu pejabat polis (IPK) Kuala Lumpur berhubung dakwaan liwat terhadapnya dan dibebaskan dengan ikat jamin pada hari berikutnya.
"Selepas beliau (Anwar) dibebaskan - bahagian ini tidak divideokan - kumpulan forensik (polis) cepat-cepat masuk ke dalam bilik (Anwar ditahan) dan mengambil semua kesan rambut dan bulu, dan mungkin juga sel kulit Anwar," kata Sivarasa Rasiah.
"Adakah (tindakan) ini dilakukan terhadap tahanan reman? Tidak.
"Kenapa ini dilakukan dalam kes Anwar? Kenapa hantar kumpulan forensik? Apakah releven siasatan dengan cara begini," kata Sivarasa, yang juga naib presiden PKR, kepada pemberita hari ini.
Beliau sebelum itu memberikan keterangan kepada polis berhubung siasatan akuan berkanun pertama penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang mengaitkan timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dengan Altantuya Shaariibuu.
Tindakan forensik itu, tambahnya "menimbulkan banyak persoalan" dan "motifnya diragui".
Menurutnya lagi, beliau mendapat tahu mengenai tindakan pasukan forensik itu sehari selepas Anwar dibebaskan.
Ditanya sama ada kemungkinan polis mengambil DNA Anwar melalui kesan-kesan yang diambil, beliau tidak menafikannya, tetapi, menurut beliau, "secara saintifiknya sampel itu tidak boleh dipakai".
"Kita boleh buat spekulasi. Apa tujuannya (ambil rambut, bulu dan sel kulit)? Kenapa mahu ambil sampel dari simen. Apa relevannya?
"Mungkin dia (polis) akan cuba ambil sampel DNA dengan cara ini. Tetapi ini akan dibantah dalam mahkamah, jika digunakan.
"Bagaimana kamu boleh ambil sampel macam ini... sebab (dalam) lokap itu, kita tahu, ini fakta, hari sebelumnya memang dipenuhi tahanan lain.
"Jadi, secara saintifik, sampel yang diambil tidak boleh dipakai (kerana mungkin bercampur dengan sampel lain)," kata Sivarasa.
Pergerakan Anwar dirakam
Katanya, polis juga merakam seluruh pergerakan Anwar, menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) dan perakam video sepanjang beliau berada di Kuala Lumpur, tambah Sivarasa.
Rakaman kamera video dibuat oleh anggota polis yang berpakaian biasa, tambahnya.
"Setiap masa. Termasuk waktu beliau hendak solat. Waktu beliau ambil air sembahyang, beliau kata (kepada polis): Berhenti rakam," katanya.
Mengulas lanjut mengenainya, Sivarasa berkata: "Saya tak pernah tengok orang yang di bawah jagaan polis dirakamkan sebegitu, dari mula sampai habis penahanan.
"Saya tertanya-tanya, apa yang sedang berlaku?"
Beliau menyifatkan perkara itu sebagai "keterlaluan."
Menurut Sivarasa, perbuatan itu mempunyai "niat politik" dan "tidak ikhlas"."
Memang kita akan bangkitkan, dalam kes-kes lain tidak ada, tetapi dalam kes Anwar ada. Ini jadi satu persoalan. Ini menunjukkan motif pihak penyiasat. Pihak polis dalam kes ini tidak ikhlas. Ada niat politik tidak ikhlas."
Bagaimanapun, tambahnya, rakaman tidak dibuat semasa Anwar bersama doktor untuk pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment