Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, July 29, 2008

PKR mahu doktor dilindungi

Setiausaha agung PKR menggesa keselamatan seorang doktor yang pernah memeriksa Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilindungi oleh polis.

Datuk Salehuddin Hashim berkata parti itu berasa gusar dengan dakwaan polis telah menyiasat Dr Mohamed Osman Abdul Hamid dan kini beliau dan keluarganya "sedang bersembunyi."

"Semua jaminan mestilah diberikan untuk menjaga keselamatan dan memberikan perlindungan kepadanya," kata Salehuddin.Beliau juga berkata pendedahan laporan pemeriksaan terhadap pemuda 23 tahun itu menambahkan keyakinan PKR bahawa dakwaan terhadap penasihat parti itu "tanpa asas dan berniat politik."

"Kewujudan laporan perubatan ini mengikis lagi keyakinan orang ramai terhadap kewibawaan laporan polis yang dibuat (oleh Mohd Saiful) terhadap Anwar, satu laporan yang hingga kini kekal penuh kerahsiaan," katanya dalam satu kenyataan.

"Kenapa laporan perubatan ini hanya muncul hari ini, sebulan selepas dakwaan itu dibuat, selepas Anwar terpaksa bermalam di lokap, dan selepas polis menghabiskan banyak masa dan wang menyiasat kes ini."

Timbalan ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar hari ini menafikan polis menahan doktor terbabit bagi membantu siasatan, lapor Bernama.

Laporan blog Malaysia Today adalah tidak berasas kerana doktor itu hanya dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan, tambahnya.

"Laporan itu adalah tidak berasas. Kita hanya mengambil keterangan mengikut prosedur biasa, tidak timbul isu tahan-tahan seperti yang dilaporkan," katanya kepada agensi berita itu.

Dr Mohamed Osman antara 18 saksi yang sudah dipanggil untuk direkodkan keterangan sebelum ini.

Ismail bagaimanapun enggan mengulas mengenai laporan Malaysiakiniyang mendakwa pemeriksaan perubatan terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan yang dikeluarkan oleh sebuah hospital swasta tidak menunjukkan kesan liwat.

"Saya tidak mahu komen kerana siasatan kes itu masih berjalan,"katanya.

Pada 16 Julai, Anwar ditahan selama hampir 24 jam di ibu pejabatpolis kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes itu.

Beliau dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan kesihatan, termasuk dibogel dan alat sulitnya diukur, namun enggan membenarkan darahnya diambil bagi ujian DNA.

Sumber: Malaysiakini

No comments: