Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Sunday, August 3, 2008

Penjual baju T Bersih dipanggil polis

Dua penjual baju T kuning - simbol bantahan terbesar dalam sejarah Malaysia - Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) dipanggil oleh polis untuk memberi keterangan berhubung demonstrasi besar 10 November tahun lepas.

Abdul Halim Mohd Sharif dan seorang lagi yang hanya mahu dikenali sebagai Azif dipanggil ke ibu pejabat polis bahagian jenayah perdagangan jam 10 pagi Selasa depan.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Abdul Halim berkata, beliau akan pergi bersama dengan peguamnya Khairudin Othman.

Menurut Azif pula, beliau akan diiringi oleh kakitangan sekretariat Bersih.

Dihubungi berasingan awal malam ini, kedua-dua pemuda tersebut berkata mereka akan memberi kerjasama kepada polis.

Mereka berkata penjualan baju T itu sekadar "membantu kawan-kawan."

Puluhan ribu penyokong pembangkang memenuhi tengah ibu kota tahun lepas bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendesak pilihanraya yang bebas penyelewengan.

Bersih adalah gabungan parti-parti pembangkang dan lebih 70 badan bukan kerajaan.

Satu daripada empat tuntutannya - memperkenalkan dakwat kekal di jari pemilih bagi mengelak kejadian pengundian berganda - hampir dilaksanakan, tetapi dibatalkan di saat-saat akhir.

Pada 12 Jun lalu, dua petugas urusetia Bersih dipanggil ke ibu pejabat polis yang sama berhubung siasatan perhimpunan tersebut.

Faisal Mustaffa, yang juga jurucakap urusetia itu, dan Medaline Chang memberikan keterangan kepada pegawai penyiasat ASP Amran Md Jusin.

ASP Amran juga pegawai sama yang menyiasat kelima-lima pemimpin Pakatan Rakyat yang terlibat dengan Bersih lima hari selepas demonstrasi bersejarah itu.

Mereka adalah: naib presiden PKR Sivarasa Rasiah, naib presiden PAS Mohamad Sabu, ketua penerangan DAP Ronnie Liuserta dua jawatankuasa PAS Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Mohd Anuar Tahir.

Abdul Halim dan Azif akan disiasat oleh pegawai polis yang sama.

Sumber: Malaysiakini

No comments: