Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, July 23, 2009

H1N1: Empat kolej ditutup di Melaka - Malaysiakini

Empat lagi institusi pengajian, semuanya di Melaka, ditutup serta-merta selama seminggu mulai hari ini susulan penularan tempatan yang kian serius wabak jangkitan influenza A(H1N1).

Sebanyak 13 kes direkodkan dari empat gugusan penularan wabak itu, menjadikan 18 kes terbaru hari ini, termasuk satu kes import.

Jumlah terkumpul kes wabak tersebut sehingga kini 939 kes, termasuk 366 kes jangkitan tempatan.

"Hanya 11 kes atau 1 peratus sahaja sedang menerima rawatan anti-virus di hospital. Baki 922 kes atau 98 peratus telah sembuh dan lima kes atau 1 peratus menerima rawatan pesakit luar di rumah masing-masing," kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Menurut kenyataannya di laman web rasmi wabak itu, empat gugusan kejadian wabak seperti berikut:

Lima kes di kalangan pelajar Maktab Perguruan Durian Daun, Melaka. Maktab ini mempunyai seramai 1,878 pelatih dan sejumlah 130 kes bergejala penyakit seakan-akan selesema (ILI) dikesan sejak 20 Julai lalu.

Empat kes di kalangan 1,258 pelajar Kolej Yayasan Mara, Melaka. Seramai 33 pelajar telah dilaporkan menghidap jangkitan ILI dan dari pada lima sampel rawak yang diambil, empat disahkan positif dijangkiti influenza A(H1N1).

Susulan itu, 32 pelajar kes ILI telah dikuarantin di bilik pengasingan di asrama kolej tersebut sejak 21 Julai lalu, sementara seorang pelajar telah dimasukkan ke Hospital Melaka dan sedang menerima rawatan antivirus.

Tiga kes di kalangan pelajar penghuni asrama Kolej Profesional Mara, Melaka. Asrama ini mempunyai 161 orang penghuni, iaitu 153 pelajar dan lapan kakitangan dilaporkan mempunyai 41 kes ILI.

Tiga sampel rawak yang diambil mendapati semuanya positif jangkitan influenza A (H1N1).

Pelajar yang terlibat dikuarantin di salah sebuah blok penginapan mulai 21 Julai. Tiada kes baru dikesan di kalangan pelajar lain.

Satu kes di Sekolah Latihan Jururawat Nilam di Bachang yang mempunyai 326 pelatih jururawat dan 20 kakitangan.

Seramai 27 orang menunjukkan gejala ILI dan daripada 2 sampel yang diambil, satu disahkan positif dengan jangkitan influenza A (H1N1). Kes-kes berkenaan diasingkan di asrama kolej.

"Kesemua 4 fasiliti (kemudahan) yang dimaksudkan telah diarahkan ditutup serta-merta mulai 23 Julai selama tujuh hari untuk membendung penularan di institusi berkenaan," kata Liow lagi.

Malaysiakini

No comments: