Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Sunday, July 19, 2009

Semua pimpinan Pakatan Rakyat sertai Himpunan Mansuh - Harakah

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Hrkh) - Bantahan terhadap akta zalim ISA akan dizahirkan secara jelas apabila ketiga-tiga parti PAS, KeADILan dan DAP dalam Pakatan Rakyat sepakat menyatakan sokongan untuk menyertai Perhimpunan Mansuh bagi menentang undang-undang 'rimba' itu, 1 Ogos depan.

Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim menegaskan mengenai persetujuan serta sokongan Pakatan Rakyat terhadap perhimpunan tersebut dalam sidang media yang diadakan sebaik sahaja selesai Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, 17 Julai lalu.

Jelas Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, semua pimpinan Pakatan Rakyat akan turun dalam perhimpunan tersebut bagi menyatakan sikap serta mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman ISA termasuk kes-kes kematian dalam tahanan.

Turut serta dalam sidang akhbar tersebut ialah Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden KeADILan, Dato' Seri Wan Azizah Ismail, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Hussin Ali serta pimpinan kanan ketiga-tiga parti juga turut hadir dalam sidang media tersebut.

Menurut Anwar, pada mesyuarat tersebut turut membincangkan langkah-langkah memperkukuh Pakatan Rakyat melalui panel Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang dibentuk untuk mengkaji setiap kementerian dalam kerajaan yang akan memperkemaskan lagi pelaksanaan tugas mereka.

Selain itu katanya, mesyuarat tersebut juga mencadangkan supaya ketua serta wakil whip di Parlimen berfungsi memastikan jawatankuasa panel terus mengadakan perbincangan menentukan dasar-dasar bersama oleh pimpinan parti.

Anwar juga menyatakan mesyuarat itu juga bersetuju untuk memperkukuh sekretariat Pakatan Rakyat dengan tiga wakil pimpinan setiap parti mengendalikan sekretariat Pakatan Rakyat di peringkat pusat.

Justeru katanya, satu seminar akan diadakan dalam waktu terdekat bagi memperkukuh gagasan itu yang akan dihadiri oleh 30 pimpinan dalam setiap parti dalam Pakatan Rakyat.

Tambahnya lagi, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat juga sepakat agar jawatankuasa sekretariat peringkat negeri diperkukuhkan segera. Dalam pada itu katanya, jawatankuasa pilihan raya ketiga-tiga parti juga bersetuju untuk mengadakan pertemuan serta berbincang mengenai strategi dan langkah-langkah yang diperlukan bagi berdepan dengan pilihan raya.

"Dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, kami juga meminta Ketua Pemuda, Ketua Wanita serta Ketua Penerangan ketiga-tiga parti untuk turut bersama dalam perjumpaan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

"Sekretariat juga diminta agar membincangkan terlebih dahulu mengenai isu dasar serta kenyataan yang dibuat mestilah tunduk kepada semangat serta dasar yang diputuskan. Ketua Penerangan diminta segera mengkaji langkah untuk memperkuat usaha dalam penerangan termasuk blog Pakatan Rakyat serta media Pakatan Rakyat bagi mempastikan penerangan serta penjelasan disampaikan kepada rakyat," katanya.

Sementara itu ketika menjawab soalan pemberitya, sama ada mesyuarat tersebut ada membincangkan mengenai kemenangan tipis PAS dalam Pilihan Raya Kecil Manek Urai, jelas Anwar perkara tersebut tidak dibincangkan sebaliknya Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada PAS kerana dapat mengekalkan kemenangan.

"Pilihan Raya Kecil Manek Urai merupakan sejarah penting kerana selama 14 tahun sukar bagi PAS untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil. Bagaimanapun dengan kekuatan yang ada pada PAS dan Pakatan Rakyat, kita dapat bertahan dengan keputusan 6-0 dalam siri pilihan raya kecil," katanya. - mns_

Harakah

No comments: