Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, July 13, 2009

H1N1: 60 siswa UiTM Lendu diasingkan - Malaysiakini

Buat pertama kali dalam rekod penularan wabak influenza A (H1N1), kes tempatan mengatasi kes import - masing-masing 34 dan 28 kes - menjadikan jumlah keseluruhannya 772 kes.

Susulan penularan meluas gejala wabak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka yang dikesan mulai Sabtu lepas, 60 pelajar kini diasingkan.

Empat pelajar telah disahkan positif virus A (H1N1).

Dengan pertambahan 62 kes baru itu, 237 kes melibatkan penularan tempatan dan 535 kes lagi import (lihat carta jumlah kes mingguan).

"Tiada kematian dilaporkan. Daripada 34 kes jangkitan tempatan, 24 menerima rawatan pesakit luar, sementara 10 lagi telah dimasukkan ke wad," kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Daripada jumlah keseluruhan pesakit influenza A (H1N1) yang disahkan, sejumlah 685 atau 89 peratus telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital.

"Baki pesakit yang sedang dirawat berjumlah 87 orang, termasuk
mereka yang menerima rawatan pesakit luar," katanya lagi.

Dalam kenyataan hariannya, Kementerian Kesihatan juga ingin memaklum bahawa terdapat satu kumpulan kes influenza dikesan di kalangan pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka pada Sabtu lepas.

"Seramai 60 pelajar dengan gejala influenza telah diletakkan bawah pengasingan di kolej berkenaan.

"Ujian makmal telah dijalankan secara rawak pada 11 Julai melibatkan lima pelajar. Hasilnya, empat pelajar disahkan positif jangkitan influenza A(H1N1)," tambahnya.

"Sehingga kini, dua orang pelajar telah dimasukkan ke Hospital Melaka, manakala tiga pelajar lagi diletakkan di bawah pemantauan di rumah masing-masing, iaitu dua di Selangor dan satu di Kuala Lumpur.

"Semua dalam keadaan stabil."

Kerjasama antara pengurusan tertinggi UiTM dan Jabatan Kesihatan Melaka telah diadakan bagi membincangkan langkah-langkah kawalan dan pencegahan wabak tersebut, kata Dr Mohd Ismail.

Langkah-langkah itu termasuk aktiviti saringan ke atas pelajar lain yang terdedah serta proses pembasmian kuman (dekontaminasi) ke atas semua blok penginapan dan pengasingan, dewan kuliah dan bangunan-bangunan lain yang digunakan pelajar.

Dalam kenyataannya semalam, kementerian memaklumkan Sekolah Rendah Sulaiman 1, Kuala Terengganu ditutup sehingga Rabu ini yang melibatkan 1,456 pelajar, guru dan kakitangan susulan dua pelajarnya dijangkiti virus wabak tersebut.

Selain itu, semua pelajar Tingkatan 4 Jaya, Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur telah dikenakan tindakan kuarantin di rumah masing-masing - berkuatkuasa sehingga Rabu ini.

Khamis lalu, wujud gejala penularan tempatan yang tidak lagi dapat dikesan puncanya, termasuk di sebuah syarikat swasta di Cyberjaya.

Seramai 12 orang disahkan diserang wabak antara 4 hingga 8 Julai, sementara 200 lagi kakitangan di aras yang sama sedang diawasi di pejabat.

"Punca kejadian kemungkinan berlaku di syarikat berkenaan berdasarkan siasatan mendapati syarikat berkenaan sentiasa menerima pelawat-pelawat dari luar negara," kata kementerian.

Rabu lalu pula, kementerian mendedahkan perkembangan gejala seakan-akan influenza di Akademi Laut Malaysia (ALAM), Melaka yang melibatkan 50 orang pelatih dan enam disahkan positif.

"Kesemua 50 pelatih yang yang menunjukkan gejala telah ditempatkan di blok pengasingan dalam kompleks ALAM dan telah diberikan rawatan antivirus, dan kesemuanya dalam keadaan stabil.

"Kesemua pelatih dan anggota ALAM yang tiada gejala telah diletakkan di bawah pengawasan," kenyataan kementerian dipetik.

Susulan merebaknya wabak tersebut di syarikat swasta itu dan ALAM, menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, "ini memberi petunjuk awal bahawa terdapat penularan influenza A(H1N1) di dalam komuniti."

Malaysiakini

No comments: