Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, November 28, 2008

Ada ahli PKR percaya Anwar bohong

dikemaskini Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali mengakui terdapat anggota parti itu yang percaya terhadap tuduhan penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berbohong tentang projek pembentukan kerajaan baru peringkat persekutuan 16 September lalu.

"Tidak ramai yang mempercayai propaganda (media arus perdana) ini.
"Malangnya saya lihat ada juga segelintir paling kecil anggota PKR, termasuk Angkatan Muda Keadilan (AMK) serta Wanita PKR, yang termakan oleh propaganda murahan ini," katanya sewaktu merasmikan kongres dua sayap utama parti itu di Stadium Malawati, Shah Alam pagi ini.

Bagaimanapun, menurutnya, sebilangan besar rakyat, dan hampir semua anggota parti dalam Pakatan Rakyat tetap mengharapkan projek itu menjadi kenyataan setidak-tidaknya dalam pilihanraya umum akan datang.

"Saya tahu bahawa seluruh anggota parti dan rakyat yang mahukan perubahan yakin Anwar becakap benar tentang bilangan Anggota Parlimen yang hendak berpindah itu cukup," katanya.

Pemimpin nombor dua dalam PKR itu berkata demikian ketika menjawab tuduhan terhadap pemimpin Pakatan bahawa Anwar berbohong tentang bilangan ahli-ahli parlimen BN yang hendak melompat kepada gabungan pembangkang bagi menumbang kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dr Syed Husin berkata, dakwaan yang dibuat melalui media milik parti BN juga mendakwa projek itu gagal kerana Umno-BN serta pimpinan parti itu kuat dan bersatu-padu.

Mengulas projek pembambilalihan kuasa itu, Dr Syed Husin menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan "perpindahan kuasa belum dapat dilaksanakan".

"Kita tahu ramai telah memberi surat pengakuan atau menyediakan surat sumpah akan berpindah. Namun ada yang takut (mereka) mungkin disekat apabila diperlukan bangun dalam Parlimen untuk membuktikan sokongan kepada sebarang usul yang dikemukakan pihak Pakatan," katanya.

Dr Syed juga mendakwa ahli-ahli parlimen itu menerima tekanan dan ugutan yang kuat, antaranya daripada polis Cawangan Khas (SB) yang "sepanjang masa bertunggu bertangga mengawasi segenap pergerakan mereka (ahli parlimen BN)".

Selain itu, katanya lagi, percubaan pemimpin Pakatan hendak bertemu perdana menteri bagi meminta sidang khas Parlimen diadakan bagi membincang dan memutuskan pelan perpindahan kuasa itu sentiasa ditolak.

"Memandangkan segala hambatan dan halangan ini, maka perpindahan kuasa belum dapat dilaksanakan lagi. Tetapi ini bukannya bermakna ia gagal dilaksana buat selama-lamanya," katanya.

Dr Syed Husin menjangkakan Anwar dan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail akan menyentuh lanjut perkara itu dalam ucapan masing-masing di kongres tahunan kelima PKR selama dua hari yang bermula esok.

Wan Azizah pagi esok akan menyampaikan ucapan dasar beliau bertemakan 'Harapan Baru', sementara Anwar sebagai ketua umum PKR akan turut menyampaikan ucapannya selepas itu.

Bercakap dalam sidang media selepas majlis perasmian itu, Dr Syed Husin berkata tarikh 16 September yang disebut-sebut sebelum ini hanyalah "permulaan kepada perubahan dan bukannya pengakhiran kepada segala-galanya".

PKR sekarang, katanya, "bercakap sedikit, kerja banyak" ke arah pembentukan kerajaan persekutuan seperti diusahakan Anwar.

Mengulas pengambilalihan itu, beliau berkata: "Ia mungkin datang lebih awal daripada pilihanraya umum ke-13."


Sumber: Malaysiakini

AMK: Tukar k'jaan pusat tahun depan

Angkatan Muda Keadilan (AMK) yakin projek pertukaran kerajaan persekutuan yang dipelopori oleh penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berjaya tahun depan, kata ketua pergerakan itu Shamsul Iskandar Md Akin.

"Fajar akan menyingsing tahun hadapan," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini.

Menurutnya lagi, Anwar yang juga ketua pembangkang telah berjaya membina kesediaan mentaliti rakyat untuk melakukan perubahan kerajaan persekutuan melalui ura-uranya untuk berbuat demikian menjelang 16 September lepas.

Bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan sehingga Anwar dituduh bermain-main dengan dakwaannya itu atau cuba berbohong kepada umum.

Shamsul Iskandar mengakui menukar kerajaan pusat bukan satu tugas mudah dan menafikan projek tersebut telah gagal atau janji kosong Pakatan.

"Kalau beliau (Anwar) berjanji tetapi tidak laksanakan, tidak berusaha (ke arah itu), boleh dianggap beliau berbohong," katanya, dengan menambah Anwar dan Pakatan telah mencuba beberapa langkah termasuk mengutus surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan mengusulkan untuk mengadakan sidang tergempar Parlimen.

Beliau percaya isu pertukaran kerajaan akan dibangkitkan oleh para perwakilan AMK dalam kongres sehari pergerakan itu di Stadium Melawati, Shah Alam hari ini.

Mengulas kebimbangan PKR dan kerjasama Pakatan Rakyat akan hilang arah tanpa Anwar, beliau berkata usaha sedang berjalan untuk melahirkan generasi pemimpin pelapis bagi berdepan senario sedemikian.

Tambahnya, beliau juga yakin pemimpin pelapis sudah wujud dalam PAS dan DAP bagi berdepan dengan senario penggantian generasi pemimpin atasan termasuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Lim Kit Siang atau Karpal Singh.

"Kita harus optimis, ramai pasukan pelapis di kalangan pimpinan PKR (dan Pakatan) dianggotai oleh orang muda," katanya.

Beliau memberi contoh Timbalan Presiden PAS Nasarudin Mat Isa, Naib Presidennya Datuk Husam Musa, Naib Presiden PKR Azmin Ali, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan ahli parlimen DAP bagi Puchong, Gobind Singh Deo antara tokoh-tokoh yang boleh memimpin Pakatan Rakyat dalam masa akan datang.


Sumber: Malaysiakini

Raja Perempuan Besar Perlis mangkat

KANGAR: Raja Perempuan Besar Perlis, Tengku Budriah Tengku Ismail, 84, mangkat di Hospital Kuala Lumpur pada 3.47 pagi tadi.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu mengumumkan kemangkatan bonda Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail itu melalui stesen Radio Malaysia Perlis sebentar tadi.

Almarhum adalah Raja Permaisuri Agong yang ketiga antara 1960 dan 1965 dan menjadi Raja Perempuan Perlis bermula 1945 sehingga kemangkatan almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 2001.

Jenazah almarhum diterbangkan dari lapangan terbang Subang ke Alor Star dan dibawa ke Istana Arau untuk membolehkan rakyat memberi penghormatan terakhir bermula tengah hari ini sebelum disemadikan di Makam Diraja Arau selepas solat Asar.

Md Isa berkata, bagi menghormati kemangkatan itu, bendera dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula hari ini dan semua acara keramaian dan berbentuk hiburan ditangguhkan. BERNAMA

Sumber: mSTAR

Bersihkan anasir BN dari negeri Pakatan

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa kerajaan Pakatan Rakyat di lima negeri dengan tanpa banyak alasan segera "membersihkan kerajaan negeri daripada anasir BN".

"AMK dengan ini memberikan peringatan kepada kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Jangan berdolak-dalik dengan seribu satu alasan. Pembersihan kerajaan daripada anasir BN mesti dilaksanakan tanpa bertangguh," kata ketuanya Shamsul Iskandar Md Akin.

"Kita tidak boleh terpukau dan terpedaya dengan pemimpin dan ahli BN yang bertukar kulit hanya semata-mata untuk terus membolot peluang, tanpa menghayati falsafah perjuangan kita, tanpa menunjukkan komitmen untuk menghayati prinsip-prinsip perjuangan yang kita dukung."

Shamsul Iskandar mengkritik kerajaan gabungan PKR, DAP dan PAS yang didakwanya "cuai melaksanakan janji" untuk membuat pembersihan dalam pentadbiran "sehingga ke akar".

"Sekarang rakyat telah memilih kita. Rakyat mahu kita melakukan perubahan. Salah satu perubahan yang telah kita janjikan ialah untuk membersihkan kerajaan daripada kebobrokan Umno-BN.

"Kenapa setelah rakyat memberikan kita amanah, kita cuai untuk melaksanakan janji ini?" katanya ketika menyampaikan ucapan dasar ketua angkatan muda PKR dalam kongres tahun pergerakan itu di Stadium Malawati, Shah Alam hari ini.

Berhubung perkara itu, beliau menambah, kebergantungan kerajaan Pakatan terhadap birokrasi kerajaan dan jentera BN hari ini "menjadi lelucon dan sesuatu yang malang".

"Pergantungan kepada birokrasi semata-mata, atau lebih malang kepada aparat-aparat BN, sudah tentu tidak memadai. Sudah barang tentu menjadi lelucon untuk kita terus membiarkan anasir-anasir BN berleluasa dan mengakar di dalam kerajaan-kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan.

"Selama ini kita mengkritik mereka sebagai (pengamal) rasuah, khianat kepada amanah rakyat dan sebagainya.

"Kita mengambil risiko, bermati-matian menentang mereka di dalam pilihanraya kerana kita mahu menggantikan mereka dengan pemimpin yang berintegriti di semua peringkat," kata Shamsul Iskandar di depan hampir 600 perwakilan AMK.

Beliau turut mempersoalkan ahli-ahli parti itu yang diketepikan dalam jentera kerajaan negeri Pakatan dengan "alasan bukan-bukan", termasuk tiada pengalaman.

"Pemimpin-pemimpin utama PKR terdiri daripada mereka yang mempunyai kelayakan yang sangat cemerlang. Profesor dan pakar di dalam pelbagai bidang.

"Kenapa sehingga ke hari ini mereka masih tidak diangkat memainkan peranan utama memberi sumbangan dalam perencanaan dan operasi kerajaan-kerajaan negeri?" katanya.

Dengan nada amaran, Shamsul Iskandar berkata, sekiranya terdapat pemimpin kerajaan Pakatan yang teragak-agak, takut kepada risiko dan perubahan, pergerakan itu tiada pilihan selain menggantikan pemimpin itu.

"Sekiranya ada pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Pakatan teragak-agak, gentar untuk membuat perubahan, takut kepada risiko; kita tidak ada pilihan selain menuntut perubahan dalaman untuk menggantikan mereka dengan pemimpin yang benar-benar mampu memimpin dan membuat keputusan.

"Kerajaan mesti dipimpin, bukan semata-mata diurus," katanya.

Beliau dalam ucapannya itu bagaimanapun tidak menamakan dengan jelas pemimpin yang dimaksudkannya itu.


Sumber: Perisik Rakyat

Live Dari Stadium Melawati

Siaran Langsung Parti Keadilan Rakyat di www.justin.tv/anwaribrahim

SHAH ALAM, 28 NOVEMBER (SK)-9PAGI- Timbalan Presiden Syed Husin Ali tiba diiringi oleh Ketua Angkatan Muda, Shamsul Iskandar dan Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin serta exco.
Beliau tiba disambut dengan muzik dari pelbagai kaum serta memeriksa barisan skuad Angkatan Muda.


Dianggarkan kira-kira 2000 berada didalam stadium yang terdiri daripada semua bangsa dan pelbagai latar belakang.

Diantara pimpinan yang kelihatan hadir ialah Naib Presiden KeADILan Azmin Ali dan Pengarah Strategi Saifudin Nasution.

Sumber: Suara Keadilan

UMNO GAGAL SERANG PAKATAN RAKYAT DI SELANGOR

Isu arak, judi dan kandang babi mula diberi perhatian oleh UMNO terutamanya selepas mereka gagal berdepan dengan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat di dalam isu-isu lain yang lebih besar. Mengapa isu ini dimainkan? Ini adalah kerana untuk mendapatkan perhatian orang-orang Melayu yang berugama Islam kononnya UMNO amat `benci' kepada arak, judi dan babi serta untuk menggambarkan bahawa UMNO itu lebih Islamik. Seperti juga mereka memainkan isu ketuanan Melayu dan Bahasa Melayu, adalah semata-mata untuk menunjukkan tanpa adanya UMNO di muka bumi ini, maka hilanglah Melayu. Samalah juga kita beranggapan, tiadanya UMNO maka tiadalah Akta ISA.

Di Selangor isu kandang babi adalah isu pertama mereka selepas Selangor diambil alih oleh PR. Seolah-olah babi mula beranak dan membiak sejurus sahaja PR mengambil alih Kerajaan Selangor. Atas kebijaksanaan MB Selangor dan kepimpinan PR di Selangor, isu ini menjadi bahan jenaka rakyat di Selangor. UMNO sebenarnya cuba untuk mencari isu lain seperti rasuah, penyelewengan atau ketidaktelusan Kerajaan Selangor, tetapi mereka gagal kerana Kerajaan Selangor di bawah PR jauh berbeza dengan corak pemerintahan mereka dahulu. Kewibawaan MB Selangor yang tegas membasmi rasuah dan salah laku tanpa mengira siapa hatta pegawai di pejabatnya sendiri, menjadikan UMNO `mati kutu' dan hilang modal di Selangor.

Terbaru timbul pula isu arak di Selangor. Media arus perdana mengambil kesempatan di atas isu ini kerana mereka melihat isu ini menjadi perdebatan di kalangan pimpinan parti di dalam PR sendiri. Media menggambarkan PAS seolah-olah tidak mahu arak dijual berleluasa di Selangor, manakala DAP dan PKR hanya mahu agar penjualan arak di Selangor dikawal sahaja. Media turut menggambarkan bahawa PAS punyai strategi tersendiri untuk menyekat penjualan arak di Selangor. Ada kesannya juga propaganda media ini, di mana terdapat beberapa pihak di dalam PR tidak senang dengan cara PAS sedemikian. Tetapi, apabila MB Selangor sendiri membuat kenyataan selepas Mesyuarat Exco yang turut dihadiri oleh wakil-wakil dari semua parti Pakatan Rakyat di Selangor, maka propaganda media ini terhenti setakat itu. Kebijaksanaan MB Selangor bertindak pantas `membunuh' serangan media yang membawa virus yang lebih bahaya dari `Virus JE' ini harus dipuji.

Rakyat di Selangor sebenarnya memahami bahawa isu arak, judi dan penternakan babi yang sering dibawa oleh UMNO terutamanya adalah semata-mata untuk memburukkan Kerajaan PR di Selangor. Jika ditanya balik kepada mereka, siapakah yang mengeluarkan lesen meluluskan kilang arak dan judi di negara ini, pemimpin-pemimpin UMNO akan terkelu lidah untuk menjawab. Di dalam isu babi, tercatat sejarah hitam di Negeri Sembilan iaitu di Bukit Pelandok, Port Dickson di mana Virus JE telah membunuh beberapa orang akibat penternakan babi yang tidak terkawal. Ketika itu, Kerajaan Negeri Sembilan diperintah oleh siapa? Isu judi yang ditimbulkan di Negeri Selangor pula seolah-olah Selangor mengatasi Genting Highland di Pahang di dalam mewujudkan pusat judi terbesar. Adakah Pahang diperintah oleh PAS? Seandainya Pahang diperintah oleh PAS, belum tentu PAS dapat menghapuskan pusat judi tersebut kerana lesen perjudian dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat.

Suka saya menyarankan agar UMNO sekiranya ikhlas untuk menghapuskan arak atau judi di dalam negara ini, mereka seharusnya berani mengusulkan di Parlimen atau di dalam Mesyuarat Kabinet agar kerajaan tidak mengeluarkan lesen judi dan arak. Sekiranya usaha mereka gagal, mereka harus keluar dari UMNO dan mencuba nasib mereka di dalam PR untuk membantu PR menjadi kerajaan. Saya yakin, di dalam Parti-Parti PR yang terdiri dari PKR, PAS dan DAP kesemuanya bersetuju bahawa arak dan judi itu lebih banyak mendatangkan keburukan dari kebaikan. Buat masa sekarang, PR belum berkuasa di peringkat pusat, maka adalah lebih baik Pemimpin PR menjalankan kempen besar-besaran di kalangan rakyat agar membenci judi dan arak. Letakkan keburukan judi dan arak ini setaraf dengan keburukan amalan rasuah di dalam pentadbiran semua kerajaan negeri di bawah PR.


MERDEKA RAKYAT NEGARA PERKASA


W.FAUZDIN NS

Kenyataan Media DSAI

—KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA—

KUALA LUMPUR, 27 NOVEMBER 2008

Kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato’ Liew Vui Keong di Parlimen semalam yang menafikan berlakunya pengaliran keluar pelaburan asing sebanyak RM 38 billion membuktikan sikap tidak bertanggungjawab kerajaan dan kedangkalan Timbalan Menteri tersebut akan kedudukan sebenar aliran pelaburan langsung asing di negara ini.

Kita bukan sahaja menghadapi fenomena aliran keluar pelaburan asing secara langsung(FDI) sebanyak RM38 bilion malah berhadapan dengan pelabur-pelabur tempatan yang mulai melabur di luar negara termasuk sektor pekilangan yang menutup atau mengecilkan operasi kilang-kilang mereka. Kita juga menyaksikan bagaimana pengeluaran pelaburan asing dari bursa saham negara menyebabkan kerajaan terpaksa menyuntik RM5 billion melalui Valuecap Bhd untuk menyelamatkan pasaran saham, dan sebagainya.

Seharusnya Timbalan Menteri berkenaan sedar akan peningkatan mendadak pembuangan kerja dan pemberhentian secara sukarela “VSS” di kilang-kilang dan perusahaan-perusahaan lain diseluruh negara akibat pengaliran keluar pelaburan langsung asing amat meruncing sekarang.

Timbalan Menteri juga perlu menginsafi fenomena aliran bersih pelaburan langsung asing yang negatif ini hanya dialami oleh Malaysia sedangkan negara-negara lain di rantau ASEAN mengalami peningkatan kemasukkan pelaburan langsung asing yang tinggi sehingga mencecah 80.9% berbanding tahun lepas.

Timbalan Menteri sewajarnya menarik balik kenyataan beliau dan saya sekali lagi menyeru agar satu sidang khas di parlimen ini bagi membahas isu yang sebegitu penting.

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang
Dewan Rakyat Parlimen Malaysia

Peta ke Stadium Melawati




Shamsul: K'jaan Pakatan gagal serap potensi AMK

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa kerajaan-kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat memberi lebih banyak ruang kepada aktivis dan pemimpin pergerakan itu untuk terlibat dalam jentera pentadbiran.

Ketuanya Shamsul Iskandar Md Akin berkata beliau masih belum berpuas hati kerana kira-kira 40 peratus sahaja tenaga muda PKR diberikan peranan, setakat ini.

"Saya masih tidak berpuas hati, saya masih tidak berpuas hati. Sebab itu kita menggunakan saluran-saluran yang positif untuk memberitahu kepada (kerajaan) negeri (berhubung peranan pemuda)," katanya hari ini.

Tambahnya, generasi muda PKR menyuarakan hasrat mereka untuk diberikan ruang berperanan yang lebih besar dan aktif dalam pentadbiran di lima kerajaan negeri.

"Pada saya ia merupakan satu permintaan yang adil kerana kita harus menunjukkan bahawa setelah generasi muda dalam pilihanraya yang lalu (mengundi Pakatan), generasi muda memainkan peranan penting yang menjadi faktor kemenangan utama apabila mereka membuat keputusan untuk tidak lagi mengundi Umno dan Barisan Nasional.

"Maka dengan itu, sewajarnya ruang-ruang yang lebih diberikan kepada AMK," tambah Shamsul Iskandar sewaktu ditemubual oleh Malaysiakini bersempena kongres AMK di Stadium Malawati, Shah Alam esok.

Kongres itu, yang diadakan serentak dengan mesyuarat agung tahunan Wanita, diadakan sehari sebelum kongres tahunan kelima PKR selama dua hari di tempat yang sama hujung minggu ini.

Bagaimanapun, tambah Shamsul Iskandar, ahli-ahli AMK harus mengubah kerangka fikiran mereka daripada mentaliti pembangkang kepada mengisi kemenangan.

Di Selangor yang diketuai PKR, katanya lagi, kerajaan negeri tidak dapat menyerap sepenuhnya tenaga AMK seperti dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kerana perubahan perlu dilakukan berperingkat-peringkat.

"(Menteri besar) Tan Sri Khalid (Ibrahim) cuba melakukan tindakan yang terbaik, secara bertahap-tahap, dan tidak drastik supaya minda dapat diselaraskan," katanya sewaktu mengulas sejauh mana peranan AMK dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Setakat lapan bulan kemenangan parti itu dalam pilihanraya umum Mac lepas, AMK telah memulakan gerakan pembangunan komuniti bagi mengisi kemenangan tersebut, misalnya di kawasan DUN Seri Setia dan Batu Caves - masing-masing dimenangi oleh tokoh muda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dan Amiruddin Shari.

"Bagaimanapun ia belum teratur setakat ini dan akan merasmikan struktur (program pembangunan masyarakat). Isu ini akan dibangkitkan dalam kongres AMK," katanya, dengan mengambil contoh projek pembangunan yang diusahakan oleh presiden baru Amerika Syarikat, Barack Obama.

"Ini satu segmen yang belum dilihat secara mendalam oleh pimpinan parti," kata Shamsul Iskandar. "Ia satu segmen yang perlu diperkemaskan."

Program pembangunan masyarakat ini akan dikembangkan ke negeri-negeri yang belum dikuasai PKR untuk menarik pembabitan generasi muda, tambahnya.

Selain isu itu, AMK juga akan membentuk program-program pembinaan barisan pemimpin pelapis dan membentuk pasukan yang kuat bagi mengisi agenda anak muda.

Beliau juga menafikan kekurangan tenaga dalam PKR kerana ramai profesional muda dan aktivis AMK yang menuntut ruang dalam pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Mengulas kekurangan AMK di bahagian-bahagian PKR, peguam itu menegaskan bahawa kemasukan anak-anak muda di beberapa negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat telah meningkat mendadak, sementara di negeri-negeri yang tidak dikuasai mereka peningkatan ahli AMK sangat memberangsangkan.

Mengulas perbezaan politik antara AMK dengan Pemuda-pemuda PAS dan DAP misalnya dalam isu konsert diraja dan pembatasan jualan alkohol, Shamsul Iskandar berkata kerjasama dalam Pakatan Rakyat satu pengalaman baru politik yang memerlukan muafakat.

"Ada pepatah Inggeris menyatakan silence is virtue, kita ambil pendekatan berdiam diri. Kalau Pemuda PAS bersikap lantang, dan jika AMK mengambil sikap bertentangan, (keadaan) itu memberi ruang kepada parti pemerrintah (BN) melakukan serangan (kepada Pakatan), akhirnya membawa gambaran kita berpecah-belah," katanya, mengulas kelantangan PAS membantah konsert anjuran kerajaan Selangor, Jun lepas.

Tambahnya, walaupun AMK berdiam diri di depan media, di peringkat perbincangan tertutup, pergerakan itu tetap menyuarakan pandangan kepada Pemuda PAS, misalnya melalui mesyuarat biro politik Pakatan Rakyat di peringkat Selangor yang diadakan sekurang-kurangnya setiap bulan.

Katanya, pergeseran terbuka dalam kalangan parti-parti Pakatan Rakyat menunjukkan perlunya tempoh penyesuaian, khususnya di peringkat awal pentadbiran kerajaan campuran seperti di Selangor.

Sehubungan itu, AMK bersama Pemuda-pemuda PAS dan DAP sedang merancang mengadakan konvensyen belia di peringkat pusat bagi membincangkan agenda generasi muda awal tahun depan.

"Saya sendiri sedang menyiapkan pasukan AMK untuk berdepan dengan kemelut masa depan.

"Selain masalah ekonomi (akibat kemerosotan ekonomi global), kita juga menjangkakan perpecahan besar dalam Umno (menjelang pemilihannya, Mac depan) dan kita boleh manfaatkan perkembangan ini untuk sama-sama menarik ahli-ahli muda mereka," kata Shamsul Iskandar lagi.

Sumber:
Malaysiakini

Thursday, November 27, 2008

Isu arak di Selangor jangan kelirukan rakyat

Akhbar-akhbar berbahasa Cina tiba-tiba hari ini memaparkan kisah arak di Selangor (saya ditunjukkan perkara ini oleh sahabat saya rakan ahli majlis MPSJ dari DAP). Kononnya PAS Selangor sedang bertindak mendesak kerajaan negeri mengharamkan penjualan arak seluruh Selangor. Kononnya ada pelan “A” dan pelan “B”. Pelan “A” adalah melalui mesyuarat EXCO, jika tidak berjaya maka wakil-wakil PAS dalam seluruh PBT Selangor akan membawa usul diperingkat PBT. Tidak cukup dengan itu, portal berita Malaysiakini turut mensensasikan perkara ini.

Saya bertanyakan rakan-rakan pemberita akhbar Cina dari mana mereka dapat maklumat ini, kata mereka dari sumber-sumber tertentu.

Jelasnya, pertama, PAS Selangor tidask pernah membincangkan perkara ini dalam mana-mana mesyuaratnya. Kedua, arak ini haram buat umat Islam tetapi tidak untuk yang bukan Islam, kerana itu di Kelantan yang didominasi PAS, kerajaan negeri hanya mengharamkan penjualan arak dikalangan umat Islam (jika Kelantan begitu, takkanlah Selangor mahu mendesak mengharamkan arak secara total). Dan ketiganya arak ini memang diharamkan terhadap umat Islam di Selangor melalui Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam yang ada, tidak berbangkit PAS mahu buat tuntutan sedangkan undang-undang telahs edia ada dari zaman BN lagi.

Memang rakan-rakan ahli-ahli majlis dari MBSA ada menuntut agar dikuatkuasakan pengharaman ini di Shah Alam dan saya difahamkan ia telah pun diluluskan dalam mesyuarat majlis tanpa bangkangan mana-mana pihak.

Isu ini bagi saya sengaja disuakan bagi melihatkan seolah PAS cuba menggunakan pengaruhnya dalam kerajaan PFR Selangor bagi mendesak agar arak diharamkan secara total di Selangor. Ada pula laporan menyebut bahawa cadangan PAS dalam mesyuarat EXCO ditolak oleh MB.

Saya melihat ada usaha untuk melaga-lagakan antara PAS dan rakan-rakan lain dalam PR, dan ada usaha untuk menggambarkan seolah PAS ini tidak menghormati hak masyarakat bukan Islam. Adakah sebenarnya begitu? Saya telah merayu kepada rakan-rakan pemberita termasuklah dari Malaysiakini agar berlaku adil dalam isu ini dan jangan

Kenyataan Dato’ MB Selangor selepas Mesyuarat EXCO tadi alhamdulillah meredkan asakkan yang tidak bertanggungjawab ini.. Menurut Tan Sri Khalid sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini:

Selangor Mentri Besar Abdul Khalid Ibrahim said the state does not intend to impose a blanket ban on the sale of alcohol but is seeking to step up enforcement on existing restrictions. The existing restrictions in the state are no sale of alcohol to Muslims as well as those under-18s.

According to Khalid, the move to tighten enforcement on alcohol sale will be implemented after consultation with retailers, local councils, related government agencies and NGOs early next year.

MB Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak berhasrat mengharamkan sama-sekali penjualan minuman berakohol, akan tetapi sedang berusaha mempertingkatkan penguatkuasaan terhadapa peraturan yang sedia ada. Peraturan yang ada di negeri ini melarang penjualan arak kepada umat Islam dan mereka yang di bawah umur 18 tahun.

Menurut Khalid, usaha menguatkuasakan larangan penjualan minuman berakohol akan dilaksanakan sebaik perundingan dibuat dengan pihak penjual, PBT dan agensi kerajaan yang berkaitan disamping NGO mulai tahun hadapan.

Ini isu berkaitan umat Islam dan tidak kena-mengena dengan yang bukan Islam. Peraturan yang ada pun bukannya digubal oleh PAS atau PKR tetapi oleh kerajaan BN yang lalu. Kerajaan Selangor PR hanya mahu melaksanakan apa yang telah sedia ada itupun terhadap masyarakat Islam. Diharapkan semua pihak melihat isu ini dengan jelas dan tidak dikaburi dengan agenda mana-mana pihak yang mahu memburuk dan melaga-lagakan satu pihak dengan pihak yang lain.


Sumber: Roslan SMS

EKONOMI, POLITIK AGENDA UTAMA KONGRES

KONGRES Nasional Tahunan Kelima akan menumpukan kepada agenda politik dan ekonomi yang dilihat sebagai isu utama yang dihadapi negara masa kini.

Isu-isu lain seperti sosial, pendidikan dan agama dijangka akan disentuh dalam ucaptama Presiden, Dr Wan Azizah Wan Ismail menurut Setiausaha Agung, Sallehudin Hashim.

“Pertama sekali ialah isu ekonomi kerana negara sekarang dilanda masalah ekonomi yang besar. Jadi kita berpendapat tidak boleh tidak peringkat awal ini kita mesti terangkan apakah perspektif ekonomi kita sekarang dan apakah cadangan kita kalau kita yang memerintah.
“Jadi sekurang-kurangnya ada perbandingan antara polisi kita dan polisi kerajaan,” beliau berkata.

Mengenai isu politik beliau menambah KeADILan kini memasuki fasa baru dalam perjuangannya dan yakin kepimpinan parti akan mewujudkan dasar yang lebih pragmatik dan praktikal.

Ini kata beliau membabitkan perkongsian kuasa dengan rakan-rakan dari PAS dan DAP dalam gagasan Pakatan Rakyat.

“Kita berkongsi kuasa dan sesuatu yang belum pernah berlaku dalam parti kita dan dalam perkongsian itu mesti ada persefahaman dan dasar tolak-ansur.
“Kita juga mesti berwaspada terhadap pihak lawan yang kita sentiasa memperbesarkan salah faham kecil untuk melemahkan kita,” nasihat Sallehudin.

Beliau juga berkata setakat ini ibu pejabat parti telah menerima lebih daripada 75 usul yang dikemukakan oleh peringkat bahagian di seluruh negara.

“Usul-usul yang kita terima akan ditapis oleh biro politik . Dan apa yang kita lakukan “Selain itu ucapan dasar Presiden akan mengambil kira sebaik-baiknya isu-isu yang terkandung dalam usul-usul dan akan disentuh dalam ucapan dasar itu.
“Jadi dalam perdebatan ucapan dasar perkara itu boleh dibangkitkan oleh anggota perwakilan,” jelas beliau lagi.

Sumber: Suara Keadilan

Pakatan Rakyat rancang perjumpaan dengan semua pimpinan Januari depan

KUALA LUMPUR , 26 NOVEMBER (SK) - Satu perjumpaan bersama pemimpin Pakatan Rakyat dan pemimpin akar umbi akan diadakan pada Januari depan, kata Ketua Penerangan KeADILan Tian Chua.

Katanya pertemuan berkenaan akan merapatkan lagi hubungan sesama Pakatan Rakyat dan menguatkan lagi jentera dan sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Beliau berkata ketika ditemui malam tadi ketika di pertemuan pemimpin Pakatan Rakyat di Ampang malam tadi.

Pada pertemuan berkenaan, agenda untama adalah membincangkan arah tuju dan perlaksanaan dasar, pencapai dan prestasi yang telah dijalankan di dua negeri terbabit.

Tian Chua berkata dua Menteri besar iaitu Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim dan Menteri Besar Perak, Ir Nizar Jamaluddin diberikan kesempatan untuk membentangkan program-program yang telah dilaksanakan di kedua-dua negeri itu.

Tambahnya, perbicangan turut menyentuh isu cabaran dan rintangan yang dihadapi oleh Pakatan Rakyat khususnya berhadapan media yang dikuasai Umno dan karenah birokrasi oleh Kerajaan Pusat dan politik perkauman yang memberi banyak masalah terhadap perlaksanaan dasar pakatan Rakyat.

” Masalah yang kita hadapi khususnya birokrasi dalam perlaksanaan program yang kita jalankan. Di Perak, khususnya di mana bilangan ADUN BN seimbang dengan Pakatan Rakyat dalam kerajaan negeri” ujar beliau.

Beliau berkata pertemuan seumpama itu itu akan terus diadakan bagi mempererat hubungan semua parti komponen di semua peringkat dalam Pakatan rakyat dan peningkatkan perbicangan di kalangan mereka.

” Majlis makan malam ini secara kesimpulannya merupakan cara yang baik mempeerat hubungan dan dialog di kalangan pimpinan parti-parti Pakatan rakyat” katanya.

Pertemuan di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan pada Majlis Makan Malam dan Bengkel Mini itu telah dianjurkan di sebuah hotel di Ampang dan merupakan kali kedua diadakan dalam tempoh dua minggu.

Hadir dalam majlis itu ialah Ketua Umum Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin, Presiden KeADILan, Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung PAS, Kamaruddin Jaafar, Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat

Sumber:
Suara Keadilan

Yim Pek Ha dijatuhi hukuman penjara 18 tahun cederakan Nirmala Bonat

KUALA LUMPUR: Suri rumah, Yim Pek Ha, dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tiga tuduhan mencederakan pembantu rumahnya dari Indonesia, Nirmala Bonat, dengan menggunakan seterika dan air panas empat tahun lepas.

Hakim Akhtar Tahir memerintah Yim, 40, menjalani hukuman penjara mulai hari ini.

Hakim membuat keputusan itu setelah mendapati bahawa kecederaan yang dialami oleh Nirmala bukan dilakukan sendiri oleh wanita dari Indonesia seperti yang didakwa oleh Yim.

Yim, seorang bekas pramugari, menghadapi tiga tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Nirmala dengan menggunakan seterika dan air panas di rumahnya di Villa Putera, Jalan Tun Ismail di sini pada Januari, Mac dan April 2004. BERNAMA

Sumber: mSTAR

Wednesday, November 26, 2008

Anwar: Tiada larangan jualan alkohol di S'gor

Tiada larangan jualan alkohol di 7-Eleven, pasaraya dan kedai kopi di Selangor, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Bagaimanapun, keputusan untuk mengenakan sebarang larangan adalah sepenuhnya dalam bidang kuasa kerajaan negeri dan exco negeri, katanya kepada pemberita di Parlimen.

Beliau yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata dasar membataskan jualan arak bukan perkara untuk dibincangkan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Perkara seumpama itu mesti dirujuk kepada kerajaan negeri dan ia akan dibincangkan di peringkat itu sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya.

Prinsip asasnya, kata beliau, ialah supaya kedai-kedai berkenaan tidak dilihat seperti menggalakkan minuman alkohol terutama di kalangan generasi muda dan orang Islam.

Tetapi, katanya, tiada sebarang cadangan daripada kerajaan Selangor untuk melarang sepenuhnya jualan alkohol di premis terbuka yang membabitkan orang bukan Islam.

Menurut Anwar lagi, beliau tidak ada sebarang masalah dengan dasar-dasar sekarang kerana fundamentalnya sudah jelas.

Exco negeri bincang

Bagaimanapun, beliau menambah, sebagai sebuah negara yang demokratik, mesti ada ruang untuk membuat cadangan dan perbincangan.

"Rakyat memberi pandangan dan maklum balas dan kita mesti mendengarnya tetapi dalam aspek dasar, tidak ada sebarang masalah," katanya.

Menurut beliau, tiada apa yang harus dibimbangkan kerana dasar sekarang kekal dan "kami tidak menggalakkan umat Islam minum (alkohol) atau makan babi tetapi kita tidak akan menafikan hak orang bukan Islam untuk makan babi atau minum alkohol".

Akhbar-akhbar berbahasa Cina hari ini menyiarkan di muka depan laporan bahawa PAS Selangor bimbang dengan keadaan sekarang di mana minuman alkohol mudah didapati di kedai-kedai.

Dimaklumkan bahawa majlis-majlis perbandaran akan diberi tugas - selepas mendapat kelulusan majlis tersebut - untuk mengenakan larangan penjualan alkohol di kawasan masing-masing.

Menteri Besar Selangor yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu pemberita di Parlimen bahawa perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.


Sumber: Malaysiakini

Usul Gaza ditolak, BN-Pakatan Rakyat sepakat kutuk Zionis

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dikemukakan Dr. Mohd Puad Zakarshi (BN-Batu Pahat) bagi menangguhkan sidang Parlimen agar membincangkan mengenai keganasan terbaru rejim Zionis di Gaza selepas terlucutnya perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas.

Penolakan usul tersebut dibacakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee mengikut Peraturan Mesyuarat 18(2) kerana tidak perlu disegerakan.

Bagaimanapun keputusan penolakan tersebut mendapat bantahan daripada ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan juga Pakatan Rakyat yang beranggapan bahawa Parlimen Malaysia perlu membuat satu ketetapan dan pendirian terhadap tindakan kejam rejim Zionis itu.

Ronald memaklumkan bahawa usul berkenaan tidak perlu disegerakan atas dasar Malaysia melalui Kementerian Luar telah mengeluarkan kenyataan akhbar pada 21 November lalu bagi mengutuk sekeras-kerasnya keganasan Zionis.

Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) bangun dan meminta Speaker mempertimbangkan semula keputusan beliau itu kerana ia melibatkan kepentingan oarng awam yang dianiaya.

"Saya merayu usul yang sebaik ini perlu dibahaskan kerana melibatkan kepentingan orang awam di Gaza, mereka kebuluran atas kekejaman Zionis.

"Biarlah Parlimen Malaysia melahirkan satu keputusan bagi mengutuk kekejaman ini," katanya.

Selepas itu Nasharuddin Mat Isa (PAS-Bachok) bangun bagi menyokong usul yang dibawa itu.

"Saya mewakili rakan-rakan di sebelah sini menyokong penuh usul ini untuk dibincangkan dan dibahaskan.

"Jika hanya dibuat (bantahan) oleh Wisma Putra sahaja itu tak berapa serius, kita mahu Parlimen Malaysia menjadi medan untuk menyatakan (pendirian) bahawa kita tak mengenal parti politik sama ada di sebelah sana (kerajaan) atau sebelah sini (pembangkang)," katanya.

Bagaimanapun Ronald menjelaskan bahawa ahli Dewan masih berpeluang untuk membahaskan mengenai perkara ini apabila tibanya giliran perbahasan bagi Kementerian Luar.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) turut memohon pertimbangan semula bagi membenarkan usul berkenaan dibahaskan.

"Pada hemat saya ini adalah kesempatan yang cukup baik menunjukkan ada isu-isu penting yang boleh diputuskan bersama oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik.

"Kita faham Kementerian Luar telah nyatakan pendirian, tapi bezanya ia bukan lagi sikap atau pendirian satu kementerian jika ia melibatkan Parlimen yang didokong oleh seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Tambah beliau pendirian yang dinyatakan oleh kementerian dan Parlimen adalah dua perkara yang berbeza dan mempunyai impak yang berlainan.

Bagaimanapun Ronald berkata keputusan beliau itu adalah muktamad setelah meneliti bahawa tindakan Kementerian Luar adalah cukup memadai bagi mewakili kerajaan Malaysia yang sensitif dengan isu kekejaman yang berlaku di Semenanjung Gaza.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra pada 21 November lalu menyatakan bahawa Malaysia mendesak masyarakat antarabangsa terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara kuasa besar bertindak bagi menamatkan krisis kemanusiaan di Gaza.

Malaysia juga mendesak Majlis Keselamatan PBB mengetepikan perbezaan politik dan ideologi di atas nama perikemanusiaan dan menyelamatkan penduduk Gaza terutama kaum wanita dan kanak-kanak daripada tindakan agresif rejim Zionis.


Sumber: mSTAR

Arak: Kejayaan pertama PAS di Shah Alam

kemaskini 2:13pm Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang pertama di Selangor - di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat - yang akan membataskan jualan minuman keras berkuatkuasa Januari depan.

Ia telah diluluskan dalam mesyuarat MBSA hujung bulan lepas, kata sumber-sumber majlis itu kepada Malaysiakini hari ini.

Langkah ini dianggap sebagai kejayaan pertama usaha PAS - salah sebuah parti komponen Pakatan - untuk menguatkuasakan peraturan tersebut seperti mana diperkenalkan di Kelantan yang ditadbir oleh parti itu.

Sebelum ini, dilaporkan mesyuarat exco kerajaan Selangor telah menolak cadangan tersebut yang dikemukakan oleh pihak PAS.

Berikutan itu, timbul desas-desus yang mengatakan PAS akan meneruskan usahanya dengan meminta ahli-ahli majlis dari parti itu supaya mengemukakan cadangan tersebut di PBT yang mereka wakili.

Menurut sumber-sumber MBSA lagi, berikutan itu, pengeluaran lesen bagi tiga premis - kedai runcit, restoran dan kedai serbaguna 24 jam - akan disemak semula.

"Mereka perlu mengemukakan rayuan yang akan dipertimbangkan oleh jawatankuasa pelesenan yang juga dianggotai ahli MBSA," kata sumber-sumber tersebut.

Semakan semula lesen

Bagaimanapun, tambah sumber-sumber, semakan semula ini tidak melibatkan premis lain seperti hotel, kelab malam, kedai ubat Cina, pasaraya besar dan jualan oleh pemborong.

Semakan semula lesen itu akan mempertimbangkan faktor lokasi tempat ia beroperasi dan maklum balas orang awam.

Perkara itu didakwa telah ditimbulkan pertama kali kira-kira dua bulan sebelum cadangan itu diterima hujung bulan lalu, untuk menyediakan dokumen yang lebih terperinci.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad ketika dihubungi mengesahkan penerimaan majlis itu terhadap cadangan yang dikemukakan seorang ahli majlis itu.

Katanya, beliau difahamkan, perkara itu telah dibincangkan dan diterima oleh wakil DAP sendiri. Cuma, tambahnya, terdapat sebahagian daripada ahli majlis daripada kalangan PKR yang menentang cadangan itu.

Bagaimanapun, Khalid berkata, setakat yang beliau tahu, PAS tidak pernah mengarahkan ahli-ahlinya mengemukakan permohonan membataskan penjualan minuman keras di negeri itu.

"Perkara ini tidak pernah dibincangkan di peringkat parti," katanya yang juga bekas timbalan pesuruhjaya PAS yang baru digugurkan minggu lepas.

Mesyuarat MPK

Ditanya tentang desas-desus seorang ahli majlis PAS yang akan membentangkan cadangan itu dalam mesyarat Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini, Khalid berkata, perkara itu mungkin terilham daripada kejayaan membawa usul itu di MBSA.

Seorang ahli majlis di MPK yang juga ahli PAS Kota Raja dijangka membentangkan cadangan pembatasan jualan minuman keras di kawasan perbandaran berkenaan hari ini.

Bagaimanapun, Malaysiakini difahamkan, sehingga tamat mesyuarat pada tengah hari tadi, cadangan itu tidak dibuat.

Mengulas lanjut isu tersebut, Khalid menegaskan, apa yang dilakukan ahli majlis PAS itu “hanyalah cadangan dan bukannya tuntutan”.

Beliau berkata, ia dikemukakan bertujuan mengawal masalah sosial seperti alkoholisme yang menular di kalangan anak muda.

Katanya lagi, cadangan itu bukanlah sebahagian daripada usaha PAS menerapkan nilai-nilai Islam di negeri itu, sebaliknya bertujuan memberikan faedah kepada semua pihak tanpa mengira fahaman dan agama masing-masing.

Beliau turut menegaskan bahawa keputusan itu tidak bermaksud "pengharaman penuh", sebaliknya hanya tempat-tempat tertentu sahaja.

Reaksi PAS

"Kalau kita lihat, 7-Eleven, misalnya, merupakan pengenalan pertama alkohol kepada orang muda," katanya.

Sementara itu, ketua penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Sharir ketika dihubungi menafikan terdapat "rancangan kedua" (plan B) PAS untuk membataskan penjualan alkohol di negeri itu setelah gagal diterima dalam mesyuarat exco negeri itu bulan lepas.

"Tidak ada plan A atau plan B. Tidak ada pelan," katanya, apabila diminta mengulas laporan akhbar-akhbar berbahasa Cina yang menyebut PAS merancang membataskan jualan alkohol di seluruh Selangor.

Roslan, juga setiausaha akhbar kepada presiden PAS berkata, cadangan itu tidak dibincangkan di peringkat parti dan jika ada, ia inisiatif peribadi ahli majlis PAS sendiri.

Mengulas laporan cadangan exco agama Selangor dan juga pesuruhjaya PAS negeri Datuk Dr Hasan Ali yang dilaporkan ditolak oleh mesyuarat exco Selangor, Roslan berkata, tokoh PAS itu cuma ingin kerajaan melaksanakan apa yang sudah termaktub dalam enakmen jenayah syariah Selangor 1995.

Beliau juga menyelar pihak yang membocorkan keputusan mesyuarat tersebut kerana menurutnya perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri merupakan rahsia.

Beliau berkata, cadangan itu bukanlah pengharaman tetapi membataskan jualannya kepada orang Islam.

"Kelantan pun tidak haram. Cuma tidak boleh beli, minum di tempat terbuka," katanya.

Sumber:
Malaysiakini

the faces of sirul & azilah (police accused in the altantuya’s murder case)



here they are - the faces of the two bodyguards policemen - who are standing trial in the altantuya’s murder case.

though these pictures showed their side profiles only, at least it is better than nothing, better than what you see when these two appeared in court - their faces all covered up tightly, where you can’t see anything at all.

many people had complained and wondered why were the faces of these 2 men covered up each time they showed up in court. yes i wondered too. what were so special about them, that their faces can’t be exposed to the public? why, only them, and being the accused, got special treatment, allowed to not show their faces?

well, when people wondered, of course, all kind of theories keep flying around. chiefly among them was this, as what one commenter from
susan loone’s post post had written, which was shared by many many others, not only in susan’s blog but many other blogs i went to:

- have a strong feeling that ultimately the 2 policemen will be the scapegoat. If court sentence them to death, a special team will exchange these 2 policemen with other men who has nothing to loose to be hung to death if sufficient amount of $$ being paid to their family. In return, these 2 policemen will have their identity changed n leave the country as total new person enjoying the whole lump sum of $$. BTW, have the public ever seen the actual face of the 2 policemen?

see the reason why their faces are hidden? nobody will know who they are so nobody will be any wiser if their identities were exchanged!

"have the public eve seen the actual face of the 2 policeman?" - sure yes…. at least when these pictures of them were taken - at the onset of the trial beginning.

yes, where did this pictures came from? the new straits times! i had post this pictures up in june last year
when i blog about the beginning of the trial. it came together with a chart like this:

Sumber: Perisik Rakyat

Harga minyak RM2, rakyat bayar cukai 38 sen seliter

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Hrkh) - Kerajaan disifatkan seperti 'Along' yang memungut hutang apabila hanya menurunkan harga minyak pada kadar RM2 walaupun harga pasaran di pam ialah RM1.62 sen.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar kerajaan berbuat demikian hanya untuk mengutip kembali rebat tunai minyak yang pernah diberikan ketika harga minyak melambung beberapa bulan lalu.

"Kini kerajaan umpama Along, turunkan harga minyak jadi RM2, sedangkan Menteri KPDNHEP, Dato' Shahrir Samad mengakui harga sepatutnya di pam ialah RM1.62 sen tanpa subsidi kerajaan," kata Mahfuz kepada Harakahdaily.

Menurut Mahfuz, dengan harga minyak RM2 juga, rakyat terpaksa membayar cukai kepada kerajaan sejumlah 38 sen seliter, dan inilah cara kerajaan mengutip kembali rebet yang pernah diberikan.

Tidak dinafikan kerajaan masih terus memberikan rebet tersebut hari ini apabila rakyat memperbaharui cukai jalan, namun sedikit demi sedikit kerajaan mengutipnya dengan cara cukai 38 sen seliter, dakwa Mahfuz.

Beliau melahirkan rasa kecewanya terhadap sikap kerajaan yang tidak bertindak menurunkan kadar harga minyak kepada harga yang sepatutnya tatkala ekonomi rakyat semakin parah. - mns_

Sumber:
HarakahDaily

Kongres KeADILan kongres terbesar raikan kemenangan rakyat - Salehuddin

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Hrkh) - Kongres Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) yang bakal berlangsung pada 28 hingga 30 November ini adalah kongres terbesar dan bersejarah untuk meraikan kemenangan rakyat.

Demikian kata Setiausaha Agung KeADILan, Dato' Salehuddin Hashim hari ini semasa mengadakan sidang media khas taklimat khusus kepada media bagi Kongres KeADILan yang akan berlangsung Jumaat hingga Ahad ini.

Menurut Salehuddin, kongres yang akan diadakan di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam itu bakal menjanjikan himpunan terbesar parti.

Kongres akan dirasmikan oleh Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sementara kongres tahunan sayap parti, (Angkatan Muda dan Wanita KeADILan) pula akan berlangsung sehari lebih awal dari kongres di peringkat pusat.

"Ia adalah kongres pertama selepas kemenangan besar KeADILan dan Pakatan Rakyat selepas 8 Mac lalu yang mana ia merayakan kemenangan rakyat yang mahukan perubahan," ujarnya.

Beliau memaklumkan 1900 perwakilan dan 1200 pemerhati bertauliah mengesahkan kehadiran mereka bagi kongres selama tiga hari itu.

Sementara dijangka lebih 20,000 penyokong pula akan membanjiri Ceramah Perdana yang akan disampaikan Ketua Umum Parti, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada jam 9.00 malam, Sabtu 29 November di Stadium Malawati.

Mengulas mengenai usul-usul yang diterima dan bakjal dibahaskan, Salehuddin mengumumkan antara tiga hingga lima usul akan dibahaskan.

Sementara pihak Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) telah menerima lebih 70 usul yang dibawa oleh Bahagian-bahagian KeADILan seluruh negara, katanya.

"Tidak kesemua usul ini akan dibahaskan, kerana ia telahpun ditapis oleh MPT, namun ada usul yang akan diselitkan dalam ucapan dasar Presiden Parti, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail," katanya.

Beliau turut menyatakan isu pembentukan kerajaan 16 September bakal menjadi antara isu yang akan dibahaskan perwakilan semasa kongres itu nanti.

Di pihak pimpinan, mereka telah bersedia dengan jawapan terhadap isu-isu yang bakal dibangkitkan, katanya.

Pihak MPT juga menjangkakan isu-isu ekonomi, isu rakyat tertindas dan isu politik semasa bakal menghiasi perjalanan perbahasan kongres kali ini.

Beliau melahirkan harapan agar kongres kali ini akan berjalan dengan keadaan yang paling baik.


Sumber: HarakahDaily

Kongres Nasional KeADILan ke-5: Medan Perwakilan dan Parti untuk bermuhasabah diri.

Kongres KeADILan yang bakal diadakan di Stadium Melawati Shah Alam mulai 28 hinga 30 November ini bakal menjadi medan kepada perwakilan dan parti untuk bermuhasabah diri.

Kebanyakan pemimpin-pemimpin KeADILan yang dihubungi Suara Keadilan menyatakan bahawa Kongres kali ini pastinya akan membincangkan pencapaian parti pada pilihan raya umum ke-12, kemenangan dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh dan isu-isu dalaman parti.

Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua turut menjangkakan isu pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat terutamanya Selangor yang diketuai oleh KeADILan akan dibincangkan sama.

Menurutnya, isu ekonomi, rasuah dan isu pentadbiran negara adalah antara topik yang akan menghiasi perbahasan perwakilan.

Beliau, yang juga Ahli Parlimen Batu turut menyatakan kongres kali ini akan mendapat sambutan hangat atau luar jangka di kalangan ahli dan penyokong.

Menurutnya pihak parti akan menjemput pemerhati dan memberi peluang kepada mereka untuk menyatakan pandangan kepada parti.

Dalam pada itu, Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) berkata kongres AMK bertujuan untuk membuka ruang kepada para perwakilan untuk membahaskan dasar perjuangan parti secara umum, dan polisi pentadbiran negeri Pakatan Rakyat secara khususnya.

Menurutnya Angkatan Muda akan mengadakan kongres sayap parti itu di Stadium Malawati pada 28 November.

“Sehingga ke saat ini persediaan sekretariat AMK berada di tahap yang amat membanggakan. Sejumlah 1100 perwakilan AMK akan berkumpul di Shah Alam, jumlah terbesar yang pernah dikumpulkan oleh AMK dalam Kongres Tahunan sepanjang sepuluh tahun yang lepas.

Gerak kerja sekretariat juga amat produktif dalam memastikan kelancaran Kongres tahun ini. Setakat ini kita mendapat kerjasama yang memuaskan. AMK mempunyai keyakinan yang penuh kepada Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor Khalid Ibrahim dan pasukannya untuk mengendalikan persiapan kongres yang julung-julung kali diadakan selepas kemenangan besar Keadilan di dalam pilihanraya yang lalu.

Walau bagaimanapun, AMK merasakan terdapat beberapa kelemahan ketara yang perlu dibaiki iaitu antara lainnya masalah kewangan dan juga komunikasi,” katanya lagi.

Dalam perkembangan yang sama, Ketua Wanita KeADILan, Zuraida Kamaruddin berkata kongres ke-5 KeADILan bakal menjadi tumpuan setiap pihak khususnya apabila di peringkat pusat sendiri menjangkakan kongress tersebut bakal di hadiri sehingga 10,000 perwakilan dan juga pemerhati.

Menurutnya, dengan kehadiran wakil-wakil rakyat yang paling ramai sejak penubuhan parti 10 tahun dan kini Pakatan rakyat khususnya KeADILan berjaya membuat transformasi kepada lima buah negeri yang dimenangi bagi pihak rakyat.

“Ini ditambah pula Kongres yang juga pertama kali diadakan sejak Ketua Umum Anwar Ibrahim menjadi Ketua pembangkang jelas menunjukkan perjuangan kita semakin menuju ke puncak kejayaan.

“Malahan Keberanian rakyat untuk berubah dari tradisi dan sokongan padu keseluruh rakyat khususnya telah berjaya melahirkan 31 Ahli Parlimen dan wanita tujuh orang wakil rakyat ini jelas membuktikan bahawa rakyat kini berani dan semakin mahukan perubahan,” katanya lagi.

Presiden keADILan Wan Azizah Wan Ismail akan menyampaikan ucapan dasarnya pada 29 November di Stadium malawati manakala Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali pula akan merasmikan Kongres AMK dan Wanita secara serentak pada 28 November di tempat yang sama.

Sumber: Suara Keadilan

Retreat kedua Pakatan Rakyat fokus isu Selangor dan Perak

KUALA LUMPUR: Retreat kedua Pakatan Rakyat yang diadakan dua minggu berturut-turut pada malam ini memfokuskan mengenai cabaran yang dihadapi di dua negeri pembangkang iaitu Selangor dan Perak yang dianggap berhadapan dengan masalah yang sama.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata, pada perjumpaan yang berlangsung selama hampir tiga jam itu memberi peluang kepada Menteri Besar kedua-dua negeri berkenaan membentangkan mengenai pelaksanaan dan prestasi kerajaan negeri masing-masing.

"Di Perak khususnya di mana bilangan ADUN BN (Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional) yang agak seimbang dengan kerajaan negeri iaitu pemerintah.

"Kita juga menghadapi banyak rintangan kuat daripada BN dan kita harus menghadapi banyak isu seperti manipulasi media dan lain-lain lagi," katanya ketika ditemui selepas menghadiri retreat berkenaan.

Hadir sama dalam pertemuan berkenaan ialah Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar, Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang lain.

Ditanya sama ada wujudnya ura-ura ahli Pakatan Rakyat akan lompat parti menyertai BN di Perak, beliau berkata: "Tidak, saya anggap ini tidak ada isu, saya tak percaya dan sungguh yakin ini tak berlaku...kalau adapun mungkin yang lompat kesebelah sini," katanya sinis.

Ketika diminta mengulas sama ada kedua-dua negeri berkenaan dianggap goyah kerana sering menghadapi tekanan daripada BN yang kini menjadi pembangkang, beliau menafikan mengenai perkara tersebut.

"Bukan...bukan, inilah (negeri) yang paling dekat. Malam ini kita fokus dua negeri sahaja.

"Kalau tidak sampai tengah malam pun tidak habis, lepas ini akan ada lagi (pertemuan) Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah...semua ada," katanya.

Jelas beliau lagi pemilihan kedua-dua negeri ini juga berdasarkan komposisi kaum yang hampir sama bagi negeri-negeri berkenaan.

Ditanya antara masalah yang dibangkitkan dalam perjumpaan tertutup itu beliau berkata masalah utamanya ialah kerenah birokrasi kerajaan persekutuan, media dan politik perkauman.

"Kita hadapi masalah birokrasi, kita juga harus sentiasa hadapi media yang sensasikan dasar yang kita buat dan politik perkauman yang tebal...semua ini ialah perkara yang kita harus hati-hati," katanya.

Menyentuh mengenai kerenah birokrasi, ahli Parlimen Batu itu turut menjelaskan bahawa perlunya reformasi secara berperingkat bagi menghadapi masalah dalam institusi kerajaan.

Tambah beliau, secara dasarnya Pakatan Rakyat mengakui masih wujud banyak kelemahan yang perlu diperbaiki pada masa-masa akan datang.

"Walau apapun kita puas hati dengan pencapaian kita sekarang sungguhpun tak kritikal, kita akui banyak lagi kelemahan yang harus diatasi," katanya.

Bagaimanapaun jelasnya beliau percaya kaedah terbaik untuk menangani masalah yang timbul adalah dengan cara mengeratkan hubungan dalam Pakatan Rakyat melalui majlis dialog dan komunikasi berterusan.

"Kita ada beberapa rancangan Januari depan untuk adakan lebih banyak perjumpaan di semua peringkat iaitu nasional, negeri dan akar umbi.

"Malah minggu depan juga ada lagi, tapi agendanya akan kita tetapkan nanti," katanya.

Tian Chua juga menjelaskan bahawa satu perjumpaan besar melibatkan semua pemimpin Pakatan Rakyat akan diadakan di Port Dickson pada tahun hadapan yang akan turut menghimpunkan kesemua Menteri Besar dari semua negeri yang dikuasai pembangkang.

Sementara itu, ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh turut menjelaskan bahawa pertemuan kedua pemimpin Pakatan Rakyat selepas yang pertamanya pada hari yang sama minggu lalu menyentuh mengenai mekanisme memperkukuhkan pakatan itu.

"Ini menunjukkan kita serius dalam Pakatan Rakyat untuk membina muafakat dan bertukar-tukar idea serta memaklumkan mengenai perkembangan terkini politik di kedua-dua buah negeri berkenaan," katanya.

Tambah beliau pertemuan seumpama itu juga perlu bagi membina persefahaman antara komponen-komponen dalam pakatan pembangkang itu.

"Ini tidak berlaku dalam BN, hanya dalam Pakatan Rakyat iaitu kita sentiasa biarkan maklumat sampai ke akar umbi," katanya.

Sumber: mSTAR

Wanita tuntut satu kerusi teratas PKR

Wanita PKR mahu menuntut sekurang-kurangnya satu daripada lima jawatan utama di semua peringkat tertinggi parti termasuk bahagian, kata ketuanya Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, wanita mahu sasaran 30 peratus pembuat keputusan dicapai dalam PKR seperti di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi dan badan perhubungan negeri.

"Ia harus dimulakan di peringkat pusat, kemudian diterapkan di bahagian-bahagian," katanya kepada Malaysiakini.

Cadangannya itu, Zuraida berkata, termasuk menambah satu lagi jawatan naib presiden PKR untuk seorang pemimpin wanita.

PKR sekarang mempunyai lima naib presiden, termasuk dua yang dilantik.

Tambahnya, terdapat ramai pemimpin wanita yang layak mengisi kerusi penting itu, misalnya ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang juga bekas ketua Wanita sebelum Zuraida.

Ahli parlimen Ampang berkata, cadangannya itu akan dibawa oleh Wanita dalam Kongres Nasional PKR hujung minggu ini di Shah Alam.

Tambahnya, cadangan Wanita itu bukanlah perkara baru, sebaliknya dikemukakan ekoran keputusan kongres empat tahun lepas yang mensasarkan penyertaan 30 peratus kaum wanita dalam hirarki parti itu.

"Setakat ini (penyertaan wanita) 20 peratus sahaja," katanya.

Perhimpunan terbesar parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemakan 'Harapan Baru' akan berlangsung 28 hingga 30 November.

Kira-kira 2,000 perwakilan daripada lebih 160 bahagian akan bersidang di Stadium Melawati.

Sayap Wanita dan Pemuda PKR akan mengadakan kongres mereka pada Jumaat, sehari sebelum kongres nasional yang dijangka menjadi tumpuan selepas kemenangan besar parti itu dalam pilihanraya umum Mac lalu dan persiapannya berdepan pilihanraya negeri Sarawak yang dijangka diadakan tahun depan.


Sumber: Malaysiakini

KENYATAAN MEDIA AMK; MEMIMPIN HARAPAN RAKYAT

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

25 November 2008

Memimpin Harapan Rakyat

Tanggal 28 November 2008 depan akan menyaksikan Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) dianjurkan buat tahun yang kesembilan selepas ledakan era reformasi tahun 1998.

Kongres kali ini mengangkat tema "Memimpin Harapan Rakyat", sebagai kesinambungan tema Kongres Tahunan AMK 2007 yang mengangkat tema "Daripada Harapan Kepada Kemenangan". Ianya bersesuaian dengan sentimen rakyat Malaysia khususnya pasca Pilihanraya Umum Ke-12 (PRU12) pada 8 Mac lepas.

Ini sejajar dengan tema Kongres Tahunan KeADILan iaitu "Harapan Baru", yang memperlihatkan usaha untuk menterjemahkan kuasa rakyat ke arah pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih adil dan demokratik.

Pastinya Kongres Nasional Tahunan AMK kali ini menarik perhatian seluruh warga parti dan rakyat amnya, dalam keadaan rakyat Malaysia khususnya generasi muda telah memperlihatkan keberanian untuk berubah dengan menyatakan sokongan terbuka kepada keADILan dan Pakatan Rakyat.

AMK melihat Kongres Nasional Tahunan kali ini sebagai fasa pemerkasaan parti, dalam keadaan prestasi keADILan dan Pakatan Rakyat melalui 81 ahli Parlimen dan kepimpinan lima buah negeri sedang dinilai oleh rakyat.

Ruang perbahasan Kongres Nasional Tahunan akan dimanfaatkan sebaiknya untuk mengupas beberapa isu seperti pemantapan organisasi serta pengukuhan institusi politik yang lebih bersifat mesra rakyat. Beberapa isu penting seperti isu ekonomi, pemerkasaan belia dan pendidikan juga dilihat bakal menjadi tumpuan para perwakilan dan pemerhati untuk dibahaskan secara terbuka, kritis dan membina.

Melalui jumlah perwakilan dan pemerhati mencecah 1500 dari seluruh Malaysia, Kongres Tahunan kali ini adalah diharapkan akan mencorakkan gerak kerja AMK khususnya di dalam menjadi barisan hadapan KeADILan untuk merealisasikan harapan rakyat ke arah pembentukan Malaysia yang lebih baik.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia


Tuesday, November 25, 2008

AMK Melaka bersedia ke kongres nasional 2008

Sidang Media AMK Melaka

25 November 2008



Bukit Rambai- Angkatan Muda keADILan Melaka telah bersedia untuk ke Kongres Nasional Angkatan Muda yang akan diadakan pada 28 November 2008 (Jumaat) di Stadium Melawati Shah Alam bermula dari 9.00 pagi hingga 7.30 malam.

Semua bahagian AMK Melaka yang telah selesai bermesyuarat agung tahunan bahagian dan seramai 56 orang perwakilan dan lebih 600 pemerhati akan ke kongres tahunan ini.

Ini merupakan kongres pertama selepas kejayaan Parti keADILan Rakyat pada PRU-12 lalu. Kongres ini juga dilihat sebagai platform untuk anak muda aktif berpolitik. Semestinya kongres ini membincangkan hala tuju, masa depan, urus tadbir dan soal 16 September yang telah menimbulkan banyak persoalan.

Tidak dinafikan bahawa pada pilihanraya umum yang akan datang lebih 12 juta pengundi muda bakal penentu pilihanraya yang ke-13 itu. Mereka ini lah generasi Y yang terdedah kepada internet, bloggers, friendsters dan banyak lagi.

Menyedari keadaan ini kongres kali ini akan lebih banyak menumpukan soal pengundi muda di negeri yang ditadbir oleh PR dan BN. Justeru AMK Melaka juga berusaha untuk menarik minat mereka untuk bersama kita. Insyaallah banyak program yang telah dirancang untuk dilaksana pada tahun depan.

AMK Melaka juga mengambil kesempatan kepada rakyat Melaka khususnya anak muda yang ingin menyertai kongres ini sebagai pemerhati boleh berhubung terus dengan talian Hotline AMK Melaka di 016-3172425 dan juga S/U AMK Melaka En. Lukman 012-2724664.


Hairiz Nordin

Timbalan Ketua AMK Melaka

ISA: GMI cabar Pewaris, Dr. Maamor

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Hrkh) - Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mencabar Majlis Permuafakatan Ummah atau Pewaris untuk bersemuka bagi membincangkan isu-isu berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA.

Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh berkata, GMI terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakapnya, Dato' Dr Maamor Osman yang tidak mendapat maklumat tepat mengenai Akta drakonian itu.

"Mungkin maklumat tersebut tidak tepat, hanya mendapat info daripada sebelah pihak sahaja. Sepatutnya mereka kena pergi bertemu sendiri dengan tahanan ISA dan keluarga mereka," katanya.

Tambahnya, Pewaris perlu menyemak terlebih dahulu sesuatu kes sebelum mengenakan tindakan ISA bagi menjamin keadilan dan hak semua bangsa terpelihara.

"Saya juga sedih dengan penglibatan Presiden Persatuan Pengguna Islam (PPIM) dalam Pewaris yang memperjuangkan isu yang menindas masyarakat umum melalui akta yang zalim ini," katanya.

Dalam Islam, tidak ada sesiapa yang bersalah sehingga dibuktikan ianya bersalah yakni menerusi siasatan dan perbicaraan bagi memberikan haknya untuk seseorang membela diri, kata Syed Ibrahim.

Terdahulu, Maamor yang juga merupakan Setiausaha Agung PPIM mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan supaya mengekalkan penggunaan ISA bagi menjamin keharmonian negara ini daripada diganggu-gugat oleh anasir-anasir jahat.

"ISA masih relevan dan melalui ISA, keharmonian negara dapat dikekalkan, dan dalam prinsip Islam pencegahan adalah lebih baik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Pewaris di Wisma Sejarah semalam.

Selepas mesyuarat itu, Maamor dan 100 anggota Pewaris berarak dari Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak menuju ke Balai Polis Jalan Tun Razak, di Jalan Ampang untuk membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas pihak yang memainkan isu-isu perkauman.

Maamor bagaimanapun enggan memberikan nama-nama individu yang didakwa mereka memainkan isu perkauman yang dinyatakan dalam laporan polis itu.

Dilaporkan kekecohan juga tercetus pada awal perhimpunan apabila peserta perhimpunan bertindak memukul beberapa individu yang lalu lalang di kawasan perhimpunan iaitu di Wisma Sejarah.

Pihak polis didakwa hanya duduk berehat di perkarangan jalan bangunan Bernama yang terletak berhampiran bangunan Wisma sejarah itu.

Insiden tersebut menimbulkan rasa kurang senang apatah lagi sepanduk dan kain rentang yang dipamerkan menyebabkan mereka yang melalui kawasan tersebut bertindak mengeluarkan kata-kata yang tidak sesuai.

Antara kata-kata pada sepanduk tersebut yang mengundang provokasi adalah 'Bubarkan Majlis peguam', 'Yes to ISA', 'bebaskan Dato' Ahmad Ismail' dan 'tanah Malaysia tidak perlukan babi import sahaja babi daripada luar'.

Selain itu turut kelihatan sepanduk 'pengkid haram : bukan Islam jangan masuk campur hal Islam', 'jangan sentuh ketuanan melayu', 'surau dan masjid dirobohkan atas kesan pembangunan - kenapa kuil tidak?' dan jangan gadaikan maruah melayu demi kepentingan politik peribadi.

Terdapat juga sebuah kain rentang yang paling besar berbunyi:'kekalkan ISA demi keamanan, keselamatan dan kemakmuran' dipasang menutupi bangunan Wisma Sejarah.

Kebanyakan peserta yang berarak memakai kemeja-t berbunyi yes to ISA dan kain pengikat dahi berwarna kuning bertulis 'hidup melayu, hidup Islam'.-Hrkh_


Sumber: HarakahDaily

Isu pelaburan langsung asing semakin menguncup: Jelaskan kenapa M’sia yang tercorot antara negara Asean - Anwar

Ketua Pembangkang Pakatan Rakyat Anwar Ibrahim mahu Kerajaan BN menjelaskan mengapa pelaburan di negara ini semakin berkurangan berbanding dengan negara Asia lain.

Anwar, yang juga Ketua Umum KeADILan berkata Kerajaan dan kementerian terbabit perlu memberikan penjelasan kepada rakyat mengapa kesan kemasukan pelaburan asing di negara ini begitu parah terutamnya di kalangan antara negara Asean.

Beliau berkata, mengikut laporan terbaru United Nations Conference on Trade and Development World Investment Report 2008 (UNCTAD)mengenai pengaliran keluar pelaburan langsung asing (FDI) yang mencecah RM38 bilion berbanding kemasukan hanya RM29 bilion untuk 2007 menyebabkan negara mengalami negatif sebanyak RM9 bilion.

Menurutnya, beliau tidak menafikan bahawa pada umumnya alasan yang kerap diberikan adalah kerana faktor fenomena global dan semua negara mengalami tekanan ekonomi berikutan krisis ekonomi yang bermual dari Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun tetapi kerajaan perlu menjawab mengapa kesan di negara ini lebih ketara dari negara Asean lain.

“Satu formula penyelesaian bagi masalah besar ini perlu diambil dan saya sudah kemukakan pandangan supaya menteri terbabit mengambil inisiatif untuk dapatkan konsensus mengenainya.

Saya telah kemukakan usul kepada Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat dan beliau sendiri setuju tetapi memberi alasan ia tidak begitu mendesak dengan alasan soalan itu telah dijawab,” katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen tengahari ini

Anwar menyatakan bahawa laporan UNCTAD menunjukkan Malaysia berada di tangga keenam dari segi pelaburan asing pengaliran dana ke negara ini pada 1996 lalu.

“Bagaimanapun, kedudukan terbabit merosot ke tangga 60an pada 2006…jadi kalau ini bukan mendesak, apa lagi?” persoalnya lagi.

Menurutnya lagi, di negara-negara Asean ada peningkatan pelaburan lebih 81 peratus iaitu RM116 bilion pada 2006 kepada RM209 bilion pada 2007, tetapi Malaysia hanya mendapat bahagian yang paling kecil iaitu 13 peratus berbanding negara lain.

Kerana itu, katanya kerajaan perlu menjawab mengapa Malaysia lebih parah walaupun alasan yang kerap diberikan adalah fenomena ekonomi global.

Beliau berkata laporan Bank Negara menunjukkan kemerosotan kepada pertumbuhan eksport pada 2007 berbanding purata 12.1 peratus antara 2002 hingga 2006 dan ia bermakna ada pertumbhan kecil sebelum itu tetapi merosot pada tahun lalu.

“Seperti yang diketahui industri barangan elektronil dan elektrikal begitu besar dan sektor pembuatan adalah di sekitar 65 peratus tetapi merosot kepada 42 peratus.

Kalau kita lihat angka itu masih baik pada umumnya kerana di tahun kebelakangan ini pertumbuhan kenaikan eksport komoditi pertanian dan petroleum meningkat 14.8 peratus tetapi dari sudut industri pembuatan ia seharusnya membimbangkan,” katanya lagi.

Anwar berkata, ini jelas menunjukkan ternd ekonomi di negara ini bergerak ke arah penguncupan dan keadaan itu jelas menunjukkan masalah iklim peaburan dan krisis keyakinan di negara ini.

“Kalau dilihat pada laporan Bank Dunia, UBS dan Institute of Financial Finance (IFF) ada beberapa faktor dan alasan yang diberikan mengapa kemasukan FDI (pelaburan asing) terbatas atau terhalang.

Laporan dari badan-badan itu menyebut antaranya kerana dasar ekonomi dan kewangan negara termasuk syarat kawalan dan peraturan dalam sektor perkhidmatan. Di samping itu, mereka juga mengketengahkan masalah berkaitan tenaga mahir dan in sebenarnya ada kaitan dengan fokus latihan yang diberikan oleh universiti, institut vokasional dan teknikal kerana seharusnya tiada ‘mismatch’ di antara keperluan industri pelabur dengan keperluan tumpuan di bidang latihan,” jelasnya lagi.

Beliau menambah, laporan itu juga menyebut isu kos berurusan tinggi yang terpaksa dihadapi pelabur ke negara ini serta ketidak telusan dalam sistem pengagihan kontrak dan menurutnya ia jelas berkait dengan masalah rasuah di semua peringkat .

Menurutnya, kalau dilihat, trend ini ternyata menujukkan ada perpindahan yang dilakukan oleh syarikat yang sedia ada ke negara luar dan syarikat yang baru ke negara jiran.


Sumber: Suara Keadilan

Mekanisme urus harga petrol diputus minggu depan

KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan bermesyuarat Isnin depan bagi memutuskan mekanisme yang lebih sahih dan stabil bagi menentukan harga petrol.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, majlis tersebut akan mempertimbangkan sama ada akan menetapkan harga lantai minimum atau menetapkan satu sistem apungan harga yang terurus mengikut penurunan harga minyak mentah dunia yang kini mencecah US$50 setong.

"Perkembangan ini adalah di luar jangkaan, harga minyak jatuh dengan begitu nyata. Kita akan berbincang halatuju yang akan kita ambil. Adakah kita akan tetapkan harga lantai atau meneruskan dengan sistem sedia ada di amna kita mengurangkan harga (minyak tempatan) bila harga (minyak mentah dunia) jatuh.

"Jika kita tetapkan harga lantai, berapa rendahkah harganya atau kita akan melaksanakan sistem apungan terurus," katanya kepada media selepas pembukaan Persidangan Kelima Ketua Asean Mengenai Hakmilik Intelek (HIPOC), di sini, hari ini.

Pada masa ini, harga petrol disesuaikan sekali dalam masa dua minggu berdasarkan harga pasaran. Harga petrol di pam kini adalah RM2 seliter sementara harga diesel RM1.90 seliter.

Shahrir berkata, majlis itu juga akan melihat kepada 'pro dan kontra' setiap mekanisme, dari segi kelebihan-kelebihan kepada orang ramai secara lebih luas, sumbangan kepada kerajaan simpanan kerajaan dan kesan perkembangan sumber tenaga alternatif.

Dalam perkembangan yang lain, Shahrir berkata, Usul Perdagangan Adil yang kini pada peringkat draf terakhir akan dibentangkan di Parlimen pada Jun depan.

Katanya, usul tersebut adalah untuk menggalakkan amalam perniagaan yang beretika dan sihat selain meletakkan semula rejim harga kawalan yang kini digunakan - BERNAMA

Sumber:
mSTAR

Info: Pendedahan Menarik

Monday, November 24, 2008

Usul FDI ditolak, Anwar cadang menteri adakan sidang Parlimen khas

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mengadakan sidang khas ahli Parlimen bagi membincangkan mengenai Malaysia yang mengalami pengaliran keluar pelaburan langsung asing (FDI) melebihi pengaliran masuk yang menyebabkan negara mengalami aliran bersih FDI yang negatif.

Cadangan itu dibuat selepas Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dikemukakan beliau pada Rabu lalu yang meminta sidang Dewan ditangguhkan bagi membincangkan mengenai FDI negara seperti yang dilaporkan United Nations Conference on Trade and Development World Investment Report 2008.

Penolakan usul tersebut dibacakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee mengikut Peraturan Mesyuarat 18(2) kerana tidak perlu disegerakan sebelum sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2009 peringkat jawatankuasa.

"Saya menerima keputusan yang dibuat oleh Datuk Yang Dipertua, tapi ingin menggunakan Dewan ini untuk terus meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengambil isu ini dengan serius dengan tidak hanya mencatatkan wang pengaliran masuk dan tenggelamkan.

"Harap menteri dapat memanggil sidang khas ahi Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat untuk bincangkan mengenai isu ini bagi kepentingan negara dan rakyat kerana ia ada kaitan dengan rakyat," kata Anwar dalam reaksinya terhadap penolakan usul tersebut.

Menerusi usul tersebut, Anwar berkata, secara menyeluruh rantau ASEAN mengalami peningkatan kemasukan FDI yang besar mencecah RM209 billion untuk 2007 berbanding hanya RM116 billion untuk tahun 2006 iaitu bersamaan dengan peningkatan sebanyak 81.9 peratus.

Sumber: mSTAR



9 dari PAS diminta hadir di mahkamah

Sembilan ahli dan pemimpin PAS yang ditahan di perhimpunan pelancaran kempen mansuhkan ISA di Ampang Jaya malam tadi, dibebaskan dengan jaminan polis pada kira-kira jam 4 pagi tadi.

Mereka terdiri daripada ahli Parlimen Kubang Krian, Salahuddin Ayub; Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (WP), Kamaruzaman Mohamad; Ketua Unit Amal PAS WP, Sarifuddin Mohd Yatim, Mohd Sani Hamzah, Abdullah A Rahman, Mohd Amir Ali Mohd Shah, Hafiz Zulkifli dan Azman Abdul Hamid.

Peguam Edmund Bon (kanan), ketika dihubungi berkata, Salahuddin dan Mohamad diminta hadir di Mahkamah Majistret Ampang Jaya pada 8 Disember lalu.

"Yang lainnya diminta hadir di mahkamah yang sama pada hari berikutnya. Kita akan lihat sama ada mereka akan didakwa atau tidak," katanya.

Malam tadi, kira-kira 100 orang berhimpun di sebuah padang di Ampang Jaya, tetapi anggota polis bertindak menyuaraikan mereka apabila Mohamad Sabu mula berucap pada kira-kira jam 9.26 malam.

Mohamad dan Salahuddin ditahan kemudiannya ketika mereka pergi ke balai polis Pandan Indah untuk bertanya mengenai tujuh orang yang ditahan sebelumnya.

Ketua Polis Ampang Jaya, Abdul Jalil Hassan kemudiannya memberitahu media bahawa mereka ditahan kerana enggan bersurai.

Pihak penganjur - Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) - dikatakan mahu meneruskan juga majlis pelancaran kempen mansuhkan ISA itu walaupun gagal mendapatkan permit polis.

Ketika dihubungi hari ini, Kamaruzaman mendakwa, kesemua mereka yang ditahan itu tidak dibenarkan bertemu dengan peguam ketika berada dalam tahanan polis.

Katanya, peguam-peguam tersebut telah beredar dari balai itu ketika beliau dibebaskan pada jam 3.45 pagi tadi.

Bon mengesahkan bahawa peguam-peguam diberitahu bahawa mereka tidak boleh masuk ke dalam balai polis.

Bagaimanapun, Abdul Jalil mendakwa sebaliknya, ketika dihubungi.

"Kita tahu mereka ada hak untuk bertemu peguam mereka, jadi kita benarkan mereka berbuat demikian di antara masa mereka memberi dokumen dan kenyataan," katanya.

Beliau juga berkata, pihak polis akan memutuskan tindakan yang akan diambil terhadap kesembilan mereka, apabila siasatan selesai dijalankan.

Perhimpunan Mac depan

Ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini, Salahuddin berkata beliau hadir di perhimpunan tersebut untuk memberitahu orang ramai supaya bersurai selepas mendapat tahu tiada permit dikeluarkan untuk mengadakan majlis tersebut.

"Tetapi sejurus selepas lima minit, pihak polis datang dan menahan kami secara agresif," dakwanya.

Menurutnya, pihak polis seharusnya memberi permit bagi majlis seumpama itu.

Salahuddin juga berkata, satu lagi perhimpunan besar-besaran akan diadakan, sama seperti yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) Oktober lalu.

Katanya, ia akan diadakan Mac depan untuk membantah dan mendesak supaya ISA dimansuhkan.

Beliau bagaimanapun menolak tanggapan bahawa ia diadakan pada bulan Mac kerana ketika itu berlangsungnya pemilihan pucuk pimpinan Umno.

Sumber:
Malaysiakini

Peguam: Tidak sah kes RPK didengar di Mahkamah Sesyen

Peguam yang mewakili penulis blog Raja Petra Kamarudin berhujah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bahawa adalah bercanggah dengan perlembagaan bagi kes saman fitnah didengar oleh mahkamah tersebut kerana ia sepatutnya didengar oleh Mahkamah Majistret, tempat beliau didakwa.

Manjeet Singh Dhillon, ketika mengemukakan bantahan awal sebelum perbicaraan bermula, berkata pemindahan kes tersebut adalah bercanggah dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan kesaksamaan.

Katanya, Mahkamah Majistret mempunyai bidangkuasa untuk mengenakan denda maksima RM10,000 berbanding dengan kuasa Mahkamah Sesyen.

Manjeet berkata, mengikut seksyen 78(1) Akta Mahkamah Rendah 1948, seseorang majistret boleh menjatuhkan sebarang hukuman tidak melebihi lima tahun penjara, denda maksima RM10,000 atau sebat sehingga 12 kali atau mana-mana gabungan hukuman yang dibenarkan dalam tiga pilihan tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, Seksyen 64 Akta Mahkamah Rendah 1948 membenarkan Mahkamah Sesyen menjatuhkan sebarang hukuman selain daripada hukuman mati.

Menurutnya, tiada had bagi denda maksima yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah sesyen, tidak seperti kuasa majistret.

Oleh itu, katanya, jika kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen, maka pelanggannya akan terdedah kepada hukuman denda yang lebih berat oleh Mahkamah Sesyen jika dibanding seandainya kes tersebut kekal didengar di Mahkamah Majistret.

Manjeet berkata, persoalannya sekarang ialah sama ada ia boleh menjatuhkan hukuman denda yang lebih berat terhadap mereka yang menghadapi tuduhan yang sama di Mahkamah Majistret.

Berikutan itu, hujahnya, Hakim Mahkamah Sesyen Mohamad Sekeri Mamat mempunyai dua pilihan, iaitu memindahkan balik kes tersebut ke Mahkamah Majistret atau menggantung prosiding mengikut Akta Mahkamah Kehakiman dan membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk diputuskan persoalan perlembagaan dan juga tentang kesahihan di segi undang-undang langkah pihak pendakwa memindahkannya di bawah seksyen 177 Kanun Prosedur Jenayah.

Sebelum itu, Manjeet berhujah bahawa perintah majistret untuk memindahkan kes tersebut pada 15 Ogos adalah batal dan tidak sah dan bercanggah dengan seksyen 177 kerana tidak ada alasan untuk memindahkan kes tersebut berdasarkan kepada kepentingan umum.

Beliau juga berkata, di bawah seksyen 417 Kanun Prosedur Jenayah, hanya hakim Mahkamah Tinggi boleh membuat perintah pemindahan kes dari mahkamah rendah.

Katanya, memandangkan kes tersebut didengar oleh Mahkamah Majistret di mana Raja Petra didakwa, maka ia mesti kekal didengar di situ.

Sumber:
Malaysiakini

Irene Fernandez dibebaskan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskan aktivis pejuang hak asasi pendatang asing, Irene Fernandez dan sekaligus mengakhiri kes mahkamah yang berlanjutan selama 13 tahun.

Mahkamah dijadual mula mendengar kes rayuan Irene pagi ini walaupun dokumen berhubung kes tersebut mungkin tidak lengkap.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Apandi Ali membuat keputusan yang mengejutkan pagi ini, dengan membebaskan Irene.

Apabila kes itu disebut pada 11 Jun, ia ditangguhkan kepada 5 Ogos kerana dokumen berhubung kenyataan saksi-saksi utama pihak pendakwa telah hilang.

Ia ditangguhkan bagi kali kedua kerana terdapat virus dalam komputer yang mengakibatkan volum tertentu nota-nota yang diperlukan untuk perbicaraan, telah hilang.

Pada 2003, Irene yang juga pengarah eksekutif Tenaganita dijatuhkan hukuman 12 bulan penjara selepas Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mendapati beliau bersalah menerbitkan maklumat palsu dengan niat jahat.

Kes tersebut yang didengar di bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984, merupakan perbicaraan yang paling lama dalam sejarah Malaysia.


Sumber: Malaysiakini

Harga minyak sepatutnya RM1.52!

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Hrkh) -Ketua Menteri Pulau Pinang,Lim Guan Eng menyeru Menteri Kewangan, Dato' Seri Najib Tun Razak agar menurunkan harga petrol kepada RM1.52 seliter memandangkan harga minyak dunia ketika ini adalah AS$50 setong.

"Ini ialah harga di pam apabila harga minyak berada berada di bawah AS$50 setong pada tahun 2005,"kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, penurunan ini wajar,adil dan bertanggungjawab daripada menunggu dua minggu lagi untuk melaksanakannya.

"Selain daripada membayar subsidi kerajaan juga akan dapat jimat lebih RM10 bilion jika harga kekal stabil,"dakwanya.

Tambahnya, kegagalan untuk menurunkan harga minyak hanya akan menimbulkan persoalan iaitu kenapakah kerajaan boleh bertindak cepat untuk menaikkannya tetapi agar sukar untuk menurunkannya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Shahrir Samad semalam berkata, harga minyak mungkin akan turun 15 sen lagi menjelang akhir bulan ini berikutan dengan penurunan harga minyak dunia. - mks._

Sumber:
HarakahDaily

Berbasikal Bersama JERIT!


Sesudah menang besar, kongres pertama PKR pun bermula


MINGGU depan giliran Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula akan mengadakan kongres nasional tahunannya.

Kongres ini merupakan kali ke 5 selepas Keadilan bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia. Sudah tentu kongres kali ini akan menjadi tumpuan ramai.

Ada beberapa sebab kenapa kongres ini diramal bakal hangat dan menjadi fokus umum baik dari ahli, penyokong dan pemerhati.

Pertama, inilah kongres pertama selepas pilihan raya umum ke 12 yang membawa kejayaan besar kepada PKR. Tidak boleh dinafikan kejayaan yang dicapai dalam pilihan raya lalu jika diukur kepada pencapaian itu meletakkan PKR menjadi parti kedua terbesar selepas Umno.

Di Parlimen Umno mempunyai 83 kerusi manakala PKR 31 di mana hampir separuh daripada kerusi Umno. Berbanding dengan Pas yang mempunyai 23 kerusi manakala DAP 28 kerusi.

Sekiranya kejayaan dalam pilihan raya umum ke-12 itu kekalkan tidak mustahil PKR akan menjadi parti masa depan dan pilihan rakyat negara ini yang seterusnya menjadi parti peneraju kerajaan?

Situasi dan realiti itu menyebabkan kongres pada 28 dan 29 November bertempat di stadium tertutup, stadium Melawati Shah Alam, dijangka menarik perhatian umum.

Kehadiran pemerhati dan sambutan kongres berkenaan juga mungkin akan meningkat berbanding dengan kongres-kongres sebelum ini.

Apa lagi tempat berlangsungnya kongres itu selesa jika dibandingkan dengan tempat berlangsungnya kongres sebelum ini.

Sebelum ini PKR menghadapi masalah mendapatkan peremis untuk mengadakan kongres mereka. Bukan semua hotel mewah atau dewan umum bersedia memberi ruang kepada PKR.

Lantaran itu PKR terpaksa mengadakan kongres mereka di merata tempat termasuk di tempat yang tidak berapa sesuai disebabkan kesulitan itu.

Kerana tidak ada pilihan maka kongres terpaksa juga diadakan. Satu ketika PKR pernah mengadakan kongres di Dewan Tokong China di Ipoh.

Alhamdulilah walaupun tempat kongres tidak selesa dan dilengkapi dengan kemudahan prasarana seperti hawa dingin dan sebagainya sambutan tetap hangat dan membanggakan.

Semangat untuk melakukan perubahan dan pembaharuan menjadikan segala kepayahan dan kesusahan itu dialpakan.

Kalau di Dewan Tokong China sambutan hangat dengan kehadiran ribuan orang, apa lagi di tempat yang selesa seperti stadium Melawati di Shah Alam itu tentu ia akan bertambah hebat dan meriah.

Lagipun tempat itu bolehlah dianggap sebagai peremis PKR sendiri.

Selangor kini dikuasai oleh Pakatan Rakyat di mana PKR sebagai tulang belakangnya. Pengerusi PKR Selangor, Abdul Khalid Ibrahim adalah Menteri Besar.

Kedudukan itu tentu akan diambil kesempatan sebaik mungkin untuk berkongres dalam keadaan selesa dan penuh bermakna.

Seperti dikatakan tadi, inilah kongres atau perhimpunan rasmi pertama PKR selepas selesai pilihan raya umum Mac lepas.

Sudah tentu kongres kali ini berbeza dari segi penampilan, semangat serta komitmen kalangan ahli. Keinginan ahli untuk menghadiri kongres itu akan jadi bertambah ghairah.

Lantaran itu ia diharap akan menghasilkan natijah yang bermakna dan bukan sebagai gelangang untuk beretorika dan melepas hawa saja.

Kongres kali ini tidak melibatkan pemilihan. Peluang ini memberi ruang banyak kepada ahli atau perawakilan untuk membahas, membincangkan dan merangka pelan tindakan parti setidak-tidaknya menjelang pilihan raya umum ke- 13 akan datang.

Peluang baik ini juga hendaknya dimanfaatkan untuk mengemukakan idea lebih inklusif demi masa depan parti berkenaan yang diharap menjadi alternatif kepada rakyat seluruhnya.

Seperti mana dirancangkan kongres itu akan bermula dengan kongres Angakatan Muda dan Wanita pada 28 November.

Kedua persidangan ini akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden PKR, Syed Hussein Ali. Ia kemudian akan diikuti dengan kongres nasional tahunan.

Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail akan merasmikan kongres manakala Penasihat Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucaptamanya.

Menjadi amalan dan kebiasaan ucapatama dan ucapan asar penasihat akan menjadi landasan pemikiran dalam merangka strategi parti untuk beberapa tahun akan datang.

Para perwakilan akan mengupas dan mendalami kedua ucapan berkenaan.

Adalah dijangka baik presiden atau penasihat akan menumpukan kepada ageda untuk memapatkan parti, me ningkatkan kualiti kepimpinan dalam rencana persediaan menjadikan PKR sebagai sebuah parti bakal memerintah Malaysia.

Beberapa isu berbangkit dari kalangan Pakatan Rakyat, khasnya mengenai tanggapan Pas terhadap pendekatan politik atau dalam menguruskan pentadbiran kerajaan milik Pakatan Rakyat seperti di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah akan turut sama diperjelaskan bagi mengelakkan tidak timbul salah anggap yang boleh melemahkan Pakatan Rakyat.

Apakah mengenai nasib penasihat PKR itu yang kini sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah akan turut sama dibincangkan?

Seperti mana umum ketahui Anwar kini sedang berhadapan dengan tuduhan liwat kali kedua dan perbicaraan masih dijalankan.

Memandangkan akan berlaku perubahan kepimpinan dalam kerajaan BN ada kemungkinan Anwar juga akan turut memberi huraian mengenai masa depan politik serta persiapan menghadapi serangan dan
propaganda baru BN di bawah kepimpinan baru itu.

Dalam pada itu ada beberapa isu atau perkara yang harus diberikan penekanan oleh para perwakilan sekelian ini termasuklah:

1. Permatapan PKR sebagai sebuah oragnaisasi bakal menulangi kerajaan.

Kongres perlu membincang bagaimana atau kaedah untuk memantapkan kedudukan PKR sebagai sebuah parti bakal menjadi tulang belakang kepada kerajaan di masa akan datang. Untuk ini PKR perlu menambah nilai ahli dan juga wilayah rangkaian PKR di seluruh negara.

Justeru adalah sesuai kalau PKR merangka menambahkan bahagian parti itu di seluruh negara mengikut kawasan Parlimen sebanyak 222. Ataupun sekurang-kurang PKR perlu mempunyai 200 bahagian di seluruh negara.

Untuk mewujudkan ini PKR tidak ada masalah kerana ia tidak ada apa-apa halangan. PKR yang sifatnya sebagai parti pelbagai bangsa dengan Melayu menjadi tunggaknya boleh mengembangkan sayapnya ke mana juga wilayah kerana ia tidak terhalang seperti mana parti-parti lain yang bersifat konservetif.

2. Semangat setia perjuangan dan rela berkorban.

PKR perlu menanam dan menguatkan semangat setia kawan, persaudaraan sesama ahli dan rela berkorban untuk kemenangan perjuangan. Dalam konteks ini mana-mana ahli yang meresakan mereka tidak mampu untuk menjanakan (memimpin bajahagian) perjuangan hendaklah rela dan ikhlas menyerahkan jawatan kepada rakan yang boleh dirasakan mampu menggerakan parti.

Jangan kerana semata-mata ingin menjadi ketua atau dengan harapan dengan kedudukan itu akan mendapat habuah, seseorang penjawat jawatan itu terus kekal dengan kelemahannya tanpa menghiraukan nasib parti.

3. Tambah keahlian.

Sesuai dengan kedudukannya bakal menerajui kerajaan di masa akan datang, PKR perlu menambahkan keahlian. Mesti ada kempen atau program khas untuk mengajak anak-anak muda khasnya menjadi ahli parti.

Sasaran keahlian PKR harus melebihi tiga juga. Dengan memiliki ahli yang ramai, PKR boleh meneliti dan memilih mereka untuk dilatik sebagai kader ataupun jenetera pilihan raya. Kelemahan yang ketara kepada PKR ialah jentera pilihan raya, di mana di sesetengah tempat PKR hanya menumpang jentera rakan mereka, terutamanya Pas. Kelemahan ini perlu diperbaiki dan diperkemaskan.

4. Penjelasan mengenai beberapa isu berbangkit.

Kongres ini hendaklah digunakan untuk menjelaskan beberapa isu berbangkit yang tidak difahami oleh ahli. Antara isu ini ialah hubungan dengan rakan Pakatan Rakyat. Perselisihan faham dalam Pas berhubung sifat dan peranan PKR dalam Pakatan perlu dijelaskan.

PKR harus menyatakan sikap yang menyakinkan Pas. Penjelasan ini penting kerana kekeliruan mengenainya menyebabkan pandangan umum tidak yakin kemantapan Pakatan Rakyat.

5. Buang budaya Umno.

Ahli PKR perlu membawa dan mengamalkan buadaya baru. Budaya lapok dan merosakkan akhlak dan pertubuhan yang diwarisi dari Umno hendaklah dibuang dan diharamkan dalam PKR. Menyertai parti untuk mendapat projek haruslah dikikis dan jangan sesekali bawa budaya dan pemikiran itu dalam PKR.

Ini penting kerana PKR kini sudah mempunyai kerajaan negeri dan ada kuasa. Jangan pula berlaku perebutan jawatan, kontrak, jawatan-jawatan dalam PBT, agensi dan sebagainya.

Itulah antara perkara yang perlu dibincangkan dan diberi perhatian oleh para perwakilan kongres. Mudah-mudahan kongres ke-5 merangkap ke-9 itu nanti akan memberi impak besar kepada parti PKR amnya dan kepada penasihat umumnya Anwar Ibrahim.

Selamat bersidang.

* Penulis dilahirkan di Kampung Gual Nibong, Gual Periok, Pasir Mas Kelantan pada Feb, 1960. Mendapat pendidikan dan pengalaman kewartawanan di Indonesia awal tahun 1980-an. Berkecimpung dalam dunia kewartawan/penulisan buku politik sejak lebih 20 tahun. Sehingga kini telah menghasilkan lebih 45 buah buku politik semasa. Antara buku yang menjadi sebutan "Anwar Ibrahim: Mimpi dan Realiti, "Sumpah dan Airmata Reformis Bangsa:,"Saya Mahafiraun", "Hitam Putih: Darul Arqam" dan lain-lain. Blog beliau boleh dilayari di msomelayu.blogspot.com - Pengarang

Sumber: KLpos