Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, July 10, 2008

Susulan artikel “Petugas PKR dituduh pukul penyanyi”

8 Julai - Setelah 3 hari insiden tayang punggung berlaku ianya masih lagi mendapat perhatian dan isu ini semakin menarik dengan pelbagai pihak tampil menuding jari antara satu sama lain mencari siapakah yang perlu dipersalahkan. Tertarik dengan artikel Malaysiakini.com, “Petugas PKR dituduh pukul penyanyi” tulisan oleh Jimadie Shah Othman. Saya tidak mahu mengulas tentang petugas PKR yang memukul penyanyi tersebut, tetapi saya memberi sedikit pendapat saya tentang isu kekasaran ke atas petugas media yang turut menjadi intipati di dalam artikel tersebut.
…………………………………………………………………………………


Belum sempat penat akibat tugas di PROTES hilang, kini penat lain pula timbul untuk menjelaskan satu per satu setelah diasak dari segenap sudut akibat dari insiden ketika PROTES 678.

Situasi yang berlaku adalah pengajaran mahupun pengalaman buat semua Skuad AMK. Kita sekarang berada dalam suasana dihentam oleh pengamal media. Itu juga merupakan latihan kepada kita bagaimana untuk menghadam isu ini dan berlapang dada dengan kritikan yang dilemparkan.

Dalam keadaan Unit Amal PAS meninggalkan Skuad AMK terkontang kanting mengawal perjalanan program, saya memuji kesabaran dan ketahanan mental dan fizikal terhadap semua ahli Skuad AMK. Kita sepatutnya berkongsi pengalaman dan dibimbing oleh Unit Amal PAS dalam program seperti ini, namun Unit Amal PAS menarik diri di tengah jalan.

Bayangkan, Skuad AMK berada di Stadium Kelana Jaya seawal jam 12 tgh malam untuk membantu persiapan program. Tidur, mandi dan makan yang tidak teratur demi menjayakan program tersebut dan akhirnya Skuad AMK menjadi medan melempiaskan kemarahan banyak pihak.

Insiden tayang punggung (tayang boxer sebenarnya) betul - betul menguji ketahanan mental dan fizikal Skuad AMK. Sisa - sisa kudrat yang ada setelah memerah keringat sejak malam sebelumnya digunakan sebaiknya untuk menangani amukan orang ramai terhadap Alak dan Carburator Dung. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Skuad AMK kekal komited dalam melaksanakan tugas. Namun, dalam kegigihan Skuad AMK sebegitu, masih tidak mampu mengalih perhatian orang ramai untuk menuding jari kepada penganjur. Apa nak buat, dah nasib badan… Mujur Skuad AMK bertindak pantas untuk meyelamatkan Alak dan kawan - kawan. Kalau tidak, entahlah.

Ada pihak yang senyum lebar kerana melihat Skuad AMK dihentam. Mereka bersikap lepas tangan dalam hal ini. Sabarlah teman - teman skuad AMK. Kita belajar dan terus belajar. Ini bukan masanya kita membalas balik nafsu amarah mereka. Ini adalah masanya untuk kita menjelaskan isu ini sebaik mungkin seumpama menarik rambut di dalam tepung.

Dalam isu kekasaran ke atas petugas media pula, saya mengambil pendekatan berlapang dada. Saya amat memahami peri pentingnya peranan media dalam mendewasakan masyarakat apatah lagi dalam hal - hal politik ini. Mungkin dalam keadaan kepenatan dan tertekan ketika program, ada segelintir Skuad AMK yang agak kasar melayan tuntutan petugas media. Sepanjang bertugas ketika program, saya sering mengingatkan semua Skuad AMK yang saya temui untuk memberi kerjasama kepada petugas media.

Mengulas kekasaran kepada petugas media yang berlaku ketika insiden tayang punggung tersebut, perlulah difahami bahawa keadaan kekecohan seperti itu boleh menjadi lebih buruk sekiranya tindakan segera tidak diambil. Mungkin dalam kekecohan menghalang orang ramai menyerang penyanyi tersebut, Skuad AMK terpaksa menggunakan pendekatan agak keras bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku. Ini kerana ada pihak yang berada berdekatan penyanyi tersebut untuk mengambil gambar turut menendang penyanyi tersebut. Mungkin beliau bukan petugas media, tetapi Skuad AMK perlu berhati - hati dalam mengawal keadaan tersebut.

Dengan ini, saya juga memohon maaf kepada para petugas media yang terlibat dengan insiden kekasaran tersebut. Semoga insiden ini akan menjadi pengalaman yang cukup berharga kepada keseluruhan Skuad AMK.

Akhir kata, sekalung TAHNIAH dan SYABAS buat semua Skuad AMK yang terlibat melancarkan PROTES 678.

Muhamad Khairul Anwar Bin Mat Azidin
Penolong Ketua Unit 5,
Skuad AMK - PROTES 678.

No comments: