Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, April 16, 2010

Kes kepala lembu: Dakwaan dan tarikh dipinda - Malaysiakini

Perbicaraan kes terhadap 12 individu yang didakwa membawa dan memijak kepala lembu serta menyertai perhimpunan haram bagi membantah pembinaan kuil yang ditetapkan pada 26 Julai ini.

Perbicaraan tersebut akan dijalankan selama seminggu sehingga 30 Julai.

Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Hasbi Hasan menetapkan tarikh tersebut setelah pihak pendakwaan dan pembelaan tidak mempunyai kelapangan pada tarikh sebelumnya.

Kesemua 12 individu tersebut diwakili oleh peguam Datuk Salehuddin Saidin manakala Ishak Mohd Yusof bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya.

Dalam prosiding sebutan semula kes tersebut pagi ini, Salehuddin memohon perbicaraan diadakan pada bulan September, tetapi hakim menolaknya kerana “kes tersebut diberikan keutamaan dan bulan sembilan terlalu panjang (tempohnya)”.

Sebelum ini, perbicaraan kes tersebut terpaksa ditangguhkan kerana salah seorang daripada tertuduh Eyzva Ezhar, 31, dan penjamin tidak hadir. Beliau bagaimanapun hadir hari ini berpakaian penjara.

Salehuddin selepas itu memaklumkan, beliau difahamkan, anak guamnya itu ditahan di sebuah penjara, dipercayai terlibat dalam kes dadah. Beliau masih tidak mempunyai butiran terperici berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, dalam prosiding pagi ini Ishak menawarkan pertuduhan pindaan bagi mendapatkan pengakuan tertuduh-tertuduh hari ini.

B
agaimanapun, pindaan tersebut hanya melibatkan butiran kecil melibatkan masa dan tempat perkara tersebut dilakukan.

Dalam kes ini, pengerusi jawatankuasa badan bertindak penduduk Seksyen 23, Ahmad Mahayuddin Abd Manaf, 36, dan timbalannya, Ibrahim Sabri, 42, didakwa memijak kepala lembu yang mempunyai kecenderungan menghasut kerana perbuatan itu boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati serta permusuhan terhadap rakyat yang beragama Hindu.

Sementara Eyzva Ezhar pula didakwa membawa kepala lembu bersama-sama Ibrahim, manakala Mohd Azmir Mohd Zain; 35, Ahmad Suhairi Zakaria, 30; dan Mohd Hilmi Ni, 40, didakwa membawa dan memijak kepala lembu pada masa dan tempat yang sama.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM5,000 dan penjara maksimum tiga tahun.

Kesemua tertuduh turut ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan atas tuduhan dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan penganut Hindu dengan membawa dan memijak kepala lembu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam satu perhimpunan haram di hadapan pintu 1, pagar utama di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kira-kira pukul 2.30 petang, 28 Ogos tahun lalu.

Dalam pertuduhan awal, pihak terbabit didakwa melakukan kesalahan tersebut pada jam 2.25 petang di depan bangunan berkenaan, tanpa menyatakan di pintu mana.

Mereka bersama enam lagi lelaki lain turut didakwa atas tuduhan mengambil bahagian dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Enam lelaki lain itu terdiri daripada Jainudin @ Zainudin Md. Yusuff, 67; Mohd Jurit Ramli, 39; Mohammad Nordin Zakaria, 56; Jamil Mohamad Isa, 40; Rahimuddin Md. Harun, 39; dan Azhari Shaari, 39.

Kesemuanya dituduh mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 dan penjara maksimum setahun jika sabit kesalahan.

Kesemua mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Malaysiakini

No comments: