Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, April 22, 2010

Ibrahim, Saifuddin bertikam lidah isu saham judi - Malaysiakini

Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mencabar Saifuddin Nasution (PKR-Machang) mengulangi tuduhan di luar dewan bahawa beliau memiliki saham dalam syarikat judi, Ascot Sports.

"Boleh buat tuduhan di Masjid Pasir Mas, saya tunggu Jumaat ini, atau saya boleh pergi ke Machang atau boleh juga dibuat di luar dewan ini. Kalau dia anak jantan dan bertangunggjawab sebagai pejuang," katanya.

Ibrahim (kanan) berkata sekiranya Saifuddin gagal berbuat demikian, beliau adalah umpama "pemimpin tahi minyak."

Ibrahim membuat cabaran itu berhubung tuduhan yang beliau memiliki saham dalam syarikat judi itu atau syarikat lain berkaitan Tan Sri Vincent Tan; hingga dua Ahli Parlimen itu bertikam lidah ketika mencelah perbahasanrang undang-undang Suruhanjaya Persaingan 2010 di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin yang juga setiausaha agung PKR dikatakan membuat dakwaan itu ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat akhir Mac lalu.

Berikutan dakwaan itu, Ibrahim telah menghantar satu notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk mengemukakan usul merujuk Saifuddin ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Bagaimanapun, notis beliau itu ditolak di dalam kamar.

Memperjelaskan kenyataanya, Saifuddin (kiri) menafikan ada mengaitkan Ibrahim dengan syarikat itu atau mana-mana syarikat milik Vincent Tan.

"Yang mendorong Pasir Mas kaitkan saya menuduh beliau ada saham dalam syarikat judi ialah apabila beliau merujuk kepada kenyataan," katanya.

Meminta Ibrahim merujuk kepada handsard Dewan Rakyat, Saifuddin berkali-kali menegaskan bahawa kenyataannya hanya terhenti pada "Pasir Mas pun ada saham juga".

Katanya beliau tidak pula melanjutkan ayat itu dengan mendakwa Ahli Parlimen itu mempunyai saham di dalam syarikat judi.

Sebaliknya Saifuddin berkata, beliau maklum bahawa ahli parlimen Pasir Mas itu pernah memiliki saham di dalam Mara Holdings bernilai RM25 juta sebelum RM5 juta daripada jumlah itu dicairkan.

"RM1 juta diberikan untuk isteri, RM1 juta diberi kepada anak beliau dan RM3 juta lagi beliau buat main politik.

"RM20 juta lagi disimpan dan sekarang saham itu tidak lagi bernilai RM20 juta kerana paper loss, barang kali tinggal RM10 juta," katanya.

Tidak berpuas hati dengan penjelasan Saifuddin yang disifatkan hanya ''putarbelit'', Ibrahim kemudiannya membuat kenyataan untuk membersihkan namanya sendiri.

"Saya nak 'clearkan' perkara ini...saya tidak ada saham ini (Ascot Sport). Kalau Machang kata tersasul, tersilap cakap, saya boleh terima, tetapi kalau tidak, saya tidak akan maafkannya sampai Padang Mahsyar," katanya.

Menamatkan pertelingkahan itu, Pandikar Amin (atas, kanan) menegur semua media massa untuk membuat laporan berdasarkan fakta yang betul.

"Media massa sama ada konvensional atau online atau mana-mana media sekarang ini yang canggih dalam internet itu, tolonglah perbetulkan fakta, jangan sama sekali menyiarkan perkara yang akan mengaibkan seseorang yang tidak bersalah.

"Setiap kita ini perlu bertanggungjawab, saya sebagai speaker, Machang dan Pasir Mas sebagai Ahli Parlimen, begitu juga bloggers, twitters, Facebookowners all this kini-kini, MalaysiaKini ke apa kini, masing-masing punya tanggungjawab terkini juga," katanya.

- Bernama

Malaysiakini

No comments: