Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, April 16, 2010

Muhyiddin dicabar isytihar harta bersama Zaid - Malaysiakini

Calon Pakatan Rakyat di Hulu Selangor Datuk Zaid Ibrahim berkata, beliau sanggup mengisytiharkan hartanya serta-merta sekiranya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri kabinet sanggup menyahut cabaran yang sama.

"Sekarang pun boleh (isytihar), esok pun boleh. Tetapi mereka kena isytihar juga," katanya ketika ditanya kesediaan beliau berbuat demikian setelah isu 'kekayaannya' dibangkitkan Muhyiddin semalam.

Menyifatkannya sebagai "tuduhan karut", Zaid turut kelihatan mempersoalkan peranan Muhyiddin sebelum ini - ketika menjadi menteri kabinet - terhadap cadangan perdana menteri pada waktu itu Tun Abdullah Badawi supaya mereka mengisytiharkan harta dan hutang masing-masing.

"Tetapi cadangan Pak Lah ditolak. Jadi Muhyiddin patut jelaskan mengapa?" soalnya kembali sambil mendakwa beliau masih berpegang kepada pendirian lamanya menyokong cadangan tersebut.

Dalam sidang media di Bukit Beruntung semalam, Muhyddin dilaporkan mendakwa PKR memilih Zaid sebagai calon mereka sempena pilihan raya kecil pada 25 April ini kerana bekas menteri di jabatan perdana menteri itu kaya.

Timbalan perdana menteri juga dilaporkan berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, pemilihan Zaid dibuat bukan kerana beliau mampu berkhidmat kepada penduduk setempat.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini di banglow dua tingkatnya di Petaling Jaya pagi tadi, Zaid menjelaskan, isu 'kekayaannya' itu sengaja ditimbulkan BN bagi "mempersendakannya" dan "seolah-olah hendak menuduhnya mengamalkan rasuah"

'Nak kata miskin, tidak juga'

"Saya hairan juga mereka tuduh saya begitu, seolah-olah tuduh saya rasuah. Saya menteri (selama) enam bulan (sahaja), macam mana hendak buat (rasuah)?

"Menteri undang-undang pula, bukan (menteri yang) jaga Petronas, bukan jaga Felda, bukan menteri kewangan," kata Zaid yang juga penyelaras Pakatan Rakyat.

Berhubung dakwaan BN cuba mempersendakannya, Zaid menjelaskan, isu kekayaannya itu ditimbulkan bagi menggambarkan beliau seorang yang "tidak mengenang budi" kerana membuat duit ketika bergiat dalam Umno.

"Itulah politik kempen dia (Muhyiddin). Saya harap kita teruskan kepada persoalan isu sebenar di Hulu Selangor," katanya.

Beliau bagaimanapun mengaku "berduit" daripada pendapatan hasil 30 tahun menjalankan firma guaman dan mempunyai sedikit pelaburan.

"Bukanlah kata (saya) tak ada duit. (Tetapi) bukan seperti yang digambarkan. Jadi hendak kata saya miskin, tidaklah. (Kalau miskin) takkan boleh duduk di Tropicana (Golf Resort)," katanya.

Dalam wawancara kira-kira 45 minit itu, Zaid mengupas pelbagai perkara berhubung 'pertarungan' BN- Pakatan yang akan ditentukan oleh hampir 65,000 pengundi pada 25 April ini. 'Kehangatan' suasana menjelang tempoh rasmi berkempen yang tinggal dua hari lagi, kini mula terasa.

Anwar kelmarin mengumumkan Zaid sebagai calon PKR bagi berdepan dengan BN di Hulu Selangor atas tindakannya yang sanggup melepaskan jawatan menteri "demi prinsip" kerana menentang penggunana akta ISA oleh kerajaan.

Zaid dijangkan bakal mendapat tentangan sengit daripada calon daripada MIC yang akan diumumkan timbalan perdana menteri di Hulu Selangor petang ini.

Malaysiakini

No comments: