Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, April 29, 2010

Gerabak wanita: PAS ucap tahniah kepada KTMB - Harakah

KUALA LUMPUR, 29 April: PAS mengucapkan tahniah kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kerana memperkenalkan gerabak khas untuk penumpang wanita KTM Komuter.

“Ini adalah satu penghormatan kepada kaum wanita dan keunikan buat sistem pengangkutan awam di negara ini,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar) kepada Harakahdaily.

Katanya, PAS amat menyokong langkah itu kerana ia mampu memberikan keselesaan kepada penumpang wanita yang selama ini terpaksa berhimpit-himpit dengan penumpang lelaki khususnya ketika waktu puncak.

Malah, ujarnya langkah itu dapat mengurangkan masalah gangguan seksual kepada penumpang wanita.

“Langkah ini menepati syariat Islam yang meletakkan wanita di tempat paling istimewa yang perlu dilindungi dan dilayani dengan sebaik-baiknya.

“Kemudahan KTM ini walaupun baru namun diyakini akan mendapat sambutan meluas berikutan jumlah penumpang komuter setiap hari yang ramai,” ujarnya lagi.

Menurutnya, perkara itu sudah lama dilaksanakan di luar negara seperti di Jepun dan beberapa negara Eropah.

Justeru, tambahnya, PAS mencadangkan agar selepas ini diwujudkan juga gerabak khas untuk mereka yang bekeluarga dan juga warga emas termasuk golongan OKU bagi memudahkan mereka mendapat perkhidmatan yang lebih baik.

PAS, ujarnya berharap inisiatif itu juga diambil oleh pengusaha pengangkutan awam yang lain agar masalah-masalah penindasan atau pencabulan wanita di tempat awam dapat dikurangkan di samping meningkatkan imej perkhidmatan awam di mata masyarakat.

Harakah

No comments: