Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, April 12, 2010

Tan Mungkin Kembali Ke PKR - mStar

Bagaimanapun dia ingin menyelesaikan tuntutan mahkamah dulu

GEORGE TOWN: Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng mungkin mempertimbangkan untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas saman fitnah terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng selesai.

Tan berkata, ini kerana parti tidak menyetujui tindakannya menyaman Lim.

"Itulah sebab saya tinggalkan parti," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis penyampaian bantuan kepada pesakit dialisis di Jelutong semalam.

Tan memberitahu, dia masih mempunyai banyak kawan di kalangan ahli-ahli parti tersebut.

"Saya berbual-bual dengan Ahli-Ahli Parlimen PKR di Parlimen - kami masih bergaul dan tiada permusuhan. Bagaimanapun buat masa ini, saya tidak boleh pertimbang untuk menyertai semula parti kerana masih terdapat perkara yang perlu diuruskan.

"Jika semua ini diselesaikan dan parti bersedia menerima saya kembali, saya akan pertimbang menyertai semula PKR," katanya.

Tan, 38, sebelum ini mendakwa Lim telah melancarkan "serangan bersifat peribadi" yang berunsur fitnah terhadapnya.

"Dalam tempoh kira-kira sebulan, saya akan mengarahkan peguam-peguam saya mengemukakan saman kepadanya," katanya.

Tan berkata, dia masih terus menaja bahagian PKR Jelutong walaupun bukan lagi ahli PKR.

"Saya membantu mereka dengan peruntukan RM1,000 sebulan dan tidak mempunyai masalah untuk memberi bantuan kepada bahagian tersebut.

"Jika mereka menjemput saya ke majlis, saya akan menghadirinya," kata bekas ketua bahagian itu.

Difahamkan sestengah pembantunya masih merupakan ahli PKR.

Tan, 38, yang merupakan bekas Ketua Penerangan Negeri parti tersebut bertindak keluar parti pada 1 Mac selepas dihadapkan ke jawatankuasa disiplin kerana pertikaian berlarutan dengan Lim.

Anak bekas pemimpin kanan Gerakan, Datuk Tan Gim Hwa melabel Lim sebagai seorang "ahli politik bertaraf rendah yang tidak layak memimpin Pulau Pinang."

Ahli-ahli bahagian PKR Jelutong telah menyeru supaya beliau menyertai semula parti. Mereka turut menuntut pemimpin parti menjelaskan kegagalan mereka menyokong Tan.

Pada 30 Mac lalu, Tan memberitahu The Star bahawa beliau "tidak akan menutup pintu menyertai semula PKR."

Menurutnya, tindakannya keluar parti bukan disebabkan parti tetapi "segelintir individu dan bagaimana kerja-kerja dilakukan secara spesifik dalam hal-hal tertentu."

mStar

No comments: