Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, April 3, 2009

Najib, Ke mana dan Di mana Pendirian Melayu? - HelangJagat

PRU12 menandakan bahawa arus politik Malaysia telah berubah. Rakyat (secara majoriti) telah menolak, antara lain:

a) Politik perkauman yang sempit.
b) Isu kronisme dan nepotisme.
c) Amalan rasuah yang menjalar ke setiap sendi kehidupan bernegara.
d) Tafsiran agama yang hanya berlegar ibadat khusus dan menolak peranan agama dalam politik dan pentadbiran dan budaya.
e) Keadilan yang berpihak.
f) Dasar-dasar kebumipetaraan yang dijadikan alasan untuk kepentingan kuasa dan harta.
g) Suara rakyat yang disempitkan melalui beberapa akta yang disalah guna.
h) Institusi-institusi kerajaan umpama PDRM dan SPRM dijadikan instrumen untuk pengekalan kuasa.

PRU12 juga menjadi satu testimoni bahawa golongan pertengahan dan golongan muda mula memainkan peranan aktif dalam menentukan hala tuju, dan bentuk serta pengisian politik masa depan.

Satu hakikat yang tidak boleh ditolak untuk beberapa tahun akan datang (barang kali PRU13) bahawa golongan pertengahan dan generasi muda akan menentukan pihak mana yang akan menjadi teraju negara.

Parti-parti yang boleh menyentuh secara langsung hati nurani dan aspirasi serta harapan golongan ini akan menang dalam pemilu akan datang.

Orang Melayu dan rakyat khasnya sedang ditawarkan dengan dua pendekatan politik. Pertama, pendekatan politik yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat (PAS, PKR, DAP) dan keduanya, UBN.
Apabila membicarakan UBN, pembicaraan tentang bakal PM ke-6 tidak dapat dielak. UBN kini sebenarnya membawa beban yang cukup berat yang diwarisi daripada legasi dan era Maharithisme. Dan perubahan yang dijanjikan oleh Najib dan Muhyiddin bukanlah lagi perubahan kosmetik tetapi perubahan fundamental dan radikal.

Kita akui Mahathir merupakan seorang tokoh, perancang, penstrategis, dan pelaksana yang hebat. Namun ketokohan itu harus dibincangkan atau dinilai bersama dengan kerosakan institusi kerajaan sepanjang era pentadbirannya. Satu hakikat yang tidak dapat ditolak ialah:

"Jaringan kuasanya ada di mana-mana malah di setiap organ pemerintahan. Doktrin pemisahan kuasa pada era Mahathir tiada garis pemisah yang jelas. Ketaksubannya pada kemajuan ekonomi, sains dan teknologi telah menenggelamkan peranan bahasa dan agama dalam hidup bernegara."

Najib ialah anak didiknya. Mahathir ialah mentor Najib. Hakikat ini pun telah meyukarkan Najib menggarap dan melaksanakan perubahan radikal.

Salah satu syarat wajib untuk melakukan perubahan ke arah yang terbaik ialah kualiti dan integriti pemimpin atasan terutama peneraju perubahan iaitu PM. Kualiti dan integriti ini bersumberkan kekuatan intelektual dan moral yang berpaksikan kepada penghayatan agama yang mendalam sehingga terpancar dalam dirinya. Integriti ini memancar dan auranya boleh memukau khalayak. Kualiti dan integriti inilah yang memungkinkan lahirnya karisma.

Kalau kita analisiskan secara jujur dan profesional, integriti, kualiti dan karisma ini berada di pihak Pakatan Rakyat - TG Nik Aziz, TG Haji Hadi, Anwar Ibrahim, dan yang terbaru dan mula membentuk aura karisma ialah Ir Mohamad Nizar, dan Lim Guan Eng.

Najib dan Gagasan Intelektual

Saya tercari-cari sepanjang kariernya sebagai ahli politik yang bermula dalam usia yang cukup muda, 27 tahun sebagai MB Pahang, dan sehingga kini, Najib menongkah takah-takah politik sehingga ke puncak kuasa, tidak dapat saya temui satu sorotan tentang ketokohan dan jalan pemikiran Najib sebagai seorang ahli politik yang "bertokoh".

Cuma baru-baru ini apabila beliau diangkat sebagai TPM, beliau cuba menggagaskan "Melayu Glokal" - Melayu yang bersifat lokal dan pada masa sama bersifat global. Namun entah kenapa gagasan yang antik ini yang ditelurkan dengan istilah baru tenggelam begitu sahaja. Barangkali Najib tidak mempunyai kekuatan team yang sanggup secara sukarela bekerja untuk menerapkan gagasan ini menjadi realiti. Ini salah satu contoh Najib tidak mempunyai aura kepimpinan yang mampu menggerak massa. Karisma ini sebenarnya bersifat semula jadi. Karisma ini lebih kepada bakat.

Yang dapat saya simpulkan ialah kekuatan politik Najib ialah kesanggupannya bersabar dalam meniti kerjayanya. Sikap penentangan dan cuba menonjolkan keperibadian amat dielakkan. Najib seorang pengikut yang setia. Najib begitu berhati-hati dan selalu bersikap "play save".

Najib sebenarnya juga membawa beban diri yang cukup berat yang melingkari hidupnya. Kisah komisen kapal selam dan pembunuhan al Tantuya, masih belum selesai, dan kini didedahkan pada peringkat antarabangsa. Pemborosan juga seperti menjadi sifatnya. Lihatlah bagaimana beliau menerajui Kementerian Pertahanan dan bagaimana beliau mengurus agensi Felda.

Pakej rangsangan beliau masih tidak memberi kesan. Pasaran saham tidak memberi reaksi positif. FDI masih kekal jatuh. Defisit belanjawan telah meninghkat 7.8% daripada KDNK. Kesan kemelesetan ekonomi global sudah mula menyuntik bisanya ke sendi-sendi kehidupan rakyat. Nampaknya preskripsi Najib dalam membendung kesan kemelesetan ekonomi masih konvensional sedangkan kemelesetan ini tidak sama dengan bentuk kemelesetan global yang lalu.
Pimpinan tertinggi UMNO yang menang dalam PAU'09 memang memperlihatkan muka baru namun persepsi rakyat tidak dapat dihapuskan begitu sahaja bahawa PAU'09 yang lalu itu dilingkari unsur rasuah politik yang kronik. Maka, walaupun muka baru, mereka masih orang-orang korporat yang dahagakan kontrak kerajaan untuk survival politik masing-masing.

Nampaknya, UMNO semakin tidak diminati oleh golongan profesional yang genuine. Mereka kebanyakannya berpaling kepada Pakatan Rakyat.

UMNO di bawah Najib juga bukan sahaja bertarung dengan kelemahan dalaman yang kronik, tetapi akibat penekanannya yang melampau terhadap unsur Melayu telah merenggangkan rakyat bukan Melayu daripada UBN. Tawaran Pakatan Rakyat nampaknya berjaya menawan rakyat bukan Melayu. Rakyat bukan Melayu tidak mudah melupai Episod Kudeta Perak.

Episod Kudeta di Perak sesungguhnya adalah manifestasi penekanan yang melampau terhadap unsur Melayu (UMNO) dalam hubungan dengan rakyat bukan Melayu. Rakyat bukan Melayu secara tidak langsung diberi mesej bahawa UMNO dan Raja Melayu tidak mengiktiraf rakyat bukan Melayu sebagai rakyat Raja. Ini bermakna Najib dan para penasihat belakang tabir beliau gagal membaca gerak dan nadi rakyat Perak sebelum merancang merampas kerajaan negeri Perak yang sah.

Aliran Politik Kini

Asas politik yang diinginkan oleh generasi baru ialah keadilan yang berpaksikan moral dan agama. Status quo Melayu dengan segala akar budayanya yang termaktub dalam Perlembagaan tetap KEKAL, namun pada masa sama kepentingan dan hak-hak rakyat bukan Melayu TIDAK TERABAI. Diktonomi antara Melayu dan Bukan Melayu akan terungkai dan secara beransur-ansur terhapus.

Ketuanan Rakyat yang diingini oleh generasi baru. Ini satu intisari makna sebenar demokrasi dan dipandu dengan panduan agama (tentunya agama Islam).

Saya agak yakin bahawa rakyat bukan Melayu mula menerima peranan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Dengan adanya sikap toleransi yang tinggi antara PAS, PKR, dan DAP, saya yakin Islam akan difahami dalam maksudnya yang sebenar. Bahawa kehidupan beragama dan berbudaya rakyat bukan Melayu tidak akan diusik malah akan dipersubur. Dalam HUDUD pun, mereka dibenarkan memilih untuk mengguna pakai sama ada Hudud atau undang-undang konvensional.

Virus perkauman dapat diminimumkan dan racun prejudis dapat dikurangkan. Pada ketika ini, setiap program kerajaan ke arah peningkatan mutu kehidupan rakyat Melayu dan bumiputera yang ketinggalan akan berlangsung dalam bentuk penyertaan bukan Melayu secara sukarela.

Memang ini nampak seperti sesuatu yang bersifat utopia, namun apabila kita sanggup memberi penilaian yang adil, kita dapati usaha ini sedang dilaksanakan di negeri-negeri yang dikuasai oleh PR. Contoh klasik ialah bagaimana usaha TGNA di Kelantan.

Oleh itu, orang Melayu harus membuat pertimbangan yang halus untuk memilih antara dua tawaran paradigma politik: paradigma yang ditawarkan PR dan paradigma UBN. Pada saya kalau orang Melayu masih memilih UBN bermakna orang Melayu memilih untuk hidup dalam suasana penuh pertentangan antara Melayu dan Bukan Melayu yang tiada titik noktahnya, dengan penafian terhadap peranan agama dalam kehidupan.

Dengan itu, orang Melayu yang masih kental unsur sentimental value dengan UMNO, Raja, dan Kemerdekaan haruslah berfikir dan membuat penilaian kritis dan bertanya pada diri. Emosi sentimental jangan hendaknya menyebabkan kita gagal menyelami realiti dan keperluan generasi muda. Malaysia ini akhirnya akan kita wariskan kepada mereka. Kita, generasi lama akan pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Sikap yang terpuji dan yang akan dikenang sepanjang zaman ialah generasi lama mewariskan suatu asas dan landasan serta bentuk kehidupan berpolitik yang mampu dirasai oleh semua golongan, dan bukan dalam bentuk penuh pertentangan dan konflik yang tidak berkesudahan. Sebenarnya, kitalah yang bertanggungjawab menentukannya.


HelangJagat


No comments: