Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, September 11, 2009

Inkues Teoh ingin lihat foto saksi didera SPRM - Malaysiakini

Inkues bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock ditangguh ke Khamis depan bagi membolehkan mahkamah mendapatkan laporan perubatan dan gambar asal kecederaan seorang saksi yang mendakwa didera oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Koroner Azmil Muntapha Abas menetapkan tarikh itu setelah membenarkan permohonan SPRM untuk menangguhkan prosiding bagi mendapatkan kedua-dua dokumen berkenaan, sebelum meneruskan sesi soal balas terhadap saksi terbabit, T Sivanesan.

"Setakat ini saya hanya dibekalkan laporan polis dan salinan bercetak gambar yang menunjukkan kecederaan yang didakwa. Saya perlukan bantuan dan pandangan pakar mengenai gambar itu.

"Gambar asal tidak diterima. Saya perlu tentukan sama ada warna pada badan saksi dalam gambar ini ialah warna sebenar akibat kecederaan atau warna ubat yang digunakan di hospital," kata peguam Datuk Abdul Razak Musa bagi pihak SPRM.

Azmil berkata beliau membenarkan permohonan penangguhan itu kerana gambar asal perlu dikemukakan, bukan sahaja bagi kepentingan SPRM tetapi semua pihak dalam inkues berkenaan.

Berhubung perkara itu, peguam Gobind Singh Deo, bagi keluarga Teoh, menjelaskan gambar tersebut ialah salinan fotokopi berwarna daripada gambar asal, dan berkata beliau akan cuba mendapatkan gambar asal kecederaan itu untuk dikemukakan kepada mahkamah minggu depan.

Rabu lalu, Sivanesan, pembantu pengurus di sebuah syarikat swasta di Kuantan memberi keterangan bahawa dia telah disepak, ditampar dan dipukul dengan batang besi oleh lebih 10 pegawai SPRM semasa disoal siasat di pejabat SPRM tahun lepas.

Satu laporan polis mengenai dakwaan itu telah dibuat oleh Sivanesan pada 11 Sept 2008. Awal minggu ini, lima pegawai SPRM membuat laporan polis terhadap Sivanesan bagi menyangkal tuduhannya itu.

Pada prosiding itu juga, SPRM mengemukakan permohonan ke Mahkamah Tinggi untuk memadamkan kenyataan saksi itu atas alasan tidak relevan, tetapi ditolak Mahkamah Tinggi semalam.

Dalam prosiding hari ini, Abdul Razak memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan notis rayuan dan sijil perakuan segera di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada ahli dewan undangan negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di bangunan itu. BERNAMA

Malaysiakini

No comments: