Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, September 30, 2009

PAS pula calonkan Zulkefly - Malaysiakini

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar diumumkan malam ini sebagai calon PAS dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober depan.

Pemilihan Zulkefly diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di pusat penyelarasan DAP bagi pilihanraya kecil berkenaan dekat Port Dickson.

Petang tadi, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pemilihan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN.

Dewan Harian PAS bermesyuarat petang tadi untuk memuktamad pemilihan calonnya di Bagan Pinang.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang, menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi.

Serah pada pengundi

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita, Zulkefly berkata Pakatan Rakyat (PR) akan membuat perubahan bersama dengan kehendak rakyat.

“Kita bertanding untuk membela rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai peluangnya untuk menang, Zulkefly berkata, terpulang kepada pengundi untuk memilih wakil rakyat mereka.

Beliau yakin pengundi bijak untuk memilih wakil rakyat yang dapat berkhidmat untuk membela mereka.

Ditanya harapannya dalam piliharnaya kecil kali ini memandangkan beliau bukan anak tempatan, Zulkefly yang pernah tiga kali bertanding sebelum ini berkata:

“Saya anak watan Negeri Sembilan, cuma lain daerah sahaja. Kita boleh capai kemenangan untuk bawa perubahan kepada rakyat.”.

Ditanya mengenai calon BN - Tan Sri Isa Samad yang merupakan calon popular dan mendapat sokongan akar umbi - Zulkefly sekali lagi mengulangi bahawa terpulang kepada rakyat untuk memilih wakil rakyat mereka.

Calon terbaik

Sementara itu, Hadi pula berkata, PAS memilih Zulkefly kerana beliau merupakan calon terbaik, muda dan berpendidikan tinggi.

Kepimpinan PAS, tegasnya, sebulat suara memilih Zulkefly bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

Ditanya mengenai isu-isu yang bakal dibangkitkan dalam kempen dalam pilihanraya kecil tersebut, Hadi berkata: “Tunggu dulu”.

Hadi juga ditanya mengenai kemungkinan masalah dalaman Pakatan Rakyat di Selangor - ekoran teguran pesuruhjaya PAS negeri itu, Datuk Dr Hasan Ali supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dirombak kerana didakwanya telah 'memalukan' pegawai kerajaan - akan dijadikan isu di Bagan Pinang.

Menjawab soalan tersebut, Hadi berkata: "Masalah dalaman yang ditimbulkan oleh media akan diselesaikan. Tidakjadi masalah."

Hadi juga ditanya mengenai peluang PAS menang dengan meletakkan pesuruhjaya negeri itu sendiri bertanding di Bagan Pinang, memandangkan dalam pilihanraya umum tahun lalu, parti itu tewas di 12 daripada 13 kerusi DUN yang ditandinginya di Negeri Sembilan.

Dalam jawapannya, presiden PAS itu berkata: “Kita melihat perubahan, tujuh daripada lapan pilihanraya kecil (sejak pilihanraya umum tahun lalu) kita menang, ini satu perubahan, adanya anjakan paradigma di kalangan pengundi di Semenanjung.”

Ditanya mengenai pengundi pos yang berjumlah lebih 4,000 orang dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang, Hadi berkata, terserah kepada pemilih yang mempunyai hak untuk mengundi.

Malaysiakini

No comments: