Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, September 28, 2009

PKFZ : AMK Selar Polis - TVA

Kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi dipertikaikan apabila mengheret isu skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) kepada penyiasatan ke atas Raja Petra Kamarul dan ahli kabinet yang telah membocorkan kertas kabinet melibatkan projek berkenaan.
Polis kelihatan bekerja keras dalam memastikan mereka yang terlibat dalam usaha penghebahan kandungan yang dikatakan sebagai kertas kabinet dihukum kerana telah melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Persoalannya di sini, mana lebih penting?

Apa yang pasti, kandungan kertas kabinet itu mendedahkan tentang Menteri Kewangan membuat syor kepada kabinet supaya memberi kelulusan secara retrospektif peningkatan kos pembangunan daripada RM 1.088 bilion kepada RM 4.6 bilion zon bebas cukai itu.

Menteri Kewangan juga dikatakan membuat syor supaya kabinet meluluskan pinjaman RM4.6 bilion kepada Lembaga Pelabuhan Kelang (PKA) untuk menyiapkan projek berkenaan.

" Apabila Musa Hassan mengumumkan akan membuat siasatan konon berlakunya pembocoran kertas kabinet, berkaitan dengan skandal PKFZ. Kita merasakan bahawa Musa Hassan cuba lari daripada isu yang sebenar" ujar Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin.

Skandal PKFZ walaupun ianya dibincangkan di kabinet, dan diputuskan dalam kabinet menunjukkan menteri-menteri cuba mencari jalan untuk menghalalkan penyelewengan yang berlaku dalam skandal PKFZ ini.

Fokus utama kandungan kertas kabinet itu hakikatnya memberi peluang kepada rakyat untuk menilai sejauh mana ketelusan dalam pentadbiran kewangan di negara ini.

Timbul isu sama ada kertas kabinet itu mungkin palsu. Tetapi jika ia benar, polis sewajarnya meluaskan skop penyiasatan mereka kepada pihak yang bertanggungjawab tanpa memilih bulu dan bukannya menghumban mereka yang cuba mencari kebenaran di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

" Nampaknya Musa Hassan dan seluruh element kepolisian ini ingin mencari siapakah menteri yang bertanggungjawab dan tidak memfokuskan kepada usaha untuk menyiasat bagaimana penyelewengan wang rakyat boleh berlaku, siapa yang terlibat, siapa menteri yang mendalangi skandal ini, dan siapakah orang politik dari UMNO, MCA dan Barisan Nasional yang mendapat keuntungan. Itu yang sebenarnya yang harus diberikan tumpuan" tambahnya lagi.

Namun tindakan polis ini bukanlah satu perkara yang mengejutkan. Waima, ianya acapkali berulang sehingga ramai yang melabelkan institusi kepolisian itu sebagai kuda tunggangan UMNO-BN dalam menyelamatkan kepentingan politik dan peribadi mereka.

" Sekarang ini mereka sedang cari kambing hitam . Dalam hal ini ada dua kambing hitam mereka cari. Yang pertamanya Raja Petra, serangan sekarang tertumpu kepada Raja Petra dan yang keduanya, mereka akan cari sampai dapat siapa menteri yang mendedahkan yang membongkarkan kertas kabinet ini".

TV Antara turut mendapatkan respon dari Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkenaan dengan isu tersebut.

" Ya saya melihat ini satu usaha untuk menutup kes ini dan akhirnya saya menjangka bahawa mereka akan mengisytiharkan bahawa dokumen yang tersiar dalam Malaysia Today itu adalah dokumen rekaan dan akhirnya tidak ada siapalah yang kena tangkap".

Bagi beliau apa yang lebih penting ialah mereka yang menggelapkan wang rakyat harus didakwa dan bukannya mereka yang membongkarkan pengkhianatan tersebut meski pun ia melibatkan orang kenamaan dalam barisan kerajaan.

" Bagi saya bahawa saya minta polis sepatutnya bukan menyiasat untuk menentukan sama ada dokumen itu betul atau pun tidak kerana Datuk Najib sendiri telah pun menyatakan bahawa dokumen itu sebagai dokumen yang disahkan sebagai dokumen kabinet. Jadi apa yang penting sekarang ini ialah bukan siasatan siapa yang membocorkan dan menyebar dokumen kabinet itu tetapi yang harus disiasat ialah bagaimana kabinet boleh meluluskan satu keputusan yang melanggari prosedur- prosedur kewangan" katanya.

Beliau juga turut menggesa kerajaan mengambil langkah mengisytiharkan kertas kabinet yang melibatkan PKFZ sebagai dokumen umum.

" Bermakna jika dokumen ini dianggap open document atau dokumen terbuka, siapa-siapa sahaja boleh memiliki dan siapa-siapa sahaja boleh mengetahui tentang dokumen yang boleh mengetahui apa sebenarnya keputusan yang dibuat oleh kabinet yang menunjukkan bahawa kes ini bukan hanya membabitkan Ong Tee Kiat tetapi kes ini membabitkan hampir keseluruhan anggota kabinet pada waktu itu yang sebahagian besarnya masih berada dalam kabinet di bawah Datuk Najib, termasuk Datuk Najib sendiri dan juga Tan Sri Muhyiddin yang terlibat dalam membuat keputusan melanggari prosedur dan peraturan-peraturan kewangan".

" Saya cabar kerajaan khususnya kepada Datuk Najib, kalau betul Datuk Najib mendokong prinsip integriti, ketelusan untuk melihat kepentingan negara dan rakyat ini, saya mencabar untuk Datuk Najib mengisytiharkan dokumen kabinet yang dianggap sebagai rahsia rasmi tersebut iaitu dokumen berkaitan PKFZ, supaya dikeluarkan dari klasifikasi OSA".

TVA

1 comment:

Malaysian said...

[E3] RPK Speaks His Mind - Pengalaman Semasa Dalam Kurungan ISA Pertama
Latest Raja Petra Video With Bahasa Translation @ GoMalaysian.Blogspot.Com
Video Terbaru Raja Petra Hanya @ GoMalaysian.Blogspot.Com

Untuk Video Yang Lepas
[E1] RPK Speaks His Mind - Surat Sumpah Altantuya
http://gomalaysian.blogspot.com/2009/09/rpk-speaks-his-mind-altantuya-statutory.html

[E2] RPK Speaks His Mind - Menghina Islam? Tolonglah!
http://gomalaysian.blogspot.com/2009/09/episod-2-rpk-speaks-his-mind-menghina.html