Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, September 9, 2009

PAS umum calon Bagan Pinang lepas raya - mStar

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali tengah hari Rabu mengumumkan calon parti itu bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang akan diumumkan selepas Hari Raya Aidil Fitri.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut, di sini.

"Saya jangka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan pilihan raya kecil (DUN Bagan Pinang) ini selepas daripada hari raya (Aidilfitri) dan nama calon kita (PAS) pun akan diumumkan selepas hari raya.

"Saya telah bercakap kepada SPR dan minta mereka supaya hari mengundi bagi pilihan raya kecil ini (Bagan Pinang) diadakan pada hari cuti kerana kalau buat hari bekerja peratusan keluar membuang undi adalah rendah. Kita sarankan supaya SPR menerima baik cadangan kita," katanya.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohd Nor, Jumaat lalu, akibat jangkitan kuman dalam darah di Hospital Pakar Seremban.

Pada pilihan raya umum Mac tahun lalu, Azman daripada Barisan Nasional memenangi kerusi tersebut dengan menewaskan Ramli Ismail dari PAS dengan majoriti 2,333 undi.

Beliau memperolehi 6,430 undi manakala Ramli pula 4,097 undi.

Kawasan tersebut mempunyai komposisi 66% pengundi Melayu; 19.9% India; 10.5% Cina dan 3.5% lain-lain kaum.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan Mustafa yang juga bekas Pengarah Pilihan Raya PAS pusat berkata, beliau juga telah menulis surat kepada SPR untuk berbincang beberapa perkara mengenai proses pengendalian pilihan raya.

"Antaranya ialah isu undi pos, kerana di Bagan Pinang undi pos di sini besar, lebih 5,000 orang atau 37 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan.

"Kita mahu pengundian ini dijalankan secara telus dan adil," katanya.

Bagi kerusi DUN Bagan Pinang, sebanyak 4,925 daripada 14,192 pengundi berdaftar terdiri daripada pengundi pos.

Ketika ditanya sama ada PAS akan meletakkan calon 'luar' bagi mewakili parti itu di DUN Bagan Pinang, Mustafa yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata: "Calon (PAS) daripada Negeri Sembilan, insya-Allah. Tak de (calon) luar dari Negeri Sembilan, saya boleh yakin dari sudut itu."

"Kita ada ramai calon dan kita akan senarai pendekkan tidak lama lagi," katanya.

Menurut Mustafa, mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat akan diadakan pada 13 September ini untuk membincangkan mengenai calon yang akan mewakili parti itu bagi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

Mengenai peluang untuk PAS menang di DUN Bagan Pinang, Mustafa berkata, parti itu yakin mereka masih berpeluang untuk menang di kerusi tersebut.

"Namun ia (pertandingan) tidak mudah kerana masalah kita adalah pengundi pos di Bagan Pinang kerana ia memihak kepada BN. Tetapi di Parlimen Teluk Kemang kita menang undi pos di sana. Undi luar daripada pos lebih kurang sekata," katanya.

Isa Samad liabiliti Umno

Ketika diminta mengulas Tan Sri Mohd Isa Samad yang dikatakan akan dipilih sebagai calon Umno bagi kerusi berkenaan, Mustafa berkata, beliau yakin Umno tidak akan berbuat demikian.

"Dia (Isa) akan jadi liabitili kepada Umno kerana kes dia dilucutkan jawatan dan digantung keahliaan. Ini liabiliti yang besar kerana dia didapati bersalah kerana isu rasuah oleh Lembaga Disiplin Umno sendiri. Saya tidak fikir Umno akan memilih dia (Isa)," katanya.

Mengenai isu yang akan digunakan oleh PAS ketika pilihan raya kecil itu nanti Mustafa berkata, isu-isu nasional dan tempatan bakal mewarnai kempen sepanjang pilihan raya kecil di DUN Bagan Pinang.

"Isu-isu seperti rasuah, ketidakcekapan memerintah dan masalah kemiskinan yang merupakan isu nasional yang ada. Isu tempatan akan didedahkan apabila sampai masanya," katanya.

mStar

No comments: