Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, September 9, 2009

Kes kepala lembu: 12 dihadap ke mahkamah - Malaysiakini

Dua belas orang ke mahkamah hari ini berhubung insiden perarakan kepala lembu ketika mengadakan protes di sekretariat kerajan negeri (SUK) Selangor pada 28 Ogos lalu.

Enam daripada mereka menghadapi dua tuduhan - menghasut dan menyertai perhimpunan haram. Manakala enam lagi didakwa menyertai perhimpunan haram.

Enam yang menghadapi tuduhan menghasut itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan atau tuduhan alternatif di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana "menimbulkan rasa tidak puas hati dan permusuhan penganut Hindu dan senjaga lukakan perasaan penganut Hindu".

Mereka ialah Ibrahim Sabri, 42; Ahmad Mahayuddin Abd Manaf, 36; Eyzva Ezhar Ramly, 35; Mohd Azmir Mohd Zain, 35; Ahmad Suhairy Zakaria, 39; Mohd Hilmi Ni, 40.

Ibrahim dan Ahmad Mahayuddin didakwa memijak kepala lembu; Ayzva didakwa membawa kepala lembu; manakala Mohd Amir, Ahmad Suhairy dan Mohd Hilmi, didakwa membawa dan memijak kepala lembu

Mereka tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.

Mereka berdepan dengan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan/atau didenda sehingga RM5,000.

Sebelum itu, pihak pendakwa memohon supaya mahkamah menetapkan ikatjamin RM15,000 tiap seorang, manakala peguam mereka Salehuddin Saidin dan Afifudin Ahmad Hafifi meminta ia dikurangkan kepada masing-masing RM500.

Hakim Hasbi Hassan kemudiannya menetapkan ikatjamin masing-masing RM4,000 dengan seorang penjamin. Beliau juga menetapkan kes itu disebut pada 21 Oktober.

Selepas itu, mereka bersama enam yang lain dihadapkan di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan menyertai perhimpunan haram mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta polis.

Kesemuanya tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim Norkamilah Aziz membenarkan ikatjamin masing-masing RM300 dengan seorang penjamin bagi enam orang yang turut menghadapi tuduhan menghasut.

Manakala ikatjamin bagi enam orang lagi yang menghadapi tuduhan perhimpunan haram, ditetapkan masing-masing sebanyak RM300 dengan seorang penjamin.

Kes tersebut akan disebut pada 21 Oktober.

Mereka adalah sebahagian daripada mereka yang menyertai protes tersebut kerana membantah keputusan kerajaan Selangor untuk memindahkan kuil berusia 150 tahun, dari Seksyen 19 ke Seksyen 23.

Sebelum itu, kira-kira 20 penduduk datang ke Mahkamah Shah Alam pagi ini sebagai tanda sokongan kepada 12 orang yang akan didakwa berhubung isu perarakan kepala lembu membantah pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23.

Mereka berhimpun di kaki lima, menunggu sesi mahkamah bermula.

Mereka memberitahu media "kami tidak bersalah" dan kami datang dengan satu hati".

Dua belas orang tersebut akan didakwa menghasut serta menyertai perhimpunan haram,

Malaysiakini

No comments: