Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, September 11, 2009

Ancaman rogol: Exco Selangor akan lapor kepada polis - Harakah

KUALA LUMPUR, 11 Sept: Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail akan membuat laporan polis hari ini terhadap ancaman merogol yang dibuat ketika dialog antara kerajaan negeri dan penduduk Seksyen 23 Shah Alam.

Dialog 5 September itu dicemari perbuatan tidak bertanggungjawab kumpulan tertentu yang mencetuskan kekecohan.

"Tindak-tanduk yang enggan mengikut peraturan dan perbuatan melemparkan kata-kata tidak senonoh tidak sewajarnya berlaku di dalam masyarakat bertamadun.

"Serangan psikologi dalam apa jua bentuk dan ancaman serangan serta pencabulan seksual mestilah segera dihapuskan," kata pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Tiga itu, Rozaini Mohd Rosli dalam satu kenyataan mengenai laporan polis tersebut.

Laporan polis itu akan dibuat di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam.

Dalam dialog yang diadakan berikutan bantahan penduduk Seksyen 23 Shah Alam terhadap cadangan membina kuil di kawasan mereka, seorang ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), A Sivarajan melaporkan bahawa salah seorang dari yang hadir melemparkan kata-kata cabul yang berupa ancaman seksual terhadap Rodziah.

"Mereka ini merebut mikrofon walaupun sesi dialog belum bermula dan memaki hamun semua kepimpinan negeri yang berada di depan.

"Antara kata-kata yang telah dikeluarkan ialah 'MB Bodoh,' 'Khalid Samad sekongkol dengan kuil,' 'Rodziah pelacur', 'Rodziah saya akan rogol you sekarang!' dan banyak kata-kata kesat lagi," lapor Sivarajan.

Laporan beliau disiarkan dalam Facebook dan laman-laman blog.

Malah wartawan yang berada dalam majlis dialog itu melaporkan, salah seorang dari pencetus kekecohan tersebut mengancam mahu membunuh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

"Hoi Khalid (Samad), kau duduk. Kau belum kenal aku siapa? Selepas ini, kau jangan turun Seksyen 23, kalau tidak, kau mati. Ini kawasan majoriti Melayu!" jerit pencetus kekecohan itu.

Bagaimanapun, Khalid masih belum membuat apa-apa laporan polis setakat ini.

Berikutan kekecohan itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Khalid mengumumkan pembekuan pemindahan kuil tersebut dari Seksyen 19 ke Seksyen 23.

Bagaimanapun kemudiannya kerajaan Selangor mengenal pasti satu lagi tapak baru kuil, juga di Seksyen 23 Shah Alam, setelah tapak sebelumnya menerima bantahan keras sekumpulan penduduk.

"Lokasi ini lebih strategik dan sesuai, terletak 100 meter daripada tapak cadangan asal dan 400 meter daripada kawasan perumahan," kata satu kenyataan pejabat Menteri Besar.

Tapak baru itu tidak dibantah oleh jawatankuasa bertindak penduduk Seksyen 23.

"Apabila kami dapati tapak (baru) yang diumumkan itu bersebelahan kilang (elektronik) Nitto Denko, setelah berbincang, kami bersetuju dengan cadangan itu.

"Jadi, kami berharap, persatuan kuil (Hindu) Seksyen 19 menerima tapak baru yang dicadangkan menteri besar Selangor ini," Malaysiakini memetik seorang ahli jawatankuasa tersebut, Ramzi Ramli.

Sebelum dialog yang mencetuskan kekecohan itu, sekumpulan penduduk kawasan berkenaan dan ahli-ahli beberapa NGO mengadakan tunjuk perasaan membantah pemindahan kuil tersebut dengan mengheret, meludah-ludah dan memijak-mijak kepala lembu.

Exco Pemuda Umno Datuk Sohaimi Shahadan turut menyertai tunjuk perasaan itu.

Bagaimanapun, 12 dari mereka yang menyertai tunjuk perasaan itu telah didakwa.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendakwa, keputusan tersebut bukan satu pertimbangan politik. - mks. _

Harakah

No comments: