Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, September 23, 2009

Bola Sepak: Liga Malaysia mungkin diswastakan pada 2011 - mStar

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mungkin menswastakan Liga Malaysia (LM) bagi musim 2011 jika pelbagai masalah masih lagi membelenggu perjalanan liga pada saingan tahun depan (2010).

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata antara masalah terbabit adalah kewangan seperti pembayaran gaji pemain dan pegawai, kemerosotan kualiti permainan dan kekurangan sambutan daripada penonton.

"Saingan LM musim depan akan menjadi medan terakhir FAM mencari jalan keluar daripada permasalahan itu dan kerana itu juga terdapat beberapa syarat tambahan kepada pasukan yang bertanding," katanya.

Antara syarat yang perlu dipenuhi semua pasukan adalah membayar deposit penyertaan kepada FAM dan mempunyai bukti kedudukan kewangan yang kukuh sepanjang musim bagi mengharungi saingan LM musim depan.

Pasukan yang bersaing dalam Liga Super juga perlu membayar deposit penyertaan sebanyak RM150,000 manakala RM100,000 kepada pasukan yang bertanding di dalam Liga Perdana.

Pasukan Liga Super pula perlu mempunyai bukti kedudukan kewangan berjumlah RM2.5 juta manakala Liga Perdana adalah RM1.5 juta.

"Jika semua syarat-syarat itu dapat dipenuhi dan dipandang serius oleh anggota-anggota gabungan, ia merupakan satu petanda yang baik untuk bola sepak negara ini," katanya.

Ketika ditanya kenapa FAM perlu menunggu sehingga 2011 sedangkan telah terbukti liga-liga luar negara yang diswastakan telah pun berjaya, Azzuddin berkata ia berhubung rapat dengan budaya rakyat Malaysia.

"Cara kita sebagai rakyat Malaysia adalah dengan berdialog terlebih dulu, serta memberi ruang yang secukupnya sehingga sampai satu tahap apabila semuanya telah diberi barulah tindakan diambil," katanya.

Azzuddin berkata anggota-anggota gabungan perlu menggunakan masa yang ada untuk berubah terutamanya bagi mencari dana serta mengambil insiatif sendiri untuk membuat hala tuju persatuan.

"Ini kerana di dalam beberapa aspek seperti mencari sumber kewangan serta pengurusan dan pentabdiran anggota-anggota gabungan FAM tidak boleh campur tangan kerana ia tidak dibenarkan oleh perlembagaan persatuan," katanya.

LM kini diuruskan sepenuhnya oleh FAM di mana terdapat jawatankuasa-jawatankuasa tertentu dibentuk bagi mengendalikan perjalanannya. BERNAMA

mStar

No comments: