Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, September 28, 2009

Waran Tangkap Tamat Tempoh: Penahanan Gobalakrishnan Dipertikai - TVA

Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrisnan ditahan polis pagi tadi sebaik sahaja beliau keluar dari Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk sebutan kes beliau menghalang polis menjalankan tugas pada hari penamaan calon DUN Permatang Pasir hujung Ogos lalu.

Difahamkan Gobala dibawa ke Balai Polis Seberang Perai, Pulau Pinang sebelum dipindahkan ke Balai Polis Cameron Highland. Polis belum memberi sebarang penjelasan kenapa Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat itu ditahan.

TvAntara telah menghubungi isteri ahli parlimen tersebut, puan Vasanthi Ramalingam. Beliau mempersoalkan waran tangkap tamat tempoh yang digunakan untuk menahan suaminya.

"Setelah dia keluar dari mahkamah, wartawan ambil kenyataan dari beliau.Tiba- tiba ada seorang datang dan keluarkan waran tangkap. Waran tangkap itu salinan sahaja dan bukan yang asal. Waran itu bertarikh Ogos lepas dan sudah tidak boleh digunakan lagi. Gobala pada asalnya tidak mahu ikut sebab ragu- ragu dengan waran itu. Tapi polis kata ini adalah arahan. Dia dibawa ke Balai Polis Seberang Prai dan kemudiannya ditukarkan ke Balai Polis Cameron Highland," kata Vasanthi.

Vasanti berkata pihaknya hanya dimaklumkan penahanan ahli parlimen ini atas kes terdahulu di Mahkamah Majistret Tapah, pada tahun 2004 lalu.

"Saya tidak tahu kes itu . Saya tidak dimaklumkan. Kami hanya diberitahu kes Mahkamah Majistret Tapah, tahun 2004 lalu," tambah beliau.

Vasanti bersetuju apabila ditanya adakah penahanan Gobala berhubung kait dengan pilihanraya kecil Bagan Pinang bulan hadapan. Penamaan calon ditetapkan pada 3 Oktober dan hari mengundi pada 11 Oktober ini.

Bagan Pinang mempunyai 13,664 orang pengundi berdaftar dengan 2,834 orang merangkumi pengundi kaum India.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Azman Mohd. Noor dari Barisan Nasional .

"Saya rasa besar kemungkinan dia dihalang daripada pergi berkempen di Bagan Pinang. Itu yang saya percaya," ujarnya lagi.

Gobala sebelum ini dikasari oleh polis sewaktu penamaan calon Permatang Pasir. Beliau mendakwa polis memijak bahu dan belakang badan sebelum seluarnya dilondehkan dan tangannya digari.

Polis pula mendakwa Gobala menghalang anggotanya daripada menjalankan tugas dan sebutan kes atas pertuduhn itu di tetapkan hari ini di mahkamah.

Diwakili peguamnya, J.M Marty, Gobala dalam permohonannya meminta agar seluar dan tali pinggang yang dirampas oleh pihak polis semasa kejadian dipulangkan semula untuk digunakan sebagai barangan bukti pada hari perbicaraan nanti.

Menurut Marty lagi, Gobalakrishnan akan diwakili oleh sepasukan lapan orang peguam yang diketuai ADUN Seri Delima, RSN Rayer.

Majistret, Mohd Azhar Hamzah menetapkan tarikh 28 Oktober depan sebagai tarikh sebut semula kes ini.

TVA

No comments: