Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, September 11, 2009

Ahmad Said pertahan anugerah MB daripada Sultan - Harakah

ANALISIS-
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dilaporkan menolak tawaran Umno pusat untuk melantik beliau menjadi menteri kerajaan pusat yang diusulkan sebagai langkah meredakan persengketaan dua pihak antara kumpulan Ahmad dengan geng bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusuh.

Kemungkinan besar penolakan secara mentah itu kerana menyifatkan usaha Umno pusat tersebut seolah merupakan penyingkiran secara halus kepentingan dan pengaruh politik beliau di Terengganu.

Ahmad dikatakan tidak mendapat sokongan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno dan bertindak secara sendiri yang akhirnya memberi keuntungan kepada beliau apabila Sultan akhirnya bersetuju melantik Ahmad sebagai Menteri Besar selepas pilihan raya umum pada Mac 2008.

Hasil daripada jawatan itu, secara perlahan beliau mula membina pengaruh dan sokongan daripada beberapa Exco kerajaan negeri. Bagaimanapun beliau masih lagi tidak mencapai majoriti jika dibandingkan golongan pro Idris yang diketuai Adun Ajil, Datuk Rasol Wahid.

Jika mengikut pihak yang memboikot majlis yang diusahakan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu seramai 15 orang maka hanya lapan Adun Umno yang menyokong Ahmad. Dua daripada lapan orang yang hadir itu dikatakan juga kumpulan penyokong Idris.

Muhyiddin menawarkan diri untuk menyelesaikan krisis politik dalaman Umno Terengganu seperti barah yang sudah pecah sehingga rakyat negeri itu turut menjadikan agenda perbincangan di kedai kopi, apabila Pengerusi Perhubungan Umno, Dato? Seri Hishammuddin Hussein,akhirnya turut gagal mengatasi konflik tersebut.

Sebaliknya Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri, terpaksa melalui zaman amat mengaibkan apabila majlis usaha beliau pada 3 September untuk menyatukan dua bertelagah itu, diboikot oleh kumpulan Adun Umno yang menentang Ahmad.

(Gambar:Penyerahan tugas antara Idris dengan Ahmad Said tidak beres)

Beliau dimalukan di khalayak pemimpin Umno Terengganu malah kedatangan beliau disifatkan langsung tidak memberi sebarang manafaat oleh kumpulan pro Idris.

Sepatutnya Muhyiddin mengambil tindakan dan hukuman keatas kumpulan Adun tersebut kerana cuba mencemar dan merendahkan kewibawaan beliau.

Sebaliknya atas kepentingan pengaruh politik beliau untuk menjadi Perdana Menteri beliau lebih bersedia untuk mengalah. Muhyiddin melihat kumpulan Idris masih mempunyai pengaruh kuat dalam politik di Terengganu berbanding Ahmad, sebab itu kemungkinan tersebut menjadi pendorong kepada Umno pusat mengemukakan formula memindahkan Ahmad kepada kerajaan pusat.

Sementara Ahmad pula peka dengan politik Umno pusat. Beliau tidak mudah tertipu usaha licik itu. Kalau Muhyiddin boleh mengalah dengan kumpulan pro Idris kerana tidak mengenakan sebarang tindakan keatas pihak yang memulaukan majlis tersebut, beliau akan tegas dengan jawatan Menteri Besarnya yang dilantik Sultan.

(Gambar: Ahmad Said)

Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Haji Hanafiah Ramly memberitahu, Ahmad akan dilantik Senator dan kemudiannya menteri penuh sebagai pertukaran jawatan Menteri Besar beliau.

Ketika dihubungi, beliau berkata tawaran pertukaran jawatan tersebut didakwa, dibuat oleh kepimpinan Umno pusat kepada beliau bagi meredakan krisis dalaman Umno Terengganu.

"Saya terima berita yang cukup luar biasa dan sukar dipercayai. Walaupun begitu dalam politik ini segalanya mungkin akan berlaku.

"Krisis dalaman Umno sudah begtu meruncing. Namun perlu diingat Adun Umno yang kononnya tidak bersetuju dengan Adun Kijal, Ahmad, tidak akan melompat masuk ke mana-mana parti pakatan rakyat.

"Mereka bukan berbalah dari segi prinsip, tetapi hanya dari segi teknikal, sebab itu ia tidak menjejaskan aqidah 'kebangsaan' mereka. Adun Ajil, Rasol yang menjadi ketua '10 budak hitam' sejak pelantikan Ahmad pada Mac 2008 pun sudah membuat kenyataan, tidak akan melompat kepada mana-mana parti," kata Hanafiah.

Beliau berkata, langkah memboikot Muhyidin, merupakan tindakan politik dalaman untuk menekan Muhyidin supaya bertindak melakukan sesuatu terhadap Ahmad Said, kalau Muhyidin perlukan sokongan dan undi mereka untuk berlawan dengan Najib, bagi pemilihan akan datang.

Tambah beliau, Ahmad pun bukan seorang yang berprinsip dan sudah mempunyai 'track record' yang tidak bersih selama ini. Bagi beliau pada hujung usia politik Ahmad yang akan tamat selepas episod itu, lebih baik Ahmad memilih untuk menjadi menteri di pusat daripada Umno menjadi kusut dan kalah pada pilihan raya umum ke 13.

(Gambar: Ahmad Said mempunyai hubungan baik dengan pemimpin PAS di Terengganu)

Bagaimanapun jika Ahmad menerima tawaran itu sudah pasti kumpulan penyokong beliau bertambah risau kerana politik balas dendam daripada kumpulan pro Idris.

Oleh kerana itu dikatakan kumpulan Ahmad juga tidak merestui beliau ke pusat. Dalam pada itu jika sekiranya Ahmad menerima tawaran tersebut siapa pula yang akan dilantik menjadi Menteri Besar?

Apakah Idris masih berminat? Apakah Umno mampu mengubah pendirian Sultan? Idris dikatakan membina rangkaian pengaruh politiknya sendiri terutama semasa menghadapi pilihan raya umum ke 12 lalu. Bagaimanapun beliau gagal menyingkir Ahmad daripada barisan Adun beliau kerana Ahmad juga berpolitik secara ala gangster ketika itu.

Rupanya hanya seorang Ahmad itu, menjadi duri dalam daging kepada beliau yang menyebabkan beliau gagal menjadi Menteri Besar. Dari 23 Adun Umno di Terengganu, 22 Adun menandatangani 'aku janji' menyatakan sokongan penuh kepada Idris kecuali Ahmad.

Krisis tersebut berlanjutan sehingga terdapat perancangan pro Idris mahu mengusulkan undi tidak percaya kepada Menteri Besar bagi menjatuhkan Ahmad.

Sebaliknya Ahmad mengunggut akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) sekiranya usul tersebut dibawa ke Dun. Akhirnya usaha tersebut gagal kerana kumpulan pro Idris tidak berani menghadapi sebarang kemungkinan berlaku pilihan raya di negeri itu memandangkan dalam masa yang sama terpaksa menghadapi PAS._

Harakah

No comments: