Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, March 24, 2009

20 ditahan selepas ceramah Anwar digempur polis - Harakah

SUNGAI PETANI, 23 Mac (Hrkh) - Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim hanya sempat berucap beberapa patah perkataan, sebelum gas pemedih mata ditembak bertalu-talu ke majlis ceramah anjuran KeADILan yang diadakan di Padang Awam, Taman Ria Jaya kira-kira jam 9.20 malam tadi.

Majlis ceramah yang mengundang Anwar dan Menteri Besar Kedah, Dato? Seri Azizan Razak pada awalnya mendapat permit polis, tetapi dibatalkan di saat akhir. Azizan bagaimanapun belum hadir ke tempat ceramah sebelum majlis ceramah disuraikan secara kekerasan oleh pihak polis.

Lebih 50 kali tembakan gas pemedih mata dilepaskan dan dua kali semburan air kimia Water Canon dihalakan kepada orang ramai.

Jalan utama melalui Taman Ria Jaya dan Kelab Cinta Sayang ditutup menyebabkan berlaku kesesakan teruk di sekitar taman perumahan berhampiran. Orang ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan rakus pihak polis, kelihatan berkumpul di merata tempat berhampiran tempat ceramah dan enggan berganjak walaupun diberi amaran berkali-kali oleh pihak polis.

Sementara itu, 20 orang ditahan dan dibawa dengan sebuah trak ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Petani. Antara yang ditahan ialah Senator Zamri Yusoff, Hafiz Ali (Setiusaha KeADILan Kedah), Ismadi (pegawai khas MB Kedah), Gunasegaran (pembantu peribadi calon KeADILan Bukit Selambau), Janapala, Ibrahim Tan Sri Yaakob, Mohd Hafizal Mohamad, Mohd Shafiq Md Sofi dan Lee Hong Meng. Lee adalah aktivis KeADILan yang mengalami sakit buah pinggang dan perlu menjalani proses haemodialisis besok.

Seorang lagi yang belum dikenali dibawa dengan kenderaan lain kerana mengalami luka yang agak teruk di muka.

Tindakan polis mengenakan kekerasan secara tiba-tiba pada malam mengejutkan kerana sejak beberapa malam pihak Pakatan Rakyat mengadakan ceramah tidak terdapat sebarang gangguan, malahan mendapat kerjasama yang baik dari pihak polis. Ramai percaya tindakan pada malam ini adalah "arahan dari atas".

BERITA SEBELUM INI

Polis telah melepaskan gas pemedih mata ke arah orang ramai yang berhimpun untuk mendengar ceramah Dato' Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi.

Selain tembakan tersebut, trak FRU juga telah mengguna water cannon dengan menyembur air ke arah oarang awam yang sejak awal lagi sudah berkumpul untuk mendengar amanat Anwar bersempena pilihan raya kecil Bukit Selambau yang akan diadakan pada 7 April depan. Kejadian itu berlaku kira-kira 10 minit selepas Anwar memperkenalkan calon KeADILan Bukit Selambau kepada umum.

Tindakan polis telah mengakibatkan suasana menjadi kelam-kabut dan ceramah beliau terpaksa dibatalkan yang diadakan di padang awam Cinta Sayang Sungai Petani.

Dianggarkan lebih 1,000 polis berada di padang tersebut dan cuba menyuraikan hampir 10,000 orang ramai yang berhimpun.


Keadaan menjadi huru-hara apabila orang ramai sukar mencari tempat perlindungan setelah terkena kira-kira 50 das tembakan.

Difahamkan 4 orang telah ditangkap dan terdapat pelbagai sekatan jalan raya menju ke tempat ceramah.

Perkara itu disahkan sendiri oleh seorang penulis dan novelis terkenal yang turut berada di tempat kejadian melalui sistem pesana ringkas kepada Harakahdaily jam 10 malam tadi.

Berita lanjut menyusul - azm_

Sumber: HarakahDaily

No comments: