Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Sunday, March 22, 2009

Undur, tangkap Ali Rustam - PAS Melaka - Harakah

MELAKA, 22 Mac (Hrkh) - PAS Melaka bersama Parti KeADILan Melaka menghantar memorandum kepada Dato' Seri Mohd Ali Rustam supaya meletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka kerana didapati bersalah terlibat dengan politik wang oleh Lembaga Disiplin Umno, baru-baru ini.

Memorandum itu diserahkan oleh Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Melaka, Adly Zahari dan turut ditemani bersama Ketua AMK Pusat, Syamsul Iskandar Mat Akin serta Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek.

Sebelum itu, hampir 400 penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di depan Masjid Al Alami, Ayer Keroh, di sini Jumaat lalu dan diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, di dalam hujan dengan laungan takbir dan 'undur Ali, tangkap Ali Rustam'.

Pada awalnya mereka bercadang berarak ke Seri Negeri untuk menghantar memorandum itu tetapi tindakan melampau pihak polis diketuai Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Mohd Adnan Abdullah merempuh Ustaz Ghani yang sedang berucap telah menimbulkan kekecohan.

Ustaz Ghani berkata, sepatutnya polis tidak boleh campurtangan kerana tujuan PAS hanya hendak menghantar memorandum tetapi dilabel sebagai perhimpunan haram sebab itu ianya menjadi masalah.

"Kita minta Ali letak jawatan kerana telah disabitkan bersalah oleh Umno sendiri dan ini menjadi bukti kukuh bahawa Ali mempunyai akhlak yang tidak baik," katanya.

Sementara itu, penyokong Umno yang berhimpun di depan Seri Negeri bagi menghalang penyerahan memorandum tersebut bertindak ganas menerajang dan melempar dengan pelbagai objek terhadap kenderaan Ustaz Kamaruddin sehingga mengakibatkan kerosakan.

Mereka yang berarak dari kediaman rasmi Ketua Menteri, Seri Bendahara diketuai oleh Ali Rustam diberi kawalan keselamatan VIP oleh pihak polis sedangkan ianya bertujuan memprovokasi rombongan Pakatan Rakyat.

Polis telah mengadakan sekatan jalanraya menuju ke Masjid Al Alami dan Seri Negeri serta mengawal ketat di ke dua lokasi tersebut sejak awal pagi bagi menghalang hasrat Pakatan Rakyat.

Ini adalah kejadian ke dua provokasi yang dilakukan oleh penyokong Ali Rustam ke atas Pakatan Rakyat di mana sebelum ini mereka melakukan provokasi di depan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Melaka ketika laporan rasuah Ali Rustam dibuat. - azm _


Sumber: HarakahDaily


No comments: