Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, March 5, 2009

Polis benar himpunan anti-PPSMI - Malaysiakini

kemaskini 3.52pm Polis membenarkan perhimpunan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Sabtu ini.

Bagaimanapun perhimpunan hanya dibenarkan diadakan di Masjid Negara jam 2 petang, sementara dua lokasi lagi yang dirancang - Pasar Seni dan kompleks membeli-belah Sogo - tidak jelas.

Setiausaha Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Hasni Abas memberitahu Malaysiakini sebentar tadi, polis bagaimanapun melarang perarakan ke Istana Negara seperti dirancang.

"Kami dimaklumkan boleh berhimpun di Masjid Negara tetapi perarakan (ke Istana Negara) tidak boleh," katanya.

Beliau dimaklumkan, tambahnya, perarakan itu tidak dibenarkan setelah polis mempertimbangkan faktor keselamatan.

Bagi menyerahkan memorandum gabungan itu kepada istana, polis menawarkan khidmat menghantar pemimpin GMP ke lokasi itu menggunakan kenderaan pasukan keselamatan itu, kata Hasni.

Kebenaran itu dimaklumkan oleh polis sewaktu pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad, timbalannya Dr Shahrir Mohd Zain dan beliau sendiri ke ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur pagi tadi.

Keputusan terbaru ini membayangkan polis mengambil sikap bertolak ansur selepas amaran diberikan kepada orang ramai semalam agar tidak menyertai perhimpunan itu.

Ditanya tindakan lanjut GMP setelah mendapat kebenaran polis itu, Hasni berkata, gabungan itu akan bermesyuarat petang esok di ibu pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) bagi memutuskan perkara itu.

Semalam, Istana Negara dilaporkan bersedia menerima memorandum membantah pelaksanaan dasar kontroversi itu yang dianggap "kemenangan pertama" aktivis bahasa dan sastera.

Satu salinan memorandum pemansuhan PPSMI telah disampaikan kepada istana melalui setiausaha sulit kanan Yang di-Pertuan Agong kelmarin, kata Dr Hassan.


Sumber: Malaysiakini

No comments: