Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Monday, March 23, 2009

Tangan ghaib yang menyebabkan Ali Rustam tersungkur - Harakah

RATA-RATA penyokong Dato' Seri Mohd Ali Rustam menyangka 'tangan ghaib' yang menyebabkan Naib Presiden Umno itu tidak dibenarkan bertanding jawatan Timbalan Presiden, adalah Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Sangkaan mereka itu, menyebabkan Muhyiddin yang mendapat pencalonan tertinggi bagi jawatan itu, terpaksa menafikan sekeras-kerasnya malahan, menyifatkan itu adalah fitnah paling jahat selama beliau berkecimpung dalam politik.

Seorang lagi calon, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dilihat sengaja 'bergambar intim' dengan Mohd Ali kerana dengan cara itu sahaja, beliau dikatakan akan dapat menarik sokongan penyokong Mohd Ali supaya mengundinya dan ada juga yang mendakwa, seperti ada persefahaman antara mereka berdua untuk mengalahkan Muhyiddin.

Hari ini, penyokong Muhyiddin sudah menyebarkan sms mengatakan apa yang berlaku terhadap Mohd Ali sebenarnya angkara penyokong Muhammad yang tidak puashati terhadap penyokong Mohd Ali ketika mencari pencalonan.

Sambil mengambil contoh salah satu bahagian di Kedah, apabila berlaku pertembungan antara penyokong Muhammad dengan penyokong Mohd Ali - maka, mereka bersikap berkerat rotan berpatah arang.

Apabila penyokong Mohd Ali menang, penyokong Muhammad membuat aduan kepada Lembaga Disiplin kononnya berlaku politik wang menyebabkan mereka kalah dan tidak dapat mencalonkan idola masing-masing.

Begitu juga, ada tempat (bahagian) di mana penyokong Muhammad menang, penyokong Mohd Ali akan membuat aduan. Namun, dalam kes ini, Lembaga Disiplin lebih berat mahu bertindak terhadap Mohd Ali kerana khabarnya terlalu banyak aduan diterima dan perlakuan politik wang dari pihak penyokong Mohd Ali dikatakan dibuat secara terang-terangan.

Namun, di ibukota sekarang, di mana-mana sahaja perbincangan politik berlangsung, fokus kemarahan penyokong Mohd Ali tetap kepada Muhyiddin kerana mereka menyangka, jika Mohd Ali tidak dikenakan tindakan dilarang bertanding, Mohd Ali boleh menang, mengatasi undi Muhyiddin.

Mereka yakin kerana mereka percaya perwakilan yang menerima habuan dari mereka akan memberikan undi kepada Mohd Ali.Padahal, politik Umno tidak begitu. Mereka ambil wang tetapi undi belum tentu.

Jika ada yang mengatakan tindakan terhadap Mohd Ali merupakan tindakan 'ada udang di sebalik batu', itu tidak tepat.

Mengambil contoh pertelingkahan antara Ketua Umno Bahagian Paya Besar dengan Menteri Besar Pahang, hingga cabar-mencabar bersumpah, Mohd Ali bolehlah memilih jalan serupa, bersumpah menafikan beliau terlibat dengan politik wang, jika Ketua Menteri Melaka ini yakin beliau berada di pihak yang benar!

Jika tidak, mereka perlulah secara diam-diam mengakui, lebih baik tidak dibenarkan bertanding daripada dikenakan tindakan undang-undang, didakwa di mahkamah dan akhirnya merengkok dalam penjara.

Jika Mohd Ali sedia melihat sejarah Ketua Menteri Melaka, yang biasanya mengakhiri karier politiknya secara tidak terhormat, sepatutnya Mohd Ali tidak gopoh dan gelojoh untuk menawarkan diri bertanding kerusi nombor dua Umno.

Lihatlah bagaimana kejatuhan Dato' Ghani Ali, di mana Dato' Adib Adam, kisah tersungkurnya Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, tempoh singkat Allahyarham Dato' Seri Mohd Zin Abdul Ghani dan Dato' Seri Abu Zahar Isnin yang dibawa ke Kuala Lumpur dengan jawatan Setiausaha Parlimen Kementerian Dalam Negeri membuktikan ?kerusi KM Melaka? cukup berhantu.

Di Ipoh, khabarnya Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap memperkenalkan calon-calon yang hendak bertanding, sungguh sinis sindirannya terhadap Lembaga Disiplin.

Di Seremban, khabarnya Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Mohamad Hassan juga didakwa menyanjung Mohd Ali kerana keikhlasannya sanggup datang juga ke majlis itu sedangkan, beliau sepatutnya tidak dibenarkan berada di atas pentas.

Dalam masa yang sama, Muhammad sentiasa dilihat berbisik dan berdamping dengan Mohd Ali, kerana Zahid, Mohamad Hassan dan Muhammad dikatakan mahu memberitahu para penyokong Mohd Ali, mereka bertiga amat-amat simpati kepada Mohd Ali.

Oleh yang demikian, alihkanlah sokongan mereka daripada tidak boleh diberikan kepada Mohd Ali kepada menyokong mereka. Zahid dan Mohamad Hassan percaya, dengan sokongan orang-orang Mohd Ali, peluang mereka menang cerah.

Begitu juga Muhammad, dari perkiraan atas kertas, mustahil beliau mampu mengalahkan Muhyiddin tetapi apabila penyokong Mohd Ali mengundinya, tidak mustahil beliau mampu menjadi Timbalan Presiden Umno, selepas 26 Mac ini.

Memetik satu dialog dalam filem Madu Tiga arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee? 'baik, baik ada makna tu..' memberi ingatan kepada semua, bahawa apa juga tindak-tanduk mereka yang ?bersimpati? dengan Mohd Ali, hanya kerana mereka sedar bahawa simpati mereka akan dibayar oleh penyokong-penyokong Mohd Ali.

Mohd Ali sebenarnya sedar, apabila beliau membuat keputusan mahu bertanding kerusi Timbalan Presiden, risiko paling besar yang beliau akan hadapi ialah ?bersedia kehilangan? kerusi Ketua Menteri.

Jika menang, kemungkinan beliau ke Kuala Lumpur menjadi Timbalan Perdana Menteri manakala, jika kalah, beliau terpaksa melepaskan semua jawatannya termasuk Ketua Menteri kerana ada orang lain yang sudah disediakan untuk menggantikannya!

Mohd Ali mengambil keputusan bersedia bertanding kerusi Timbalan Presiden Umno sebenarnya terkait dengan isu 'perasan dan perasaan'. Mungkin beliau mempunyai perasaan mahu menyambung legasi Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi hingga menyebabkan Perdana Menteri menegur pihak-pihak yang mempertikaikan kenapa Mohd Ali turut menawarkan diri bertanding kerusi nombor dua dalam Umno itu.

Perasan pula, boleh dikaitkan dengan diri Mohd Ali merasakan kelayakkannya bertanding disebabkan para penyokongnya memberi keyakinan kepadanya bahawa beliau boleh menang, boleh menjadi Timbalan Presiden Umno dan boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Ini perasan namanya! Sedangkan Mohd Ali tidak pernah walaupun sehari menjadi Menteri dan baru sepenggal menjadi Naib Presiden Umno. Tidakkah Mohd Ali membandingkan dirinya dengan pengalaman Dato' Seri Mohd Najib yang sudah pernah menjadi Timbalan Menteri, Menteri Besar Pahang dan Menteri di beberapa Kementerian termasuk Belia dan Sukan, Pelajaran, Pertahanan dan Kewangan?

Tahukah Mohd Ali bahawa Najib sudah menjadi Naib Presiden Umno sejak 1993 dan sebelum itu, menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno?

Begitu juga dengan Muhyiddin. Beliau sudah menjadi Naib Presiden sejak 1993. Tewas dalam tahun 1996 tetapi menang semula dalam pemilihan tahun 2000 dan 2004 - ditambah dengan pengalamannya menjadi Timbalan Menteri, Menteri Besar Johor, Menteri Belia dan Sukan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Menteri Pertanian dan sekarang Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Jika Mohd Ali berbangga dengan pengalamannya yang 'setampuk pinang' inilah yang dikatakan 'perasan' hingga sanggup menonjolkan diri mahu bertanding kerusi Timbalan Presiden, sedangkan Mohd Ali sendiri jika ikhlas membuat pertimbangan tidak akan sanggup untuk 'berlari sebelum pandai berjalan'. - mr_


Sumber: HarakahDaily

No comments: