Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Thursday, March 12, 2009

Nizar mohon menghadap Sultan Perak bubar DUN - mStar

PETALING JAYA: Surat mohon menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi menyembahkan tiga resolusi yang diluluskan ketika sidang tegempar di bawah pokok di Ipoh, Selasa lalu telah difakskan kepada pihak Istana semalam.

Menurut Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Perak, Mohd Misbahul Munir Masduki surat tersebut telah dihantar secara faks pada pukul 12 tengah hari semalam.

"Saya sendiri memfakskan surat mohon menghadap Sultan kepada pihak istana tengah hari. Insya-Allah esok kita akan menghantar surat tersebut secara rasmi dengan menggunakan perkhidmatan pos laju pula," katanya kepada mStar Online.

Jelas Misbahul, kerajaan Pakatan Rakyat sedang menunggu tarikh menghadap untuk mempersembahkan tiga resolusi yang telah diluluskan minggu lalu.

"Kerajaan Pakatan Rakyat yakin kita akan dapat perkenaan untuk mohon menghadap Sultan Perak secepat mungkin," katanya.

Ditanya apakah kandungan surat yang dihantar itu, Misbahul berkata, surat tersebut merupakan prosedur yang perlu dilakukan bagi memohon perkenaan menghadap Sultan Perak.

"Tiga resolusi yang diluluskan dalam mesyuarat tergempar menjadi agenda utama kerajaan Pakatan yang mahu dipersembahkan kepada Sultan Perak," katanya.

Selasa lalu, sidang tergempar DUN Perak yang berlangsung di bawah pokok 100 meter dari bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri Perak, meluluskan tiga usul.

Usul-usul itu ialah menyatakan sokongan kepada Nizar sebagai Menteri Besar; membubarkan Dewan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan; dan mengesahkan keputusan Speaker V. Sivakumar melarang Menteri Besar Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan dewan.

Persidangan itu, yang berlangsung selama 30 minit bermula 10.20 pagi, dihadiri semua 27 ADUN PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Usul pertama dibentangkan oleh wakil rakyat Titi Serong, Khalil Idham Lim, usul kedua oleh ADUN Teja, Chang Lih Kang, dan satu lagi oleh ADUN Pantai Remis, Datuk Ngeh Koo Ham. Mesyuarat itu ditangguhkan pada 10.33 pagi.

Persidangan yang dipanggil oleh Sivakumar itu diadakan di situ selepas polis menghalang beliau dan 27 ADUN pembangkang daripada memasuki Dewan.

Persidangan yang berlangsung sambil wakil-wakil rakyat terbabit berdiri dan ia dijalankan dengan bantuan Setiausaha Dewan yang baru dilantik, Mohd Misbahul Munir Masduki, dengan penggunaan alat pembesar suara.

Kawasan persidangan yang berlangsung di sebuah lorong itu dipagari oleh sekumpulan penyokong pembangkang manakala lebih 200 orang berada di sekitar kawasan berkenaan.


Sumber: mStar


No comments: