Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, March 24, 2009

PNSB Bayar RM5 Juta Kepada Balkis Dalam Tempoh Lima Tahun - TVAntara

Anak syarikat kerajaan negeri Selangor, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) membelanjakan RM5 juta bagi tempoh tahun dari 2002 sehingga 2007 untuk membiayai aktiviti dan program Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat (Balkis).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PNSB, Datin Khairiyah Abu Hassan menjelaskan demikian kepada panel Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) dalam pendengaran awam terbuka berhubung Balkis hari ini.

Beliau berkata PBNSB memperuntukkan RM1 juta setiap tahun dalam bentuk sumbangan kepada Balkis bagi program serta aktiviti yang dijalankan sepanjang tempuh itu.

Menjawab pertanyaan daripada Pengerusi Selcat, Teng Chang Kim berhubung justifikasi peruntukan besar kepada Balkis, Khairiyah yang digantung tugasnya baru-baru ini menjawab sumbangan tersebut dibuat bagi "membantu menaikkan imej" negeri Selangor khususnya kerajaan negeri.

Teng, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor bagaimanapun tidak berpuashati dengan jawapan yang diberikan dan mencelah bahawa PNSB adalah syarikat milik negeri di bawah Menteri Besar Incorporated (MBI) dan justifikasi sumbangan yang diberikan atas alasan tersebut tidak munasabah.

Khairiyah, yang kelihatan tidak begitu selesa dan ada ketikanya tidak dapat memberikan penjelasan yang jelas serta memuaskan kepada panel berhubung beberapa persoalan yang diutarakan oleh ahli panel mengenai pembayaran yang dibuat oleh PNSB bagi pihak Balkis.

Salah seorang ahli Selcat, Haniza Talha, yang juga Timbalan Speaker DUN kemudiannya mengajukan soalan berhubung sumbangan yang dibuat oleh PNSB mengenai program "Lawatan Keinsafan' Balkis ke Kemboja".

Haniza, meminta ketua pegawai eksekutif terbabit menjelaskan secara terperinci mengenai pembayaran yang disumbang oleh PNSB.

Khairiyah memberitahu PNSB telah membayar sejumlah RM17,000 bagi tiket penerbangan termasuk belanja penginapan ahli-ahli rombongan Balkis.

Di samping itu, katanya PNSB juga menanggung pembelian buku yang didermakan oleh Balkis kepada sebuah perpustakaan di Kemboja dan juga sumbangan wang lagi untuk golongan tidak berkemampuan di negara tersebut.

Adun Bukit Antarbangsa, Azmin Ali kemudiannya secara sinis bertanya, " Tidak adakah golongan miskin di Selangor sehingga PNSB memberi sumbangan kepada Balkis untuk melaksanakan program sedemikan di Kemboja?".

Ketua Pegawai Eksekutif PNSB itu juga tidak dapat menjelaskan kepada panel jawatankuasa mengenai beberapa sumbangan lebih RM100,000 kepada Balkis.

Khairiyah juga tidak dapat menjelaskan mengenai bayaran tambahan berjumlah lebih RM54,000 yang dibuat dalam satu program meraikan perkahwinan saudara baru anjuran Balkis pada 2003.

Menurut beliau PNSB telah membayar lebih RM35,000 kepada syarikat penyedia makanan pada majlis yang dianjurkan tersebut dan pada masa sama telah membayar lebih RM54,000 sebagai bayaran tambahan bagi jamuan makan malam majlis tersebut yang meraikan 50 orang pengantin saudara baru yang dihadiri kira-kira 1,400 jemputan.

Selanjutnya...

No comments: