Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, March 11, 2009

Musa, Gani tidak palsukan bukti mata lebam Anwar - Malaysiakini

Ketua polis negara dan peguam negara didapati tidak terlibat dalam kesalahan jenayah berhubung isu memalsukan bukti dalam siasatan kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Keputusan siasatan terhadap Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Gani Patail dimaklumkan dalam sesi soal jawab di Parlimen hari ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Menjawab soalan Gobind Singh-Deo (DAP-Puchong) mengapa tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa selepas Anwar membuat laporan polis dan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu, terhadap Musa dan Abdul Gani Julai lalu.

Berikutan itu, BPR - kini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - menubuhkan sebuah panel bebas untuk menyiasat kes tersebut.

Anggota panel tersebut terdiri daripada Datuk Kadir Sulaiman, Datuk Wira Mohd Nor and Datuk Ahmad Nor Abdullah - kesemuanya bekas hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Rayuan.

Menurut Nazri, siasatan panel tiga angota tersebut bermula pada 2 Julai tahun lalu.

Panel tersebut, katanya, menyiapkan siasatan dua bulan kemudiannya kerana ia dianggap sebagai satu kes sensitif dan berprofil tinggi.

Selepas siasatan terperinci dijalankan, kata beliau, mereka mendapat Musa dan Abdul Gani tidak melakukan sebarang jenayah berkaitan dengan kes yang didakwa oleh Anwar.

Anwar membuat aduan polis terhadap kedua-dua pegawai tinggi kerajaan itu pada 1 Julai tahun lalu sewaktu mantan timbalan perdana menteri tersebut disiasat berhubung dakwaan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Dalam laporannya itu, Anwar berkata kedua-duanya memalsukan keterangan serta menyembunyikan fakta dalam siasatan serangan fizikal terhadapnya oleh bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor daripada pengetahuan umum sehingga matanya yang lebam didedahkan di mahkamah olehnya sendiri.

Pada masa itu Musa seorang pegawai penyiasat, manakala Abdul Gani pula merupaka ketua pendakwaan terhadap kes rasuah Anwar.

Dalam laporan polisnya, Anwar memohon supaya siasatan dijalankan terhadap Musa dan Abdul Gani atas dakwaan pemalsuan bukti apabila kedua-dua mereka dikatakan telah secara aktif terlibat dalam penyediaan laporan perubatan kedua yang menyimpulkan kecederaan yang dialami Anwar tidak konsisten dengan pukulan secara langsung, sebaliknya menyimpulkan kemungkinan kecederaan itu disebabkan oleh kemalangan.

Berikutan itu, pada 21 Julai tahun lepas, Musa memfailkan saman malu terhadap Anwar berhubung laporan polisnya terhadap ketua polis negara itu atas dakwaan memalsukan keterangan dalam kejadian "mata lebam".

Dalam pernyataan tuntutannya, Musa mendakwa perkataan- perkataan berunsur fitnah sebagai tidak berasas, dan tidak benar, dan merupakan satu pemfitnahan yang teruk terhadapnya.

Musa menafikan beliau berkomplot mereka-reka keterangan palsu dan menyembunyikan fakta Anwar berhubung insiden serangan itu daripada masyarakat umum dan menyatakan beliau tidak pernah pada bila-bila masa mengarahkan supaya laporan perubatan kedua disediakan.

Tambahnya, laporan polis itu juga dibuat bagi memusnahkan kredibiliti bukti-bukti dan keterangan yang dikumpulkan pihak polis dan juga memusnahkan kredibiliti saksi-saksi sekiranya Anwar dituduh atas pertuduhan meliwat Mohd Saiful.


Sumber: Malaysiakini


No comments: