Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, March 6, 2009

Ayuh, semarakkan Himpunan 100,000 Mansuhkan PPSMI esok! - Harakah

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Hrkh) - Demi memastikan kedaulatan Bahasa Melayu dijunjung sekaligus membantah dasar Pengajaran & Pembelajaran Sains Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang jelas mengundang '1001 masalah' kepada para pelajar khususnya di luar bandar, orang ramai diseru untuk sama-sama menyatakan sokongan dan menyertai 'Himpunan Aman 100,000 Mansuhkan PPSMI' esok (7 Mac ).

Menurut Setiausaha Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) Hasni Abas, perhimpunan akan diadakan di tiga lokasi bermula 2.00 petang iaitu Pusat Perniagaan SOGO, Central Market dan Masjid Negara yang kemudiannya berarak ke Istana Negara untuk serahan memorandum.

"Bagi memudahkan perjalanan himpunan ini maka semua peserta digalakkan menggunakan kenderaan awam untuk hadir dalam himpunan ini. Peserta dikehendaki berada di lokasi yang telah ditetapkan pada jam 2 petang.

"Kawalan keselamatan akan dibantu oleh pihak polis dan Unit Amal seluruh negara. Permit himpunan telah dipohon kepada Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara. Peserta adalah dilarang sama sekali membawa barang-barang yang berbahaya seperti senjata, peralatan tajam dan lain-lain lagi. Sebarang simbol parti juga tidak dibenarkan," katanya dalam satu kenyataannya sebelum ini.


Pimpinan yang akan turut sama dalam himpunan ini adalah Sasterawan Negara, Dato' A.Samad Said, Dato' Dr Hassan Ahmad, Dr Shaharil Mohamad Zain, Prof Emeritus Abdullah Hasaan, Prof Emeritus Dato'; Nik Safiah Karim, dan diikuti pemimpin terkenal Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan ramai lagi.

Warna tema himpunan pada hari tersebut ialah 'putih' dan peserta digalakkan menggunakan baju putih yang melambangkan pembersihan terhadap PPSMI, katanya.

"GMP telah mendapat sokongan terbaharu daripada Majlis Permuafakatan Persatuan Ibubapa & Guru Nasional (PIBGN) yang mempunyai 8000 persatuan PIBG di seluruh negara. Pihak Suara Rakyat Malaysia(SUARAM) yang mempunyai 25 buah persatuan gabungan juga telah turut sama menyokong GMP.

"GMP penuh berkeyakinan bahawa 100,000 rakyat Malaysia akan berkumpul di hadapan Istana Negara seperti yang telah dirancang," katanya. - azm/mks. _

Sumber: Harakah

No comments: