Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Tuesday, March 31, 2009

Bantahan PPSMI bergema dalam p'raya - Malaysiakini

Selain demonstrasi besar awal bulan ini, dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) turut berkempen di Bukit Gantang yang kini menghadapi pilihanraya kecil.

Tokoh-tokoh utama Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) akan turun berkempen dua hari di situ menjelang pengundian pada 7 April ini.

Profesor bahasa Dr Abdullah Hassan, Dr Shaharir Mohd Zain dan penyajak Dinsman dijangka menyampaikan ceramah.

“Diharap pengundi menolak (calon) Umno kerana perwakilan sanggup menaikkan (menteri pelajaran) Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai naib presiden Umno,” kata setiausaha GMP Hasni Abbas ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Hishammuddin semalam menyatakan dasar PPSMI akan dipinda dalam masa terdekat selepas kabinet membuat keputusan. Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan bentuk konkrit pindaan tersebut.

GMP, yang menuntut dasar itu dimansuhkan termasuk di sekolah menengah dan universiti, juga akan berkempen pada pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau pada 5 dan 6 April.

Selain tokoh-tokoh ini, penasihat GMP Datuk A Samad Said menyampaikan ceramah.

Hasni menambah, penceramah GMP dijadual berada di Bukit Gantang pada 4 April dan sasterawan negara terpaksa terus ke kawasan DUN itu kerana sebelumnya berada di luar negara.

Tiada NGO bantu

Bagaimanapun, katanya, GMP tidak turun di kawasan DUN Batang Ai.

"Memang ada permintaan di sana. Tapi, tiada badan yang dapat menyelenggarakan kami. Tiada NGO yang boleh bantu kita di sana," kata Hasni.

"Tak ada orang yang boleh mengatur perjalanan kita berkempen di sana. Kalau di Perak, ada (gabungan NGO Perak) Jamaie dan di Kedah ada Teras (Teras Pengupayaan Melayu)."

GMP tidak memohon permit polis kerana bimbang ia akan menyulitkan program mereka ketika berceramah, katanya.

"Sebab itu, kita guna pentas NGO lain untuk menyampaikan ceramah ini. Risalah-risalah mungkin diedarkan sempena kempen tersebut," tambah beliau.

Ketika ditanya apakah beliau yakin bahawa kempen mansuhkan PPSMI akan mampu memberi kesan terhadap corak pengundian, Hasni berkata:

"Jika diambil kira kesan perhimpunan di Istana (Negara) dulu, saya yakin fikiran pengundi berganjak. Selepas perhimpunan itu, saya terima pelbagai panggilan yang menyokong GMP.

"Ertinya, selepas 7 Mac, baru kita yakin memang ramai yang mahu PPSMI dimansuhkan kerana rakyat sedar isu bahasa ini mengancam kebudayaan (Melayu) dalam jangka masa panjang."

Macam lagu Ziana Zain

Mengulas kenyataan Hishammuddin semalam, Hasni berkata, beliau sukar mempercayai kenyataan menteri itu.

"Macam lagu Ziana Zain, Madah Berhelah, ini cakap-cakap orang politik. Kita tak boleh percaya sangat," katanya.

Menjawab isu itu di Dewan Negara, Hishammuddin berkata, kerajaan tidak akan menerima atau menolak bulat-bulat dasar PPSMI.

Keputusan untuk mengekal atau meminda pelaksanaan PPSMI akan disesuaikan mengikut mengikut pencapaian pelajar.

"Sebab itu," tambah Hasni, "kita harap para pengundi di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai sedar bahawa Umno pun tidak memperjuangkan bahasa Melayu."

GMP merancang menghantar memorandum membantah PPSMI kepada Raja-raja Melayu.

"Mungkin kita hantar memo kepada istana selepas pilihanraya (kecil) ini dan kita akan buktikan bahawa isu memansuhkan PPSMI bukan bermusim saja pada pilihanraya," tambahnya.


Malaysiakini

No comments: