Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, September 2, 2009

Kenyataan Zunar: Saya Menafikan Sekeras-kerasnya Tuduhan KDN

1. Merujuk Berita Malaysiakini bertarikh 29 Ogos yang memetik kenyataan Ketua Komunikasi Korporat KDN Jamilah Taib bahawa Sepakat Efektif Sdn Bhd, iaitu syarikat milik saya akan didakwa kerana menerbitkan sebuah penerbitan tanpa permit penerbitan.

Menurut beliau, Sepakat Efektif didakwa di bawah Seksyen 5(2)(b) Akta Mesin Cetak 1984 kerana mengedarkan majalah yang tiada permit...Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih daripada tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.---Laporan itu dipetik

Kenyatan itu merujuk kepada penerbitan sebuah majalah kartun berjudul Gedung Kartun.

2. Sebagai rekod, sebelum majalah ini diterbitkan, saya telah membuat permohonan pada 30 Jun kepada KDN untuk mendapatkan permit dan telah mematuhi semua peraturan yang disyaratkan.

Pada 3 Ogos, syarikat kami telah menghubungi pegawai KDN dan dimaklumkan permit telah lulus dan beliau meminta untuk mengambil surat penerbitan pada 14 Ogos. Pada 14 Ogos, kami pergi ke KDN untuk mengambil surat, walau bagaimana pun dimaklumkan surat belum siap.

Sehubungan itu, saya telah meminta agar nombor permit itu diberi terlebih dahulu supaya kami dapat menjalankan kerja-kerja produksi, dengan anggapan bahawa apabila majalah ini dicetak dan diedarkan sepuluh hari selepas itu, sudah pasti surat rasmi permit itu akan tiba. Dan nombor itu telah diberi oleh pegawai KDN.

Dengan itu saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa Gedung Kartun diterbitkan dengan menggunakan permit palsu. Malahan KDN telah membuat tuduhan serius yang membawa implikasi bahawa permit bernombor PP8541/08/2010(0282145) ISSN 1688-5398 adalah rekayasa saya?

3. Saya tidak faham kenapa surat rasmi mengenai kelulusan permit Gedung Kartun sampai sekarang belum dikeluarkan oleh pihak KDN, sebaliknya mereka melakukan rampasan dan mahu mendakwa saya ke mahkamah. Bukanlah lebih baik dikeluarkan surat kepada saya dan semua masalah selesai?

4. Kerana permit penerbitan diluluskan menteri, saya akan menulis surat untuk bertemu sendiri dengan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk mendapatkan penjelasan apakah benar beliau tidak pernah pada atau sebelum 14 Ogos
meluluskan permit dengan nombor PP8541/08/2010(0282145) ISSN 1688-5398 untuk majalah Gedung Kartun?

5. Saya juga ingin bertanya, kenapa memperolehi permit penerbitan menjadi semakin sukar? Apakah ini yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri bahawa media akan lebih bebas di bawah pemerintahannya? Apakah dibawah 1Malaysia, hak berkarya dan suara kartunis akan lebih dicengkam?

6. Jika melukis kartun boleh dipenjara tiga tahun, bayangkan bentuk kebebasan media dan kebebasan bersuara di negara kita.

7. Saya juga mendesak supaya akta lapuk, Akta Mesin Cetak 1948 dihapuskan.


Zunar
(Political cartoonist, Gedung Kartun Editor
1 September 2009

--Pertahankan hak kartunis

No comments: