Aktiviti
Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Saturday, July 5, 2008
Isu Tuduhan Liwat Anwar - Laksana Hukum Al-Quran Bukan Bersumpah Dengan Al-Quran
OLEH : MOHAMED HANIPA BIN MAIDIN
Berita TV3 malam ini ( 4/7/2008 ) menyiarkan berita bahawa Mufti Perlis meminta Anwar Ibrahim dan Saiful Bahari Azlan melakukan mubahalah. Apa yang saya faham mubahalah merupakan satu kaedah di dalam Islam ( yang ada disebut di dalam Al-Quran ) bagi menentukan kebenaran. Kedua-dua pihak yang bertikai dipertemukan dan masing-masing bersumpah sekiranya mereka tidak bercakap benar mereka akan dilaknat oleh Allah.
Ketika mengulas saranan Mufti Perlis tersebut Pengerusi Putera UMNO Abdul Azeez Abdul Rahim menyatakan bahawa Anwar hendaklah bersumpah dengan AlQuran daripada menggunakan media bagi membuktikan beliau tidak bersalah ( lihat Malaysiakini : Swear on the Quran, Anwar told )
Saya kurang pasti sama ada Pengerusi Putra UMNO tersebut faham dengan istilah mubahalah. Mubahalah bukan satu sumpah dengan AlQuran seperti yang didakwa . Saya rasa tidak perlulah pengerusi Putera UMNO yang kecetekan ilmu syariah dan undang-undang untuk menjuarai isu tuduhan liwat ini. Makin dia bercakap makin nampak beliau merapu.
Ada beberapa perkara yang saya rasa perlu diperbetulkan kerana daripada kenyataan-kenyataan yang dibuat menunjukkan bahawa terdapat kekeliruan di dalam kes tuduhan liwat ke atas Anwar Ibrahim.
Pertama, ingin saya nyatakan di sini baik dari segi sisi Islam mahupun undang-undang negara ini Anwar adalah seorang individu yang dianggap tidak bersalah dan beliau juga tidak perlu sama sekali membuktikan apa-apa jauh sekali membuktikan beliau tidak bersalah.
Di dalam undang-undang yang dipakai di negara ini , bagi mana-mana pertuduhan jenayah prinsip yang terpakai adalah “seseorang itu dianggap tidak bersalah melainkan dibuktikan bersalah. Prinsip ini dikenali sebagai “presumption of innocence.” Prinsip ini sebenarnya diambil dari syariat Islam iaitu berasaskan kaedah “ al-aslu al-‘adam” atau pun kaedah “al-aslu –baraatun zimmah” yang juga bermaksud “seseorang itu dianggap tidak bersalah melainkan dibuktikan bersalah.
Apa yang berlaku di dalam isu dakwaan liwat ini adalah Anwar belum lagi dituduh di Mahkamah . Jadi tidak timbul beliau harus membuktikan bahawa beliau tidak bersalah. Jika pun beliau dituduh di Mahkamah dengan kesalahan liwat, beliau masih dianggap tidak bersalah kecuali setelah disabitkan bersalah oleh Mahkamah.
Yang demikian mana-mana saranan yang meminta Anwar bersumpah dengan Al-Quran supaya membuktikan beliau tidak bersalah adalah saranan yang menggambarkan seorang yang jahil dengan syariat Islam dan juga undang-undang negara ini.
Kedua, jika benar terdapat tuduhan liwat ke atas Anwar sekalipun, mana-mana pihak yang bersungguh meminta Anwar bersumpah dengan Al-Quran sepatutnya perlu menuntut bahawa Anwar diadili dengan hukum Al-Quran. Ulama Islam mengklasifikasikan kesalahan liwat adalah sama dengan kesalahan zina . Maka mana-mana pihak yang menuduh seseorang melakukan liwat adalah sama seperti orang yang menuduh seseorang itu melakukan zina. Menuduh seseorang berzina ( termasuk liwat ) tanpa mendatangkan empat orang saksi boleh didakwa melakukan kesalahan qazaf . Qazaf adalah hukum Al-Quran yang diklasifikasikan sebagai salah satu kesalahan di dalam jenayah hudud.
Memandangkan Anwar dituduh kononnya melakukan kesalahan liwat ke atas Saiful maka mereka yang meminta Anwar bersumpah dengan Al-Quran sepatutnya dari segi Islam meminta supaya Saiful mendatangkan empat saksi yang melihat Anwar melakukan liwat tersebut. Kalau Saiful tidak dapat mendatangkan empat saksi tersebut mereka yang meminta Anwar bersumpah dengan Al-Quran hendaklah meminta Kerajaan mendakwa Saiful dengan kesalahan qazaf di Mahkamah Syariah di negara ini .
Berkemungkinan besar pihak yang meminta Anwar bersumpah dengan Al-Quran berhujah balas di negara ini hukum qazaf tidak dijalankan , jadi bagaimanakah Saiful boleh didakwa dengan kesalahan qazaf. Jika ini hujahnya maka jawapan saya adalah kenapakah kamu sibuk bercakap tentang Al Quran jika hukum qazaf yang terdapat di dalam Al-Quran kamu pendamkan dan tidak dilaksanakan selama puluhan tahun sejak negara ini mencapai kemerdekaan. Kenapakah kamu tidak menuntut hukum qazaf tersebut dilaksanakan di negara ini agar Anwar mahupun Saiful boleh diadili oleh hukum Islam.
Tidakkah sikap kamu yang meminta Anwar bersumpah dengan Al-Quran ( yang tidak ada pun nasnya di dalam Al-Quran ) tapi tidak mahu menuntut hukum Al-Quran menjadi hukum yang dipakai bagi menyelesaikan tuduhan liwat ke atas Anwar adalah satu sikap yang dilihat berpura-pura. Saya ingin bertanya dengan Putera UMNO- betul ke kamu bersungguh dengan Al-Quran ini ? Ingat Al-Quran ini boleh jadi “hujjatun lana” ( hujah untuk kita ) atau “hujjjatun ‘alaina” ( hujah ke atas kita ).
Kesimpulannya tidak perlu Anwar bersumpah dengan Al-Quran. Mubahalah juga saya berpendapat tidak perlu kerana Anwar telah dikaitkan dengan kesalahan jenayah maka kaedah yang betul adalah Anwar mahupun Saiful sepatutnya diadili oleh sistem undang-undang jenayah Islam - sistem yang telah telah terbukti keadilannya .
Sumber: http://peguampas.blogspot.com/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment