Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Friday, July 10, 2009

Jawatankuasa Bertindak Pondok Kempas Jawab Setiausaha UMNO Bahagian Jasin, Ghazali Muhamad - Malaysiakini

ISU KUBUR CINA : JAWAPAN KENYATAAN S/U UMNO BAHAGIAN JASIN

Merujuk kenyataan YB Tuan Hj Ghazali Muhamad dalam Laman Web Malaysia Kini pada tarikh 8 Julai, 09, saya Mohamad Bin Keling, selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Menentang Pembinaan Rumah Mayat dan Jirat Cina di Pondok Kempas berasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk menjawab dan membuat beberapa penjelasan serta pembetulan mengenai kenyataan tersebut.

Pertama saya melihat kenyataan tersebut adalah kurang tepat dan tidak berdasarkan fakta yang benar. Berhubung dengan tindakan seramai 80 ahli UMNO cawangan Pondok Kempas/Kesang Pajak keluar parti bukanlah suatu ugutan atau main wayang untuk mendapat perhatian berkaitan dengan desakan kami untuk membatalkan projek pembinaan rumah mayat dan jirat cina tersebut. Memang benar kami belum menghantar surat rasmi keluar parti kepada UMNO, tetapi sedarkah YB bahawa Mesyuarat Agung UMNO cawangan ini yang diadakan di bengkel Encik Zakaria Hassan baru-baru ini hanya dihadiri sekitar 30 orang ahli sahaja termasuk kanak-kanak. Sedangkan ahli berdaftar bagi cawangan ini adalah seramai hampir 300 orang. Manakah perginya ahli-ahli yang lain itu? YB Datuk Hj Ahmad Hamzah yang hadir pada malam mesyuarat Agung tersebut boleh mengesahkan perkara ini.

Kedua, saya dan ahli-ahli JK Bertindak dan penduduk Kampung ini yang kurang cerdik bahkan dianggap bodoh oleh Pengerusi UMNO merangkap Pengerusi JKKK Pondok Kempas Hilir, kami sedar bahawa jirat dan rumah mayat yang didirikan di atas tanah Lot 411 adalah geran besar dan milik persendirian. Tetapi sedarkah YB Tn Hj Ghazali, siapakah yang bertanggung-jawab meluluskan perubahan syarat tanah tersebut daripada tanah pertanian kepada perkuburan? Begitu mudahkah mana-mana pemilik tanah persendirian untuk membuat kubur, atau kilang arakkah atau apa saja di atas tanah mereka? Apakah negara kita tidak mempunyai undang-undang atau dasar serta garis panduan bagi melaksanakan sebarang projek seperti ini? Inilah yang menghairankan kami.

Di samping itu, jika dikatakan oleh YB bahawa perkuburan tersebut adalah perkuburan cina tunggal di Jasin, kenapa pilih lokasinya di tengah-tengah kampung kami.Bahkan yang lebih mendukacitakan ialah perkuburan tersebut tidak sampai pun 100 meter jaraknya daripada rumah penduduk kampung. Tidak adakah kawasan lain di Jasin ini yang lebih sesuai untuk tujuan tersebut?

Di sini, saya ingin mempersoalkan mengapakah UMNO yang selama ini melaungkan perjuangannya demi agama, bangsa dan negara tidak langsung memikirkan nasib dan masa depan orang Melayu/Islam di sini? Sedarlah YB, kami bukan bercakap atas dasar perkauman sempit, tetapi berdasarkan pandangan jauh dan hujah yang kukuh, bukan secara emosional. Sedarkah YB serta para pemimpin UMNO lain yang merasakan telah bertindak bijak, bahawa pembinaan jirat Cina di tengah-tengah kampung Melayu itu akan menimbulkan rasa prasangka atau prejudis. Ini adalah fitrah manusia. Dari segi psikologi, dalam jangka masa panjang perasaan prejudis itu akan menimbulkan rasa benci dan dendam secara sedar atau tidak. Oleh itu, siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab memupuk perasaan benci dan perkauman ini? Adakah kami orang kampung yang dikatakan bodoh ini atau tangan-tangan yang meluluskan projek tersebut pada hari ini? Lebih jauh lagi jika beginilah cara berfikir para pemimpin UMNO kini, dapatkah impian “1 Malaysia” seperti yang di war-war YAB Perdana Menteri itu tercapai? Berdasarkan fakta ini, bolehkah YB mengatakan kami penduduk Kampung Pondok Kempas dan Kesang Pajak tidak tahu bersikap bertolak ansur dalam masyarakat majmuk ini?

Ketiga, berhubung dengan isu pemberian tanah seluas 4 ekar (bukan 4 hektar seperti yang YB nyatakan ) oleh syarikat pemilik kubur cina untuk dijadikan tapak masjid dan tanah perkuburan Islam. Sedarkah YB, pemberian tersebut ada udang di sebalik batu ? Pada hemat kami pemberian tersebut semacam sogokan untuk mendapatkan kelulusan syarikat tersebut membina tanah perkuburan cina seluar 72 ekar di atas tanah Lot 411 itu. Apakah pada pandangan YB Tuan Hj Ghazali, penduduk Islam di sini tidak ada rupa atau tidak mampu untuk mendapatkan sendiri tapak masjid tersebut? Mana maruah kami dan UMNO sendiri yang kononnya lantang memperjuangkan Islam? Amat memalukan!

Untuk pengetahuan YB dan para pemimpin UMNO, kami penduduk Kampung Pondok Kempas dan Kesang Pajak ingin menyatakan bahawa kami lebih rela lambat dapat masjid dan tanah perkuburan Islam itu daripada menerima tanah dan masjid secara tukar sogok dengan jirat cina. Kebanyakan penduduk (kecuali Pengerusi dan ahli-ahli JKKK) di sini lebih rela kekal seperti sekarang, iaitu penduduk Kesang Pajak kekal ahli kariah Masjid Kesang Tua dan penduduk Pondok Kempas kekal ahli kariah masjid Selandar.

Keempat, YB ada menyebutkan bahawa UMNO Bahagian Jasin telah mengadakan perbincangan dengan pendudukl Kampung ini. Saya amat kesal dengan kenyataan yang palsu ini. Kami ingin bertanya bila dan di manakah perbincangan itu diadakan ? Setahu kami JKKK Pondok Kempas Hilir pun tidak pernah membawa kami berbincang dalam banyak isu penting di kampung ini, termasuklah isu projek jirat cina ini. Pengerusi dan ahli JKKK kampung ini memang selalu mencanangkan di kedai-kedai kopi bahawa mereka bersetuju menerima tanah 4 ekar yang ditukar sogok dengan kelulusan projek jirat cina tersebut.

Untuk pengetahuan YB juga, setahu kami YB Ahli Parlimen Jasin dan YB ADUN Bemban juga sekian lama tidak pernah turun padang untuk menjenguk dan bertanya khabar orang kampung Pondok Kempas. Kedua-duanya hanya mengadakan lawatan sekali selepas kami mengadakan demonstrasi aman membantah pembinaan jirat tersebut pada bulan Mei lalu. Itu pun bukan untuk bertanyakan isu-isu penting seperti isu kubur cina ini, tetapi hanya untuk memberi bantuan kepada mangsa atap (zing 5/6 keping) rumah tercabut. Hanya untuk tunjuk muka sahaja.

Satu perkara yang juga ingin saya bertanya kepada YB dan lain-lain pemimpin UMNO, adakah kami yang menyuarakan rasa tidak puas hati dan menyanggah pendapat atau sebarang keputusan yang dibuat oleh kepimpinan UMNO, maka kami dilabelkan sebagai pembangkang atau didalangi parti lawan. Apakah makna demokrasi bagi para pemimpin UMNO? Adakah Hang Nadim betul-betul tidak boleh wujud atau tidak dibenarkan wujud dalam UMNO ? Kami amat musykil tentang perkara ini.

Akhir kata, kami ingin mengingatkan bahawa pembinaan rumah pembakaran mayat dan jirat cina ini adalah suatu musibah, tetapi musibah ini bukan datang begitu sahaja, sebaliknya dibawa masuk oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab. Di hadapan manusia lidah boleh berdolak-dalik, di hadapan Allah nanti kita sama-sama jawab.


Tunjukkan sokongan anda kepada Penduduk Kg. Pondok Kempas dengan melayari ke blog http://pondokempas.blogspot.com/

No comments: