Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...

Wednesday, July 8, 2009

Perkembangan Politik Tanah Air Dari Perspektif Nik Aziz - TVA

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat adalah benteng utama parti itu. Beliau juga adalah pemacu unggul kerajaan Kelantan.

Idea-idea politiknya bernas. Setiap pertimbangan dan perkembangannya digarap bersandarkan al-Quran, Sunnah dan Realiti politik hari ini.

Demi mengetahui bagaimana beliau menafsirkan perkembangan politik tanah air, wartawan SUARA KEADILAN, MOHD NAJIB HASHIM menemubual Menteri Besar Kelantan ini.

Perkembangan politik Malaysia nampaknya menjurus kepada persaingan dua parti iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat? Apa komen Datuk?

"Bismillahirahmanirrahim. Pergelutan dan pergolakan politik ini bukan baru. Ia bukan wujud sejak wujudnya PAS dan Umno. Sejak manusia wujud di muka dunia ini, tidak pernah berhenti daripada permusuhan antara satu sama lain. Ini ketetapan Allah yang menciptakan manusia.

Waktu Nabi Adam hendak diturunkan dari syurga ke bumi, Allah sudah sebut pada Nabi Adam, 'satu sama lain bermusuh'. Kamu akan duduk di bumi, akan beranak, bercucu, bercicit sampai jadi penghuni dunia sepenuhnya. Semua anak beranak Nabi Adam. Dan satu sama lain akan bertengkar.

Bila Allah tahu yang manusia ini perlu bergelut, Allah menurunkan nabi. Pihak Nabi, pihak yang benar. Pihak lawan nabi pihak yang tidak benar. Sebab itu, sejak Nabi Adam wujud, dia nabi sehingga kepada Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa, Nabi Muhammad, tidak pernah wujud manusia yang tidak bergaduh.

Tapi, bila wujud keadaan bergaduh, maka nabi di pihak yang benar. Kerana nabi bukan belajar di sekolah, bukan belajar di pondok, bukan dia buat kajian, tapi dia terima langsung dari Allah s.w.t. Apa sahaja yang Allah s.w.t kehendaki, akan diturunkan kepada nabi, tidak kira nabi mana pun. Ini kaedahnya.

Saya ulang sekali lagi, tiap- tiap manusia, ada fikiran sendiri. Wajah tidak sama. DNA tidak sama. Urat jari pun tidak sama. Ini adalah kaedah asas dan akan timbul fikiran yang berbeza dan berlainan.

Jadi Allah sudah tetapkan di dalam Al-Quran, "mana-mana umat yang dapat hidayat Aku, maka siapa yang ikut hidayat Aku, maka orang itu akan selamat". Hidayat Allah hanya dikurniakan kepada nabi.

Sekarang timbullah PAS dan Umno. Baru 50 tahun. Dulu semua sekali berada dalam Umno kerana ketika itu hanya ada satu sahaja parti iaitu Umno. Cikgu, orang kampung, tok guru, tok ayah, tok lebai, imam, makmum, raja, rakyat semuanya ahli Umno pada tahun 1946 sehinggalah 1951.

Sebab alim ulama', mereka mempunyai risalah. Mesej daripada nabi-nabi kerana mereka ini waris nabi; tidak kira Cina muslim ke? Melayu muslim ke? Orang Asli muslim ke? Dia mempunyai pendirian sendiri kerana mereka menyambung tugas Nabi Muhammad.

Pada tahun 1961, alim ulama' keluar Umno dan mereka tubuh Parti SeIslam Tanah Melayu, PAS. Mereka yakin jalan Umno salah. Dan saya sendiri yakin Umno salah. Bila salah berertinya tidak akan bertemu syurga yang jumpa hanya nerakalah. Bermula dari situ sehingga hari kiamat pun akan ada orang yang melawan golongan yang salah. Ini perintah daripada Allah.

Di sini timbul satu masalah. Pada pandangan orang Eropah, manusia ini tuan punya dunia. Contohnya, bila sebuah parti menang satu kawasan, mereka rasakan kawasan itu mereka yang punya. Ertinya, segala hasil kekayaan yang ada mereka sewenang-wenangnya bagi kepada siapa yang mereka mahu. Mereka rasuah, mereka bebas lakukan apa saja kerana mereka rasakan mereka telah menang kawasan itu dalam pilihanraya.

Itu pandangan orang yang lawan nabi. Nabi mengatakan dunia ini bukan kepunyaan kita, ia kepunyaan Allah, Kita hanya pengurus, yang dipanggil khalifah. Sebab itu DO hanya dilantik oleh kerajaan negeri untuk jaga sesuatu kawasan. Dia tidak boleh fikir dia berkuasa penuh. Dia hanya menerima pelantikan daripada kerajaan.

Kita cuma menerima pelantikan daripada Allah sebagai khalifah. Ini pandangan saya, Islam meletakkan manusia tidak mempunyai hak mutlak. Kerana hak mutlak ini kepunyaan Allah. Oleh yang demikian gerakan Islam seluruh dunia yakini bahawa kita manusia hanya pengurus. Sebab itu, orang yang berjaya mengurus ini, akhirat kelak mereka akan diupah, masuk syurga.

Kita dapat melihat aliran politik negara yang semakin menjurus ke arah Pakatan Rakyat. Bagaimanakah Datuk melihat perkara ini?

Dalam pilihanraya ke-12, rakyat menerima Pakatan Rakyat. Lima buah negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Di Kelantan, sebelum pilihanraya baru-baru ini, Umno mempunyai 22 buah kerusi; menggelonsor semuanya tinggal enam kerusi.

Sedangkan bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi menjanjikan pembangunan kepada Kelantan seperti cadangan membina jambatan yang kedua, laksanakan ECER (Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timor).

Saya bimbang juga, tapi sebutlah apa saja pembangunan, rakyat Kelantan faham bahawa pembangunan ini dapat dibuat oleh parti yang menguasai. Kalau parti A kuasai Kelantan, A lah yang buat pembangunan. Kalau A yang kuasai Kuala Lumpur, A lah yang buat pembangunan. Rakyat faham, Alhamdullillah.

Pembangunan bukan daripada duit parti. PAS ke; Umno ke; DAP ke. Pembangunan bukan dibuat daripada duit parti tapi duit rakyat yang kita kuasai. DAP kuasai negeri, DAP buat pembangunan. PAS kuasai negeri, PAS buat pembangunan. Umno kosong.

Sekarang Umno masih ada nyaris- nyaris di Kuala Lumpur, insyaAllah bila kita bagi penerangan yang jelas bahawa Umno melalui jalan yang salah bukan jalan nabi-nabi. Bila kita melalui jalan salah macam bila kita lalu jalan salah di Kuala Lumpur akan kena saman, kena kemalangan.

Saya telah hantar surat kepada Perdana Menteri, saya tanya dia dua perkara sahaja. Pertama, kerana apa tolak Islam? Keduanya, kenapa Umno lawan PAS? PAS ini terang-terang perlembagaannya Islam. PAS sudah pegang Kelantan 18 tahun. Saya buat macam Allah hendak. Yang Allah kata haram, saya haramkan. Yang boleh, saya bolehkan.

Apakah faktor yang menjadi penyatu dalam Pakatan Rakyat?

Sebagai orang PAS, saya sebut tadi, Umno melalui jalan salah. Mereka melalui jalan yang salah kerana mereka tak serupa dengan dasar nabi iaitu al-Quran dan hadis. Umno tolak. Umno buat rasuah. Rasuah ini bukan melibatkan orang kampung. Tapi pegawai- pegawai parti, ketua-ketua parti.

Sebelum pilihanraya ke-12, Umno buat mahkamah sesama ahlinya yang diketuai Tengku Ahmad Rithauddeen. Di situ terang-terang Umno terlibat dengan rasuah. Ini perbuatan jijik. Sebab kita cantas kebolehan orang lain dan kita bagi pada orang yang tidak berkenaan.

Ini Islam tidak boleh terima, PAS tidak boleh terima, saya fikir, komunis pun tidak boleh terima. Dan bila Umno tolak Islam, mahu tidak mahu mereka mesti akan terdedah pada rasuah. Sebab itu saya kata sokong PAS dapat pahala. Bagi saya, saya masuk pejabat seolah-olah saya masuk masjid.

Mampukah Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan negara? Ramai yang memperkatakan tentang kerjasama yang tidak mantap, masih berlaku perselisihan dan juga perbedaan pendapat. Bagaimana Datuk melihat isu ini?

Pakatan Rakyat masih setahun dua. Dulu PAS pun macam tu juga. Umno pun mula-mula kacau bilau jugak. Benda baru. Perlahan-lahan mantaplah. Semua kaedah Tuhan. Macam pokok, mula-mula tumbuh daun; dua tiga helai daun, sehingga besar. Masa mula-mula memang akan kena serang dengan cacing, semut, babi. Seperti juga manusia,. mula- mula lemah, nak bercakap tidak boleh,. boleh menangis je.

TVA

No comments: